ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: AL-FATIHAH - PELAKON SIDEK HUSSAIN MENINGGAL DUNIA !!!

Monday 28 April 2014

AL-FATIHAH - PELAKON SIDEK HUSSAIN MENINGGAL DUNIA !!!


PETALING JAYA: Setelah sekian lama menderita akibat ketumbuhan sehingga menjadi kanser pada pipinya, pelakon Sidek Hussain, 63, akhirnya meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini kira-kira pukul 11.55 malam Ahad.

Sidek dimasukkan ke HKL pada 22 April lalu apabila keadaan kansernya semakin serius pada tahap empat sehingga komplikasi penyakit itu merebak ke seluruh badan.

Allahyarham meninggal dunia di sisi isterinya Sebiah Sulaiman, 61.

Rakan baik Allahyarham, Abu Bakar Omar ketika dihubungi mStar Online memberitahu sudah dimaklumkan tentang keadaan kesihatan Allahyarham semakin kritikal sejak beberapa hari lalu.

"Dia sepatutnya perlu buat rawatan kimoterapi selepas disahkan mengidap kanser tetapi kerana kesihatannya tidak membenarkan rawatan itu dilakukan.

"Tekanan darah dia sangat rendah dan lemah sehingga tidak boleh lakukan sebarang rawatan, jadi doktor bagi ubat supaya dia tidur dan rehat," katanya.

Bagaimanapun, Abu Bakar berkata, dia sempat membacakan surah Yassin dan mengajar arwah untuk mengucap  dua kalimah syahadah buat kali terakhir.

"Saya dapat menziarahi dia pukul 12 tengah hari semalam (Ahad) selepas diberitahu tentang keadaannya semakin nazak dan sempat membacakan surah Yasin untuknya,

"Ketika itu beberapa rakan terdekat dan ahli keluarga sudah dipanggil untuk menziarahinya, dan malam tadi anak dia ada hubungi saya memaklumkan tentang berita ini, katanya. 

"Walaupun dia tidak mampu bercakap tetapi dia ikut ketika saya ajar dia untuk mengucap dua kalimah syahadah," ujarnya.

Jenazah dimandikan di Masjid Kuang dan dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Kuang, Batu 17, Selangor kira-kira pukul 12 tengah hari, Isnin.

Sidek yang banyak berlakon dalam drama-drama televisyen tempatan sebelum ini pernah menerima rawatan pakar di Hospital Sungai Buloh dekat sini tetapi pihak doktor tidak dapat melakukan pembedahan kerana ia berisiko  tinggi.

Selain kanser berkenaan, beliau turut mengalami masalah jantung dan paru-paru.

MStar

No comments:

Post a Comment