ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH

Friday, 23 October 2015

RINGKASAN INTIPATI KANDUNGAN #BAJET2016


KUALA LUMPUR - Berikut ialah intipati Bajet 2015 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Menteri Kewangan, di Dewan Rakyat, hari ini.
    
 Bajet 2015 bertemakan "Ekonomi Keperluan Rakyat".
    
 Bajet 2015 menggariskan tujuh strategi utama iaitu memperkukuhkan pertumbuhan ekonomi, memantapkan tadbir urus fiskal, mengupaya modal insan dan keusahawanan, memperkasa agenda Bumiputera, memartabatkan peranan wanita, membangunkan program transformasi belia negara dan mensejahtera rakyat.
    
 * Bajet 2015 memperuntukkan RM273.9 bilion, peningkatan RM9.8 bilion berbanding peruntukan asal 2014.

 * RM223.4 bilion bagi perbelanjaan mengurus, RM50.5 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

 * RM65.6 bilion untuk emolumen, RM38.1 bilion untuk perkhidmatan dan bekalan.

 * Di bawah peruntukan pembangunan, sektor ekonomi menerima agihan RM29.3 bilion

 * Peruntukan untuk sektor sosial merangkumi pendidikan, kesihatan, perumahan dan kesejahteraan masyarakat (RM12.6 bilion).

 * Peruntukan sektor keselamatan (RM4.9 bilion)

 * Kutipan hasil kerajaan Persekutuan untuk 2015, diunjurkan RM235.2 bilion, meningkat RM10.2 bilion berbanding 2014.
     
 * Pertumbuhan ekonomi dijangka kekal kukuh pada kadar 5 hingga 6 peratus, manakala defisit fiskal dijangka berkurangan kepada 3 peratus.

 * Anggaran RM23.2 bilion hasil kutipan menerusi pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada 2015.

 * Barangan dengan anggaran nilai RM3.8 bilion dikecualikan GST.  
     
 * Pemansuhan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) menjurus kepada kehilangan hasil kerajaan RM13.8 bilion.

 * RM4.9 bilion disalurkan untuk keperluan rakyat melalui pakej-pakej bantuan, contohnya tambahan BRIM.

 * Hasil kutipan bersih GST berbaki RM690 juta.

 * Kerajaan akan terus menyediakan ekosistem yang kondusif dan komprehensif
 bagi melonjak pelaburan domestik dan asing.

 * Projek infrstruktur 2015 ; membina Lebuh Raya Sungai Besi-Ulu Klang sepanjang 59km dengan kos RM5.3 bilion; Lebuh Raya Pantai Barat dari Taiping ke Banting (276km/RM5 bilion); Lebuh Raya Damansara-Shah Alam (47km/RM4.2 bilion); Lebuh Raya Lingkaran Luar Kuala Lumpur-Hubungan Timur (36km/RM1.6 bilion); menaiktaraf landasan keretapi sektor Pantai Timur (RM150 juta), pembinaan MRT Jajaran Kedua dari Selayang ke Putrajaya (56km/RM23 bilion), Projek LRT3 hubungkan Bandar Utama-Shah Alam-Klang (RM9 bilion).

 * Projek Pengerang Integrated Petroleum Complex dengan nilai pelaburan RM69 bilion, dijangka wujudkan lebih 10,000 pekerjaan.

 * Dana pinjaman sustainable mobility fund RM70 juta bagi membangunkan industri pembuatan kenderaan elektrik, sebagai permulaan 50 bas elektrik akan diperkenalkan.
         
 * RM100 juta Dana Industri Kandungan Digital Industri bagi memajukan industri kreatif negara. 

 * RM2.7 bilion untuk pembinaan seribu menara pencawang telekomunikasi baharu dan pembinaan kabel dasar laut dalam tempoh tiga tahun bagi meningkatkan keupayaan jalur lebar berkelajuan tinggi

 * Kerajaan mensasarkan 29.4 juta pelancong asing dengan jangkaan pendapatan RM89 bilion, sempena 'Malaysia - Year of Festivals 2015'.

