ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH

Tuesday, 26 April 2016

HAIWAN BERBISA MASIH GAGAL DITEMUI

KOTA BHARU - Gerakan mengesan dan mencari haiwan berbisa yang menyebabkan kematian murid tahun 1, Sekolah Kebangsaan (SK) Dato Hashim 1, Nuriey Nadhirah Ruslan, 7, Selasa lalu, diadakan semalam.

Setiausaha Bomba Sukarela Squad 4x4 Kelantan, Baharin Mat Hassan berkata, operasi terbabit turut melibatkan keluarga mangsa yang dibantu pengusaha-pengusaha trak di negeri ini dengan kerjasama pihak sekolah.

“Operasi dijalankan seawal jam 10 pagi dan berakhir jam 12 tengah hari dengan bantuan Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa bersama sebuah jentera bomba dan enam anggota

“Turut menyertai operasi, pasukan bomba sukarela squad 4x4 Kelantan dengan lapan anggota di samping bantuan polis termasuk anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), “ katanya kepada Sinar Harian.

Baharin berkata, gerakan mencari haiwan berbisa itu diadakan di pekarangan sekolah selesai kira-kira jam 12 tengahari.

"Malangnya, tiada sebarang haiwan berbisa ditemui," katanya.
SH

PRN11: BN LANCAR MANIFESTO 15 PERKARA UTAMA


KUCHING: Barisan Nasional (BN) Sarawak mengumumkan manifesto parti bertemakan 'Beri Peluang Kepada TeamAdnan #theAdnanWay dengan menggariskan 15 perkara utama dalam usahanya mengekalkan kemenangan penting pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 7 Mei depan. 

Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem, melancarkan manifesto itu pada satu majlis di Bilik Persidangan, Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), di Jalan Bako, di sini sebentar tadi. 

BN menjadi parti politik pertama melancarkan manifesto bagi pilihan raya negeri ke-11. Sementara, PKR dan DAP mengumumkan manifestonya bersama dijadual jam 11 pagi ini, disusuli parti pembangkang tempatan termasuk SNAP. 

Manifesto BN diterbitkan dalam empat bahasa - Bahasa Malaysia, Inggeris, Iban dan bahasa Cina, turut memuatkan perutusan Adenan. 

Adenan pada sidang media selepas pelancaran menjelaskan manifesto PRN kali ini, mengandungi 53 prinsip dan tindakan, dengan rangkuman kepada dua perkara utama iaitu komitmen sudah dilakukan BN sejak dua tahun lalu serta perancangan untuk masa depan. 

Berikut senarai 15 teras utama dalam manifesto PRN BN: 
1. Menegakkan hak Sarawak dan rakyatnya 

2. Mempertahankan keamanan dan keharmonian negeri kita 

3. Memelihara budaya, warisan dan kepercayaan pelbagai kaum di Sarawak 

4. Menjamin hak rakyat ke atas tanah mereka 

5. Melindungi dan memulihara alam semulajadi 

6. Mempertingkatkan kebajikan golongan yang kurang bernasib baik 

7. Menyediakan lebih banyak rumah mampu milik untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana 

8. Mempercepatkan pembangunan jaringan jalan, liputan bekalan air, elektrik dan telekomunikasi 

9. Meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan 

10. Meningkatkan penyertaan wanita dalam aktiviti sosio-ekonomi 

11. Mengiktiraf dan membangunkan potensi belia demi masa depan kita 

12. Memajukan pendidikan dan latihan teknikal 

13. Mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat Sarawak 

14. Membangunkan persekitaran perniagaan yang kondusif untuk pelaburan dan keusahawanan 

15. Industrialisasikan negeri melalui sektor pembuatan, pelancongan dan transformasi luar bandar.

bharian

Wednesday, 6 April 2016

RAFIZI DITAHAN KERANA DEDAH MAKLUMAT OSA


Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli ditahan polis petang Selasa kerana dedah maklumat yang dibawah Akta Rahsia Rasmi mengenai 1MDB.
 
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pandan ditahan dekat pintu pagar utama bangunan Parlimen ketika hendak keluar dari situ.
 
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sahkan penahanan Rafizi dan  akan disiasat dibawah Seksyen 8 Akta Rahsia rasmi 1972.

Tuesday, 5 April 2016

MAHATHIR DAH JADI AHLI POLITIK "LOW CLASS"


PETALING JAYA – “Mahathir sudah sampai ke tahap ahli politik low class”, kata Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz apabila mendakwa bekas Perdana Menteri menghalalkan cara asalkan niat menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak tercapai.

“Ya, dia menghalalkan cara. Prinsip dia, buat apa sahaja perkara boleh dilakukan asalkan niatnya tercapai.

