Kuala Lumpur – Beberapa bekas ahli dan penyokong DAP mendakwa parti itu cuba memainkan isu perkauman apabila mensensasikan kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menggesa pengguna memboikot peniaga yang enggan menurunkan harga barang.
Bekas setiausaha Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim, Tony Tan berkata, pemimpin DAP sengaja menghangatkan isu itu untuk meraih sokongan kaum Cina namun jika perkara sama dilakukan oleh ahli sendiri, mereka hanya mendiamkan diri.
“Dalam Facebook ada banyak komen yang menghina agama dan kerajaan tetapi DAP hanya berdiam diri namun bila menteri bercakap mengenai peniaga Cina mereka ambil kesempatan kononnya ini membabitkan isu perkauman.
“Tindakan DAP ini berat sebelah sebab mereka hanya tunggu peluang untuk hentam kerajaan sampai boleh menimbulkan pergaduhan walaupun kenyataannya rakyat memang mahu supaya harga barang turun,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Ismail Sabri dalam kenyataannya sebelum ini meminta rakyat memboikot pemborong dan peniaga yang masih enggan menurunkan harga barang yang dilihat bukan sahaja memberi faedah kepada orang Melayu tetapi juga pengguna berketurunan Cina.
Kenyataan tersebut bagaimanapun dijadikan bahan putar belit oleh pembangkang kononnya satu penghinaan kepada kaum Cina sehingga mencetuskan kontroversi dan menjadi viral di laman sosial.
Bekas ahli DAP, Young Chan berkata, DAP sepatutnya menyelesaikan terlebih dahulu masalah dihadapi rakyat Pulau Pinang yang semakin tertekan dengan kenaikan kos hidup yang tidak terkawal sejak tahun 2008.
“Cukai tanah dan sewa bangunan melambung di negeri itu sejak DAP memerintah malah di beberapa kawasan cukai tanah naik daripada RM200 hingga RM1,200 disebabkan oleh dasar parti itu,” katanya.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin, Ramesh Rao yang juga bekas penyokong kuat DAP berkata, parti itu pernah menabur janji akan memastikan harga barang di sekitar Lembah Klang turun sekiranya rakyat memberi undi pada pilihan raya umum lalu namun segalanya tidak ditunaikan.
Utusan Online
No comments:
Post a Comment