  * RM316 juta diperuntukkan di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

 * TEKUN sediakan RM500 juta untuk pembiayaan keusahawanan iaitu RM350 juta (usahawan Bumiputera), RM50 juta (usahawan muda India), RM50 juta (usahawan wanita muda), RM50 juta (program pembangunan usahawan bekas tentera)

 * Pinjaman mudah RM50 juta untuk PKS kaum Cina, manakala penjaja dan peniaga kecil (RM30 juta).

 * Penjualan runcit minyak petrol RON95, diesel dan LPG diberikan pelepasan GST.
    
 * Kadar penggunaan elektrik yang tidak dikenakan GST dinaikan daripada 200 unit kepada 300 unit pertama.
    
 * Kadar cukai pendapatan individu akan dikurangkan satu hingga tiga peratus, 300,000 pembayar cukai pendapatan, tidak lagi perlu membayar.
    
 * Golongan berkeluarga berpendapatan RM4,000 sebulan, tidak lagi mempunyai tanggungan cukai.
    
 * Bagi tahun taksiran 2016, kadar cukai pendapatan syarikat dikurangkan satu mata peratusan daripada 25 kepada 24 peratus, manakala kadar cukai pendapatan syarikat kecil dan sederhana dikurangkan satu mata daripada 20 kepada 19 peratus.


 * Kerajaan memperuntukkan RM40.5 bilion untuk pelbagai subsidi pada 2014.
  
 * Kerajaan akan membangunkan satu mekanisme baharu pemberian subsidi petroleum dalam masa terdekat.

 * RM56 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Pendidikan untuk biayai pelbagai program pengajaran dan pembelajaran.

 * Kerajaan akan bina 12 sekolah baharu iaitu  tujuh sekolah rendah, 3 buah sekolah menengah dan dua sekolah berasrama penuh.
            
 * RM1.2 bilion untuk program Transformasi Vakasional dan Teknik

 * Akta Kerja 1955 dan akta perburuhan yang berkaitan akan dikaji semula bagi memastikan kebajikan pekerja terus terbela.

  * Kerajaan perkenalkan Sistem Insurans Pekerjaan bagi membantu golongan pekerja yang diberhentikan.
  
 * RM600 juta diperuntukkan bagi meningkatkan pemilikan ekuiti Bumiputera dalam syarikat swasta mahupun syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

 * RM2 bilion diperuntukkan menerusi MARA kepada pelajar Bumiputera yang layak untuk tajaan pelajaran.

 * Kerajaan akan mula membina Lebuh Raya Pan Borneo sepanjang 1,663 km melibatkan jajaran Sarawak sepanjang 936 km dan Sabah (727 km) dengan kos pembinaan RM27 bilion.

 * RM660 juta diperuntukkan kepada Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) bagi memperkukuhkan keselamatan di kawasan Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esszone).

 * Landasan lapangan terbang di Lahad Datu akan dipanjangkan bagi membolehkan pesawat berkeupayaan tinggi mendarat, Skuadron Hawk akan dipindahkan dari Butterworth ke Labuan dengan peruntukan RM50 juta.

 * RM2.26 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi pembangunan dan operasi.

 * Kerajaan akan wujudkan 1Malaysia Youth City dengan peruntukan RM100 juta bagi membiayai tiga projek perintis di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

 * Skim Perumahan Belia secara perkongsian pintar di antara kerajaan, Bank Simpanan Nasional, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Cagamas diumumkan.

 * Mulai Januari 2015, bantuan persekolahan RM100 seorang akan disalurkan kepada 5.4 juta pelajar sekolah rendah dan menengah dengan peruntukan sebanyak RM540 juta.

 * RM6 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi memperkukuh Rantaian Bekalan Makanan.

 * RM23.3 bilion diperuntukkan bagi perkhidmatan dan kemudahan kesihatan rakyat seperti membina Hospital Dungun di Terengganu dan Hospital Seri Iskandar di Perak, menambah 30 Klinik 1Malaysia, mengganti 635 unit mesin hemodialisis di hospital dan klinik kerajaan.

 * RM1.2 bilion bantuan kewangan disediakan kepada keluarga miskin, kanak-kanak, warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) .

 * RM117 juta diperuntukkan kepada Kementerian Pendidikan, Tabika Kemas, PERMATA dan Tabika Perpaduan bagi mengukuhkan pendidikan awal kanak-kanak.

