ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: PENUBUHAN "GABUNGAN IMPIAN KELANTAN" TIADA NIAT CABAR KREDIBILITI KERAJAAN KELANTAN

Monday 2 February 2015

PENUBUHAN "GABUNGAN IMPIAN KELANTAN" TIADA NIAT CABAR KREDIBILITI KERAJAAN KELANTAN

Husam (tiga, kiri) semalam menyaksikan wakil penderma menyerahkan barangan kepada Mohamad (enam, kiri) untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan bagi meringankan beban mangsa banjir.

KOTA BHARU - Penubuhan Gabungan Impian Kelantan,  yang dianggotai pemimpin Pas, DAP dan pelbagai pihak lagi tidak berhasrat mencabar kredibiliti Kerajaan Kelantan dalam membantu rakyat ditimpa musibah banjir terburuk baru-baru ini.

Pengerusi sementara gabungan itu, Datuk Husam Musa berkata, komitmen badan bukan kerajaan (NGO) tersebut yang dianggotai kira-kira 39 NGO dan orang perseorangan itu adalah untuk menyahut naluri kemanusiaan tanpa mengira batas politik.

“Kita bukan bersaing dengan kerajaan negeri, tidak berniat untuk berlumba dengan kerajaan negeri tetapi kita hadir (penubuhan gabungan) adalah untuk mengisi ruang kosong dan mencetus sesuatu yang baharu untuk menjadi ikutan.

“Saya ingin menjelaskan supaya tidak berlaku salah faham. Kita berada di sini hanya untuk membantu, kebetulan untuk menolong kerajaan kita sendiri, yang mana gabungan akan menampung apa yang kurang dan menguatkan apa yang kuat (menyokong usaha kerajaan negeri),” katanya pada Majlis Pelancaran Gabungan Impian Kelantan di Dewan Perniagaan Cina di sini, malam kelmarin.

Majlis tersebut dihadiri Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Setiausaha Organisasi  Kebangsaan DAP, Anthony Loke; jurucakap Gabungan Impian Kelantan, Datuk Ambiga dan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said.

Difahamkan, bekas Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Wan Rahim Wan Abdullah menjadi pengantara bagi gabungan tersebut untuk memaklumkan kepada kerajaan negeri mengenai penubuhannya.

Bagaimana pun pada majlis yang dihadiri lebih 200 orang itu, tidak disertai oleh Exco Kelantan.

Husam yang juga Naib Presiden Pas menegaskan, penubuhan dan matlamat gabungan tersebut sudah dimaklumkan kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan pimpinan negeri pada Selasa lalu.

Adun Salor itu berkata, segala bantuan yang dihulurkan bukan berhasrat untuk meraih sokongan rakyat pada pilihan raya umum nanti tetapi demi membantu golongan terkesan dengan banjir.

Husam pada sidang medianya memberitahu, gerak kerja gabungan tersebut tidak perlu dilaporkan kepada kerajaan negeri kerana ia merupakan NGO dan penubuhannya juga adalah secara sah.

Husam menjelaskan, aktiviti yang dijalankan termasuk pembinaan rumah, membaiki kediaman dan juga mewujudkan perkampungan baharu tidak bertindan dengan projek yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri mahupun pusat.

Katanya, gabungan itu juga bersedia untuk menerima pelbagai jenis bantuan termasuk peralatan dan bahan untuk membina rumah walaupun ia didermakan oleh MCA.

Beliau berkata, orang ramai boleh menderma, simen, gergaji, paku dan pelbagai barangan lain dan juga boleh meletakkan pelbagai barangan di stor wakaf yang dibina di Laloh (Daratan Hijau).
SH

No comments:

Post a Comment