Pas tidak lagi berlapik apabila secara terbuka mengaitkan Timbalan Presiden, Mohamad Sabu (Mat Sabu) dan Pengarah Pilihan Raya parti itu, Dr. Mohd. Hatta Ramli sebagai dalang kepada gerakan menjatuhkan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Menyifatkan kedua-dua pemimpin tersebut sebagai biadab, wakil Dewan Ulama Pas Kedah, Fauzi Hussin, seterusnya mendesak tindakan tegas termasuk memecat Mohamad dan Mohd. Hatta bagi merawat kembali parti itu yang kini dilanda perpecahan.
Beliau yang berkias dengan mengaitkan permasalahan Pas kini seperti penyakit kencing manis berkata, apabila mana-mana anggota badan dijangkiti penyakit tersebut langkah terbaik bagi menyelamatkan nyawa adalah dengan memotong bahagian terlibat.
“Mana tindakan kita bila ada suara sumbang pertikai Presiden? Mereka datang rasmi mesyuarat cawangan tapi cerita keburukan Presiden. Ini jelas biadab. Perlu tindakan tegas tidak kiralah siapa pun walaupun pangkat dia Timbalan Presiden atau Pengarah Pilihan Raya parti.
“Kalau isteri ingkar perintah suami maka jatuh nusyuz dan adalah dayus jika kita tidak ceraikan bini yang nusyuz,” katanya semasa membahaskan ucapan Pemangku Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Ahmad Yakob dalam Multaqa Ulama SeMalaysia II di Stadium Tertutup MPSJ, Serdang Jaya, dekat sini hari ini.
Pada 8 Februari lalu, Ketua Dewan Pemuda Pas Kuantan, Fadhli Ibrahim bersama kira-kira 300 ahli yang merupakan penyokong Abdul Hadi berhimpun di ibu pejabat parti itu mendesak Mohd. Hatta dan mereka yang terlibat dalam komplot menjatuhkan Presiden serta kepemimpinan ulama meletak jawatan.
Dalam laporan sebuah portal baru-baru ini, Presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa), Datuk Phahrolrazi Zawawi mengakui terdapat perbincangan dalam parti berhubung kedudukan Abdul Hadi sebagai presiden Pas.
Bagaimanapun, beliau dilaporkan menafikan terlibat dalam kumpulan itu walaupun ada pihak yang mengaitkannya bersama Mohamad, Mohd. Hatta dan Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa dalam kumpulan yang didakwa cuba menjatuhkan Abdul Hadi.
Dalam pada itu, Fauzi bertindak menyelar sikap Mohamad yang sering kali menyifatkan kenyataan Abdul Hadi mengenai pelbagai isu berkait pakatan pembangkang cuma sebagai pandangan peribadi Presiden Pas tersebut dan bukan mewakili pendirian parti.
Katanya, jika begitu pendirian yang diambil oleh Mohamad, mengapa Timbalan Presiden Pas tersebut tidak pula tampil menyifatkan kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pandangan peribadi dalam isu serupa.
“Sebab itu pada saya, seluruh ahli Majlis Syura Ulama perlu bertegas, mesti menyatakan pendirian segera dan jangan ada muslihat (kerana) kepentingan jemaah perlu dijaga, kalau tidak kekuatan yang ada pada kita pada hari ini akan hilang,” katanya.
Utusan
No comments:
Post a Comment