 * 80,000 unit rumah PR1MA dibina dengan peruntukan sebanyak RM1.3 bilion.

 * Membina 26,000 unit rumah Program Perumahan Rakyat dengan peruntukan sebanyak RM644 juta.

 * Membina 12,000 unit Rumah Mesra Rakyat dan 5,000 unit Rumah Idaman Rakyat. Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan membina 20,000 unit Rumah Aspirasi Rakyat di atas tanah persendirian.

 * RM4.5 bilion diperuntukkan bagi menyedia dan menaiktaraf kemudahan dan infrastruktur luar bandar terutamanya di Sabah dan Sarawak.

 * Kerajaan akan menyediakan National Water Blueprint bagi memastikan kelangsungan bekalan air di seluruh negara untuk jangka panjang.

 * RM17.7 bilion diperuntukkan untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (RM9.1 bilion) dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia sebanyak  RM804 juta bagi meningkatkan tahap keselamatan dan ketenteraman awam serta pertahanan negara.

 * Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) ditingkatkan daripada RM650 kepada RM950 bagi isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah.

 * Bagi isi rumah berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000, bantuan BR1M akan ditingkatkan daripada RM450 kepada RM750.

 * Pemberian bonus sebanyak setengah bulan gaji kepada penjawat awam dengan bayaran minimum RM500 dan akan dibayar pada bulan Januari 2015, pesara kerajaan pula diberi bantuan khas sebanyak RM250.- Bernama

Thursday, 22 October 2015

LELAKI BAKAR DIRI, TERJUN BANGUNAN TINGKAT 17


KUALA LUMPUR 22 Okt - Seorang lelaki maut selepas membakar dirinya sebelum terjun dari tingkat 17 sebuah apartmen di Taman Sri Rampai di sini, malam tadi.
Dalam kejadian pada 9.30 malam itu, lelaki yang belum dikenal pasti identitinya dan dianggarkan berusia sekitar 30-an mati serta merta di tempat kejadian.
Pengurus keselamatan yang enggan dikenali, berkata mangsa bukan penduduk di apartmen berkenaan sebaliknya, dilihat masuk ke apartmen terbabit melalui pintu masuk utama sekitar pada jam 9.15 malam.
"Pergerakan mangsa dapat dilihat melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pintu masuk dan dia dilihat menuju ke salah sebuah blok sebelum menaiki tangga ke tingkat 17.
"Beberapa saksi nampak mangsa dalam keadaan terbakar terjun dari tingkat berkenaan sebelum memaklumkan perkara itu kepada pengawal keselamatan yang kemudian menghubungi bomba dan polis," katanya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail, berkata pihaknya menerima laporan pada jam 9.56 malam dan sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Wangsa Maju serta Setapak dikejarkan ke lokasi.
RakyatNews

Wednesday, 21 October 2015

SELEPAS BERBOGEL DI GUNUNG, KINI DI PANTAI PULA ???

BEBERAPA foto yang memaparkan pelancong asing didakwa dari China bergambar bogel di tepi pantai dipercayai di Sabah pula menjadi viral di media sosial.

Foto yang memaparkan tujuh lelaki berbogel membelakangkan kamera sambil seorang wanita lengkap berpakaian mengadap kamera dipercayai dirakam di Pulau Sibuan, Sabah, baru-baru ini.

Memetik laporan BH online, Ketua Polis Daerah, Superintendan Peter anak Umbuas berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penyebaran gambar itu beberapa hari lalu dan masih menyiasat sama ada foto terbabit dirakam di Semporna atau sebaliknya.

"Pihak polis akan mendapatkan kerjasama pihak Taman-taman Sabah (TTS) serta pengusaha pelancongan bagi mengesan identiti semua mereka yang terbabit.

"Kita sedang menyiasat kesahihan gambar itu kerana ada juga dakwaan ia dirakam diluar negara, namun dimuatnaik di Facebook kononnya berlaku di Sabah," katanya.

Antara gambar lain yang tersebar ialah tiga wanita dalam keadaan separuh bogel membelakangkan kamera dengan seorang lelaki berseluar pendek tersenyum.