“Dia kini sudah sampai ke tahap ahli politik yang ‘low class’. Sungguh sedih. Tetapi nak buat macam mana. Dia buat diri dia macam itu,” katanya, lapor Sinar Harian.

Menteri Kebudayaan dan Pelancongan itu berkata, Dr Mahathir semakin terdesak kerana rancangannya untuk menjatuhkan Najib masih belum berjaya dan terpaksa menghalalkan apa saja cara asalkan niatnya itu tercapai.

Kata Nazri, dendam kesumat Dr Mahathir terhadap Najib telah melampaui daripada yang biasa.

“Dia seorang yang sudah terdesak. Sebelum ini, setahun dia cuba jatuhkan Najib tetapi dia gagal. Ahli Umno tetap berdiri teguh di belakangnya (Najib). Jadi sebab itu, dia (Mahathir) keluar parti dan anak dia pula kena buang. Bertambahlah dendamnya.

“Jadi dia akan ambil apa sahaja kesempatan untuk menggabungkan usaha menjatuhkan Najib. Contohnya dia tengok perhimpunan Mansuh GST boleh jatuhkan Najib, dia akan turut serta. Sampai ke situ dendam dia,” katanya.

Katanya, usaha keras Mahathir untuk menjatuhkan Najib tidak akan berjaya kerana prinsipnya sudah tersasar.

“Rakyat tahu yang mana boleh ikut dan tidak. Nampak sangat dia duduk dengan pembangkang, dia berkompromi dengan prinsip dia. Amat memalukan.

“Sekarang, dalam politik dia sudah sampai ke tahap yang rendah. Langsung tidak ada prinsip,” katanya, lapor akhbar itu lagi.
FMT

Sunday, 3 April 2016

SERPIHAN KABIN DIPERCAYAI MILIK MH370 DITEMUI DI PULAU RODRIGUES


PULAU RODRIGUES: Serpihan dari bahagian dalam kabin dipercayai milik pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang, dijumpai di sebuah pulau di Mauritius, di timur Afrika.

Pakar Bebas MH370 (IG), Don Thompson sudah melihat gambar bahagian serpihan itu dan berkata ia kelihatan padan dengan dinding sekat kabin kelas perniagaan, pesawat MAS Boeing 777.

Kemasan hiasan pada bahagian itu bagaimanapun, tidak terhad kepada seksyen milik B777 dan mungkin juga dari kelas ekonomi, kata Thompson kepada news.com.au.

Maklumat itu disampaikan kumpulan tersebut kepada Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) pagi Ahad.

Jika terbukti objek itu datang dari pesawat MH370, ia penemuan yang sangat penting kerana menjadi serpihan dalaman pertama yang mungkin pernah ditemui.

Serpihan itu juga akan memberi lebih banyak gambaran tentang bagaimana pesawat itu terhempas ke dalam air.

Bangkai pesawat itu ditemui pasangan yang sedang bercuti di Pulau Rodrigues ketika bersiar di pantai dekat War-Brûlé antara Mourouk and Gravel, pada Khamis.

Jean Dominique dan Suzy Vitry, yang tinggal di La Reunion berdekatan lokasi penemuan flaperon yang disahkan dari pesawat itu Julai lalu, terus mengesyaki mereka menemui satu lagi serpihan MH370, lapor laman web Reunion, Clicanoo.

Pesawat Malaysia Airlines MH370 hilang pada 8 Mac 2014 dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing bersama 239 orang penumpang. 

Meskipun operasi pencarian dilakukan di Lautan Hindi tiada penemuan konkrit yang membawa kepada penemuan bangkai pesawat yang hilang itu.
mStar

PARTI HARI JADI DISERBU


KOTA BHARU - Sekumpulan lelaki dan wanita yang menggunakan alasan untuk menyambut hari lahir di sebuah hotel di sini kelmarin, terpaksa membatalkan niat mereka selepas parti terbabit diserbu penguat kuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MKPB-BRI) di sini malam kelmarin.

Lebih mengejutkan, sambutan majlis itu yang menonjolkan acara karaoke turut diselitkan dengan tarian wanita dan pondan yang berpakaian mencolok mata.

Ketika serbuan dilakukan, hampir 50 tetamu yang hadir di majlis itu sedang leka menari dan menyanyi dan dikejutkan dengan kehadiran penguat kuasa.

Semasa serbuan dijalankan, keadaan menjadi kelam kabut dan tiga mak nyah sempat melarikan diri selepas menyedari kehadiran penguatkuasa.

Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan MPKB-BRI, Ramli Che Hussain berkata, serbuan melibatkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK), dan polis itu, dijalankan hasil maklumat awam berhubung parti terbabit yang dianjurkan di dewan hotel itu.

“Penganjurnya, seorang wanita muda berusia-20an telah melakukan kesalahan di bawah enakmen kanun hiburan dan dikenakan kompaun RM5,000.

