ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: SADIS : MAUT DIHUJUNG TANDUK KERBAU BETINA YANG MENGAMUK !!!

Saturday, 7 February 2015

SADIS : MAUT DIHUJUNG TANDUK KERBAU BETINA YANG MENGAMUK !!!

KERBAU MENANDUK IBU TUNGGAL

Segamat – “Saya tidak boleh pergi dekat untuk menyelamatkan mangsa kerana kerbau itu terlalu garang dan turut mahu menyerang saya,” kata saksi serangan kerbau yang menyebabkan seorang ibu tunggal maut ditanduk di kebun getah di Kampung Mensudut Pindah, Batu Anam, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, Rosnani Wahid, 46, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan ditanduk kerbau betina yang mengamuk itu

Saksi, Mohamad Rashidi Razali, 31, berkata ketika kejadian mangsa sedang menoreh di kebun getah berkenaan tanpa mempedulikan seekor kerbau betina yang dilihat sedang bergelut untuk melepaskan diri kerana talinya tersangkut pada akar pokok.

Rashidi yang juga pemilik kebun getah berkenaan berkata, dia memberi amaran kepada Rosnani supaya tidak menghampiri haiwan berkenaan kerana ia kelihatan bengis.

“Ketika itu jarak antara mangsa dan kerbau kira-kira tiga meter. Tiba-tiba mangsa menghampiri haiwan itu untuk menghalaunya dan dalam sekelip mata kerbau itu menanduknya menyebabkan dia jatuh.

“Apabila Rosnani terbaring di atas tanah, kerbau berkenaan terus menanduk mangsa beberapa kali dan dia menjerit meminta tolong, tetapi saya tidak boleh berbuat apa-apa kerana kerbau itu amat bengis dan mahu menyerang saya apabila menghampirinya,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurut Rashidi, jeritan mangsa turut didengari beberapa penduduk yang bergegas ke tempat kejadian sebelum membantu menenangkan haiwan itu dan menyelamatkan mangsa.

“Bagaimanapun ketika kerbau itu berjaya ditangkap dengan bantuan beberapa penduduk, mangsa didapati sudah tidak bernyawa dan badannya berlumuran darah,” katanya.

Katanya, ibu kepada lima anak berusia antara tujuh hingga 19 tahun itu mengambil upah menoreh di kebun getah milik keluarganya sejak tiga bulan lalu.

Penggembala kerbau terbabit, Mohd Nadzir Japar, 41, berkata dia mendapati haiwan seberat 500 kilogram itu hilang dari kandangnya yang terletak kira-kira 200 meter dari kebun getah berkenaan.

Katanya, haiwan itu mungkin bertindak agresif kerana dalam keadaan tertekan selepas gagal melepaskan diri kerana talinya tersangkut pada akar pokok selama beberapa jam.

“Selama ini kerbau itu tidak pernah bertindak agresif, malah jinak. Namun mungkin kerana kelaparan dan keletihan cuba melepaskan diri sejak malam, menjadikan ia tertekan dan bengis,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Batu Anam, Segamat, sejurus kejadian. 
HMetro

No comments:

Post a Comment