Sebelum ini, beberapa pendaki pelancong warga asing berbogel di puncak Gunung Kinabalu sebaik berjaya tiba di puncak pada pagi 30 Mei lepas.

Insiden itu membangkitkan kemarahan dalam kalangan masyarakat di Sabah, khususnya penduduk tempatan Kundasang kerana pelancong itu tidak menghormati adat resam tempatan.

Sunday, 18 October 2015

KEPIMPINAN PAS PERLU BERUBAH


Pendakwah terkenal, Datuk Hassan Mahmud Al-Hafiz berkata Pas semakin berada dalam keadaan tenat sekiranya pimpinan parti berkenaan masih tidak mahu melakukan sebarang perubahan.

Menurutnya, bagi memastikan Pas kekal relevan, beliau berkata parti berkenaan kini memerlukan tiga golongan pemikir iaitu Ulul Ilmi (Ahli Ilmu), Ulul Albab (Ahli Falsafah) dan Ulul Abroq (golongan yang dapat melihat apa terjadi pada masa depan).

Katanya lagi, kepimpinan Pas sedia ada juga disaran untuk berehat dan memberi ruang serta peluang kepada golongan bawahan terutamanya golongan muda dan profesional dalam parti berkenaan.

“Dalam politik, kita kena ada juga orang-orang dari bahagian akademik untuk masuk sekali dalam parti. Ulama akan fikir dengan cara dia tapi dari sudut nak bangunkan ekonomi, negara dan politik, kita kena juga pinjam orang dari bahagian akademik untuk bantu.

“Contoh nak buat kereta api, kita kena import jurutera dan arkitek tapi kenapa nak bangunkan Islam kita tidak mahu import orang dari luar?” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Hassan berkata, pimpinan Pas juga perlu mengambil pendekatan mendidik pelajar-pelajar di universiti-universiti tempatan dan luar negara dari peringkat awal bagi melahirkan golongan pelapis pada masa depan.

Ujar beliau, Pas sememangnya mempunyai ramai golongan ulama namun parti berkenaan masih kekurangan golongan walak iaitu taat setia serta ketua yang hebat.

“Pas perlu mencontohi kepimpinan seperti Hassan Al Banna, Abdul Qadir Audah dan Sayyid Qutb di mana orang ramai dapat mengambil kebaikan dari apa yang mereka luahkan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai keadaan politik di negara ini, Hassan turut beranggapan senario politik negara pada masa ini menunjukkan peningkatan yang baik dan rakyat semakin matang.

Beliau berkata, masyarakat kini mula faham dan berani untuk mencabar, mengkritik serta mengemukakan idea berhubung sesuatu isu yang berlaku.

“Ini barulah politik sebenar. Kalau diam saja, itu dipanggil politik pak turut,” katanya.

Dalam pada itu, Hassan yang juga ahli Pas juga turut memaklumkan bahawa kehadiran Parti Amanah Negara (Amanah) dalam arena politik tanah air bertujuan bagi menunjukkan kepada Pas yang parti berkenaan bakal kekeringan golongan pemimpin akademik.

Hassan berkata, sekiranya ahli di dalam Pas berpecah, mereka masih mempunyai Amanah sebagai platform bagi meneruskan perjuangan politik.

“Ulama pernah berpesan, perpecahan kerana ingin bersatu itu lebih baik dari bersatu kerana hendakkan perpecahan.

“Kehadiran Amanah dalam politik tanah air adalah merupakan satu perubahan yang baik di samping melahirkan pemimpin dan pelapis yang hebat,” katanya.
SH

KKMM KAJI INTERNET JALUR LEBAR BERKELAJUAN TINGGI YANG MAMPU DIMILIKI



KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia(KKMM) sedang mengkaji untuk menyediakan Internet jalur lebar berkelajuan lebih tinggi yang mampu dimiliki, kata menteri berkenaan, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata pakej permulaan bagi jalur lebar tetap yang ditawarkan oleh Telekom Malaysia (TM) bermula pada 386 kilobit sesaat (kbps) telah dilanggan oleh 71 peratus rakyat Malaysia.