“Ini jelas satu kesalahan memandangkan dia (penganjur) buat majlis yang turut menyediakan hiburan karaoke, percampuran antara lelaki dan wanita dan pakaian wanita serta pondan yang mencolok mata,” katanya kepada Sinar Harian.

Ramli berkata, tiga wanita dan seorang pondan yang ditahan pula diserahkan kepada pihak JHEAIK untuk siasatan lanjut.

“Manakala set karaoke bernilai RM8,000 turut dirampas dan disita untuk tindakan susulan.

“Kita memandang serius perkara ini yang mengundang masalah sosial kepada masyarakat dan akan lakukan operasi seumpama ini secara berterusan,” katanya.
SH

Wednesday, 30 March 2016

'SAYA TAK PERNAH SOKONG DEKLARASI MAHATHIR NAK JATUHKAN NAJIB' - KU LI

Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menegaskan beliau tidak pernah menyokong Deklarasi Mahathir untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata tidak timbul soal beliau berubah pendirian dan kini menyokong Najib sebagaimana didakwa bekas perdana menteri Tun Mahathir Mohamad kerana menandatangani Deklarasi Kelantan Khamis lalu untuk menyokong Najib sebagai perdana menteri dan presiden UMNO

“Sebenarnya dokumen itu (Deklarasi Kelantan) adalah dokumen biasa yang dibuat oleh mana-mana majlis parti politik … dokumen itu tidak ada kesan kepada perundangan. Sebagai ahli UMNO saya boleh saja tandatangan.

“Jangan salah faham, saya tandatangan sebagai ahli UMNO, saya tidak berada di mana-mana kumpulan selain daripada UMNO,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya.

Tengku Razaleigh berkata beliau tidak menyokong cara Tun Mahathir untuk menurunkan Najib kerana ia bertentangan dengan perlembagaan dan sistem demokrasi negara.

Dalam pada itu, beliau berkata Deklarasi Mahathir tidak akan membawa apa-apa kesan kepada pemimpin serta kerajaan yang sah dipilih rakyat dan mengikut perlembagaan negara.

“Saya cakap dengan Tun Mahathir, kalau hendak buat gerakan ini akhirnya ke mana kita pergi, beliau kata akan pungut banyak sokongan menerusi tandatangan dan sebagainya dan gunakan ia untuk tekan orang atasan untuk turunkan Najib”.

Sementara itu, Tengku Razaleigh menafikan ada mengedar akuan bersumpah yang menyokongnya untuk menjadi perdana menteri seperti yang tersebar dalam media sosial.

“Saya lihatnya di Facebook melalui telefon saya … tidak berapa jelas seperti surat kepada Agong meletak nama saya sebagai contoh,” katanya.

Tengku Razaleigh berkata beliau sudah terlalu lama dalam UMNO untuk menjadi seorang perdana menteri dan adalah mustahil beliau yang menulis surat tersebut dan meletak nama sendiri.

TIADA LAPORAN GULA-GULA DADAH

Polis belum menerima sebarang laporan mengenai gula-gula yang dikatakan mengandungi dadah dan menyebabkan kanak-kanak menjadi ketagih selepas memakannya seperti didakwa di laman sosial baru-baru ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Mohd. Dzuraidi Ibrahim berkata, pihaknya sedia maklum mengenai perkara itu namun, masih tiada laporan diterima daripada orang ramai mengenai dakwaan tersebut.

Menurut beliau, gula-gula itu dipercayai dikilangkan di Myanmar berdasarkan plastik pembalutnya.

“Kemungkinan ia adalah gula-gula betul dan dijual di negara berkenaan selain di laman web syarikat tersebut.

“Kita tidak menolak kemungkinan ada pihak tidak bertanggungjawab membungkus dadah menggunakan pembungkus gula-gula tersebut,” katanya kepada Kos­mo! di sini semalam.
kosmo

DICERAI TALAK TIGA, SELEPAS SETENGAH JAM BERNIKAH !!!


KUALA LUMPUR –  Gara-gara wang hantaran tidak cukup seribu, seorang lelaki menceraikan isterinya selepas setengah jam melangsungkan pernikahan.

Insiden itu berlaku selepas hantaran yang diletakkan keluarga pengantin perempuan sejumlah RM22,222.22, didakwa tidak dapat disediakan oleh pengantin lelaki.

“Hantaran kahwin mak ayah perempuan ni letak, mahal gila, tapi si laki ni setuju. Aku tengok pun lelaki ini bukan calang-calang orang.