"Sungguhpun kini terdapat pakej dengan kelajuan lebih tinggi, seperti yang ditawarkan oleh Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB), 87 peratus daripada pelanggan memilih pakej 5Mps (megabit sesaat), dengan hampir tidak ada orang memilih pakej kelajuan melebihi 30 dan 50 MPS," katanya.

Salleh berkata sebaik infrastruktur itu dapat menampung keperluan, "kami mungkin mempertimbangkan untuk menukar pakej permulaan bagi kelajuan lebih tinggi tanpa sebarang peningkatan kos yang besar untuk mengekalkan kemampuan dan pada masa sama menawarkan kelajuan lebih tinggi.

"Kementerian saya sedang mengkaji butirannya," kata beliau dalam blognya sskeruak.blogspot.my di sini hari ini.

Salleh berkata kerajaan juga sedang berusaha untuk menaik taraf akses internet kepada lebih ramai pengguna di kawasan luar bandar, termasuk kawasan pedalaman dan pulau di Sabah serta Sarawak, bukan hanya untuk dinikmati oleh masyarakat di bandar.

"Saya telah meminta kementerian saya supaya memberi penekanan khas dan tumpuan terhadap pembangunan prasarana untuk memperluaskan penembusan Internet dan liputan di seluruh Malaysia," katanya.

Salleh berkata kerajaan mahu memastikan menjelang 2020 sekurang-kurangnya 95 peratus daripada rakyat Malaysia akan mempunyai akses kepada Internet dan  sekurang-kurangnya 50 peratus daripada kawasan bandar serta 20 peratus daripada kawasan luar bandar mempunyai kelajuan jalur lebar kira-kira 100 Megabit sesaat.

Friday, 16 October 2015

WASPADA PENYEBARAN MAKLUMAT DI MEDIA SOSIAL - DS SALLEH SAID KERUAK


Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, mengingatkan masyarakat agar sentiasa menilai dengan penuh berwaspada apa juga maklumat yang diterima dan disebarkan melalui laman sosial.

Beliau berkata pembangunan teknologi masa kini membolehkan penyebaran maklumat menjadi lebih pantas dan tiada batasan.

"Ada sebilangan masyarakat yang terpengaruh dan percaya dengan penyebaran maklumat yang kita sendiri tidak pasti kesahihan dan sumbernya," katanya kepada pemimpin Komuniti 1Malaysia (K1M) Labuan sebentar tadi.

Salleh berkata, berikutan kekukuhan asas ekonomi negara menyebabkan ada pihak yang berkepentingan cuba mengganggu-gugat kestabilannya dengan menyebarkan maklumat yang tidak betul.

Katanya, arahan telah dikeluarkan kepada agensi di bawah kementerian untuk berperanan lebih berkesan dalam memberi penjelasan kepada masyarakat tentang dasar kerajaan.

"Sebaiknya, pembangunan dan kecanggihan teknologi dalam penyebaran maklumat melalui internet digunakan untuk menjana pendapatan, meningkatkan ekonomi dan membuka peluang pekerjaan seperti mana diamalkan di negara lain, dan bukannya untuk kejahatan," katanya.

Salleh berkata adalah penting untuk masyarakat kini beralih arah kepada ekonomi digital melalui aplikasi teknologi maklumat yang terbukti boleh membantu meningkatkan ekonomi.

Sementara itu, beliau berkata kementeriannya kini memberi penekanan dan penumpuan kepada prasarana untuk penembusan dan kelajuan liputan internet.

Katanya kerajaan kini berusaha untuk memastikan kemudahan akses internet dipertingkatkan untuk dinikmati oleh masyarakat luar bandar.

"Beberapa perkara yang menjadi perhatian kementerian, bukan saja penekanan kepada kelajuan tetapi juga kemampuan masyarakat. Selain itu kita juga memberi perhatian kepada liputan, ini kerana Malaysia adalah negara yang luas.

"Kita tidak mahu kemudahan internet ini hanya dinikmati di bandar besar seperti Kuala Lumpur atau Pulau Pinang tetapi kita juga mahu memastikan masyarakat di pulau-pulau di Sabah turut menikmatinya," katanya.

BERAPA KENAIKAN KADAR HARGA TOL MENYUMBANG KEPADA PERBELANJAAN HARIAN ANDA ???

Berapa kenaikan kadar harga tol menyumbang kepada perbelanjaan harian anda?
Dengan kenaikan kadar tol sehingga 100 peratus di beberapa lebuh raya di ibu negara, pastinya penyelarasan kadar tol memberi impak kepada perbelanjaan seharian pengguna.

Banyak persoalan yang timbul semenjak kadar tol dinaikkan pada 15 Oktober di kalangan pengguna lebuhraya tersebut untuk menuju ke destinasi masing-masing.

Adakah anda menggunakan 18 lebuh raya setiap hari? Berapakah kos tambahan yang terpaksa dibelanjakan berikutan kenaikan kadar baharu ini?

Astro AWANI melakukan pengiraan ringkas bagi pengguna Lebuhraya SMART, Lebuhraya Baru Pantai (NPE) dan Lebuhraya Damansara Puchong (LDP).

LEBUHRAYA SMART
Kadar tol baharu bagi kenderaan kelas satu di laluan ini adalah RM3 berbanding kadar lama RM2.

Ini menyebabkan bayaran perlu dibayar pengguna bagi perjalanan ulang alik bagi tempoh lima hari bekerja meningkat kepada RM30 berbanding RM20 sebelum ini.

Bagi pengguna Lebuhraya SMART, perbelanjaan untuk tol mengalami kenaikan sejumlah RM10 bagi tempoh lima hari bekerja.

Tol

Jika pengiraan ringkas dilakukan, jumlah ini boleh digunakan untuk membayar hidangan makan tengah hari nasi kandar dan air sirap untuk seorang di restoran mamak di sekitar Kuala Lumpur.

Bagi tempoh sebulan, kos tambahan dari kenaikan kadar tol adalah RM40. Dengan harga tersebut, ibu bapa yang mempunyai anak kecil boleh membeli sepeket lampin pakai buang bayi.

Bagi pengguna Tol SMART yang menggunakan laluan ini secara kerap, kini terpaksa membelanjakan RM480 sebulan untuk bayaran tol.

Dengan jumlah ini, pengguna mungkin dapat membayar kadar bulanan untuk pebiayaan tadika atau tuisyen anak-anak.

LEBUHRAYA BARU PANTAI (NPE) 
Tol

Kadar tol baharu bagi lebuh raya NPE meningkat sebanyak 50 sen dengan kadar baharu pada harga RM2.30.

Bagi perjalanan berulang-alik setiap hari bekerja melibatkan kos RM23 seminggu, berbanding RM16 sebelum ini.

Peningkatan RM7 dalam perbelanjaan mingguan ini bersaamaan dengan perbelanjaan anda untuk sarapan nasi lemak dan teh tarik selama tiga hari.

Anggaran kos sebulan sebanyak RM28 bersamaan dengan harga setin susu tepung (satu kilogram).

Jumlah bulanan ini akan meningkat kepada RM336 untuk tempoh 12 bulan dapat digunakan untuk sebulan pinjaman bagi kenderaan jenis Viva.

Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP)
Perbelanjaan tol bagi pengguna lebuh raya (selepas kadar baharu diperkenalkan pada Khamis) bagi tempoh lima hari bekerja berjumlah RM5.

Dengan harga RM5, anda boleh membeli sarapan roti telur dan teh ais

Ia berikutan kadar tol baharu bagi lebuh raya LDP iaitu RM2.10 berbanding kadar lama pada harga RM1.60.

Bagi perjalanan berulang alik setiap hari bekerja melibatkan kos RM21 seminggu, berbanding RM16 sebelum ini.

Sunway

Dalam tempoh sebulan, seorang pengguna terpaksa membelanjakan RM20 yang sebelum ini boleh digunakan untuk membeli kad tambah nilai prabayar telefon telefon sebanyak dua kali.

Dalam tempoh setahun, kos perbelanjaan sejumlah RM240 bersamaan kos bil elektrik dan air untuk sebulan bagi sebuah rumah yang menggunakan alat penghawa dingin.