“Hari akad nikah, gembira sahaja dua-dua belah pihak. Pengantin muka dah tak saba mengawan. Ye la, musim hujan masa tu. Tok kadi sampai, maka berlangsung la acara akad nikah dan selamba dengan senafas sahaja si lelaki lafazkan akad. Hantaran pun bertukar tangan begitu gak ngan mas kahwin. Masa lelaki tu nak baca lafas takliq, tiba-tiba saudara dari pihak perempuan bising duit hantaran tak cukup seribu,”tulis jurugambar, Boii Amani Hashim yang memuat naik status perkongsian di Facebooknya, beberapa jam lalu.

Tambah Boii Amani, pengantin perempuan terus sahaja bangun dari tempat duduknya.

“Tinggikan suara kat pengantin laki bertanyakan pasal ape tak cukup seribu…siap pihak pompuan perli-perli ‘dah tau tak cukup duit tapi gatal sangat nak kahwin tu kenapa?’ (jeritnya).

“Yang pengantin lelaki walaupun mata berkaca, dia senyum saja. Dia amik ‘mic’ pastu dia cakap, baru jadi isteri tak sampai setengah jam dah camni. Saje saya tak cukupkan seribu sebab nak tengok kamu macam mana. Ni ada saya bawa wang yang tak cukup tu, (sambil buka beg yang berkepuk-kepuk duit 50 dan 100). Tak apa la…alang-alang semua ada kat sini, boleh jadi saksi saya. Saya ceraikan awak dengan talak tiga,” tulis Boii yang turut menceritakan lelaki itu terus beredar daripada majlis tersebut.

Tinjauan SuaraTV mendapati, ramai yang mengecam tindakan pengantin perempuan dan ahli keluarga yang mengenakan wang hantaran yang tinggi.

Ada juga yang berpendapat, keluarga pengantin perempuan tidak boleh keterlaluan dan mementingkan wang ringgit semata-mata hanya kerana ingin mengahwinkan anak mereka.

Ada juga menyifatkan di zaman ini, tindakan ibu bapa sama seperti ingin meniagakan anak perempuan mereka.

Arini Suhaimi berkata, “Pelik la, arwah Tok Guru Nik Aziz pun ambik seribu je. Itu anak tok guru!,”tulisnya.

“Ingat dia bangun nak ‘back up’ si laki. Awak dapat apa yang awak buat. Puas hati aku,” ujar Elinda Hashim.

Manakala Awin berkata, “Pengantin perempuan jangan terlalu tamak, nak caj mahal-mahal. Keluarga perempuan jangan macam niaga anak!,”katanya.

Zanzolees berkata, “Zaman ke zaman manusia bertindak seperti binatang. Tamak haloba!,”tulisnya.

Terdahulu, sebuah video mengenai satu majlis pernikahan bertukar kecoh apabila wang hantaran tidak mencukupi.

Kejadian dikatakan berlaku pada Sabtu lalu di Masjid Jamek Al Khadijah dekat Pantai Dalam itu bertukar kecoh apabila berlaku kejadian maki hamun dan pergaduhan melibatkan kedua belah pihak.

Susulan itu, saudara pengantin perempuan tampil memberi penjelasan menerusi kejadian yang berlaku.

Terbaharu, pengantin lelaki turut tampil membuat penjelasan berhubung insiden tersebut.
SuaraTV

Tuesday, 29 March 2016

SEKUMPULAN PEMANDU TEKSI LANCAR MOGOK DI BUKIT BINTANG

PETALING JAYA: Sekumpulan pemandu teksi pada Selasa melancarkan mogok di Bukit Bintang bagi membantah perkhidmatan Uber dan GrabCar.

Protes di Jalan Bukit Bintang berhadapan Hotel Grand Millennium dan berdekatan pusat membeli-belah Fahrenheit 88 dan Pavilion itu mengakibatkan kesesakan teruk.

Bantahan yang bermula kira-kira pukul 11 pagi itu dibuat oleh puluhan pemandu teksi yang sengaja menutup Jalan Bukit Bintang.

Puluhan pemandu teksi sengaja menutup Jalan Bukit Bintang sebagai tanda protes. Foto twitter @bernamadotcom
Menurut The Star Online, pihak polis mengadakan pertemuan dengan ketua kumpulan bantahan itu pada pukul 11.30 pagi dengan menasihatkan kesemua mereka supaya bersurai.

Antara yang ditahan polis ialah Timbalan Presiden Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (PERS1M), Kamarudin Mohd Hussain.

"Kami di sana bagi membantah Uber dan GrabCar," kata Kamaruddin kepada The Star menerusi telefon semasa beliau dibawa polis.

Kamaruddin berkata, beliau bukan penganjur protes tetapi berada di sana bagi menyokong perhimpunan itu.

Beliau berkata, tiga lagi pemandu teksi turut ditahan.

Seorang jurucakap Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berkata, mereka menyedari mengenai isu itu dan akan mengeluarkan kenyataan media.
mStar