Bagi golongan kelas pertengahan dengan purata gaji RM2,500 sebulan, kiraan kasar bagi kos perbelanjaan bulanan untuk kadar tol baharu di laluan ini pula melibatkan kenaikan dengan anggaran 1.6 peratus.

Pemilihan tangga gaji RM2,500 ini dibuat kerana ia adalah anggaran purata lepasan graduan yang mempunyai kenderaan kecil.
AstroAwani

Thursday, 15 October 2015

"SAYA NYARIS JADI JUTAWAN"

Datuk Abdul Jalil Ali

PESANAN yang saya terima menerusi e-mail pagi itu memang amat menggembirakan. Tanpa hujan, tanpa ribut, fulus tiba-tiba akan masuk. Agaknya ini yang orang kata tuah datang menggolek.

Pengirimnya ialah Lavia Shafie, seorang wanita rakyat Malaysia yang kini menetap di UK. Pesanan bahasa Inggeris dalam e-mail itu agak panjang, tetapi fakta ringkasnya adalah seperti berikut:

Pertama, suaminya – warga British – telah tiga tahun meninggal dunia. Hmmm, janda mat salih, menarik juga. Kedua, arwah suaminya meninggalkan wang tunai dalam akaun bank berjumlah 12 juta Pound Sterling.

Ketiga, dia hendak pulang ke Malaysia dan memindahkan peninggalan suaminya itu ke sebuah bank di KL. Tetapi, dia tidak boleh membuka akaun bank di negara ini. Keempat, dia mahu menggunakan akaun bank saya untuk memasukkan semua duit arwah suaminya.

Kelima – ini yang paling menarik dan menggoda – atas kerjasama menggunakan akaun bank saya itu, saya akan diberi 2 juta Pound Sterling. Katanya pada akhir e-email: “Sila nyatakan nama penuh anda, alamat terkini, dan nombor akaun bank.”

Saya akan jadi jutawan segera. Bukan jutawan RM tetapi jutawan Pound Sterling. Kalau semuanya beres saya akan mendapat 2 juta duit orang putih. Kalau pada kadar 5.0 pun, saya sudah kaya RM10 juta.

Kadar terkini ketika rencana ini ditulis ialah 6.3. Ertinya saya ada lebih RM12 juta, sekali gus layak – dan isteri tidak boleh melarang! – sekiranya saya hendak membuka cawangan di mana-mana, malah untuk mencukupkan kuota yang masih kosong itu.

Tetapi, tidak mudah untuk saya cepat tergoda dengan janda orang putih itu. Mula-mula saya bertanya diri sendiri, siapakah wanita yang sekian lama menetap di negara salji, dan kini hendak balik semula ke negeri jerebu?

Seingat saya, sudah menjangkau siri 6 sekarang, saya tidak mempunyai saudara atau waris yang tinggal di England. Tidak masuk akal Lavia ada hubungan keluarga, bau-bau bacang pun mustahil. Saya pasti betul janda ini bukan anak arwah pakcik saya yang bernama Shafie!

Apa yang lebih menghairankan saya ialah bagaimana janda kaya ini boleh mengenali dan memilih saya untuk berkongsi harta pusaka? Bukan sedikit tetapi berjuta-juta Pound Sterling.

Saya bukanlah Barack Obama atau Benjamin Netanyahu, Jokowi pun tidak. Orang Malaysia pun tidak kenal saya, macam mana seorang janda di UK boleh terpikat dengan saya?

Soalan-soalan ini meyakinkan saya bahawa ‘Lavia & 12 juta Pound Sterling’ adalah auta semata-mata. Lagi pun dulu, kini dan selamanya saya selalu percaya tidak ada orang, termasuk yang sewel, boleh dengan mudah memberi saya wang sebanyak itu.

Saya bersyukur sentiasa diberi kewarasan, tidak mudah tergoda dan tertipu.

Tetapi, ramai juga orang kita yang cepat tergoda dan akhirnya ditipu hidup-hidup oleh sekian banyak kes yang serupa dengan Lavia. Penipuan menerusi internet bukan benda baru, dan terjadi hampir setiap hari.

Seperti yang semua orang tahu, dari semasa ke semasa media menyiarkan berita dan gambar mengenai penipuan seperti ini oleh pelbagai sindiket, antaranya Phone Scam, African Scam, Macau Scam, Love Scam.

Beribu orang, termasuk golongan profesional, telah menjadi mangsa. Polis memberitahu setakat ini lebih 1,750 individu dilapor menjadi mangsa sindiket penipuan internet.

Menarik – dan tanpa prejudis jantina – wanita lebih ramai (1,205) tergoda berbanding lelaki (545). Apakah ini membuktikan kaum Hawa lebih suka bertonyeh di alam maya, dan cepat tergoda? Saya tidak pasti, dan tidak berani komen.

Apa yang pasti, menurut polis, sindiket terancang ini telah menipu mangsa dan membabitkan kerugian berjumlah lebih RM68 juta.

Sindiket ini masih berleluasa. Beberapa telah dikesan dan ditangkap, tetapi banyak lagi sedang mencari mangsa di luar sana. Polis menasihati orang ramai, khasnya wanita, jangan mudah percaya dan tertipu di internet.

Mengenai e-mail daripada janda orang putih itu, saya tidak memberi apa-apa butiran yang diminta. Tetapi saya membalas, dengan penuh sopan:

“Mohon banyak maaf, tawaran puan sebanyak 2 juta Pound Sterling itu terlalu kecil untuk saya. Saya hanya akan tertarik sekiranya tawaran itu dibuat dalam mata wang Malaysia, dan jumlahnya mesti melebihi RM2.6 bilion.”

Kalau dia tidak membalas e-mail saya pun, saya tidak kisah. Puas hati saya.
Datuk Abdul Jalil Ali - SH

Wednesday, 14 October 2015

AL FATIHAH : REMAJA OKU, ADIK FIRDAUS MENINGGAL DUNIA


Remaja orang kurang upaya (OKU), Muhammad Firdaus Dullah, 16, yang dijumpai dalam keadaan terabai di Flat Taman Semarak, Nilai, 21 Jun tahun lalu, disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), tengah hari tadi.

Pengarah HTJ, Dr Ariffin Mohamad berkata remaja itu meninggal dunia pada pukul 1.15 petang dipercayai akibat diserang sawan ketika makan tengah hari di Rumah Sinar Harapan, Tunku Ampuan Najihah dekat Seremban.

"Ambulans tiba pada pukul 12.35 tengah hari dan resuscitation (pernafasan mulut ke mulut) dimulakan dalam perjalanan ke HTJ.

"Punca sebenar kematian akan diketahui selepas bedah siasat dilakukan esok," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sembilan Mohamad Hapil berkata ibu Muhammad Firdaus, Lolanopita Sadi menyerahkan kepada pihaknya untuk menguruskan pengebumian anaknya.

"Kami akan menguruskan jenazah dan pengebumiannya selepas bedah siasat dilakukan dan tempat pengebumian masih dalam perbincangan lagi," katanya.

Beliau berkata ketika rondaan dilakukan oleh pengetua Rumah Sinar Harapan, Muhammad Firdaus dalam keadaan sihat

"Ketika sedang makan tengah hari bersama-sama rakan-rakanya, arwah diserang sawan dan pihak kami terus memanggil ambulans.

"Mengikut rekod, Muhammad Firdaus dimasukkan ke Rumah Sinar Harapan pada 21 Ogos tahun lepas dan berat terkini arwah ialah 27 kilogram," katanya.

Sementara itu, Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Datuk Norhayati Omar berkata kos pengurusan pengebumian Muhammad Firdaus akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

"Saya telah maklumkan perkara ini kepada Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan.

"Saya ucapkan takziah kepada keluarga arwah dan terima kasih kepada pihak Rumah Sinar Harapan yang menjaganya dengan baik selama ini dan kita sememangnya terasa kehilangan adik istimewa ini," katanya.

-Bernama

[5 GAMBAR] : 6 SEKELUARGA MAUT KEMALANGAN DI LPT2



KEMAMAN - Enam sekeluarga maut selepas kereta yang dinaiki terbabas  sebelum berpusing dan terperosok bawah treler yang berhenti di lorong kecemasan dalam kejadian di Kilometer 258.8 Lebuh Raya Pantai Fasa 2 (LPT2) dekat Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Perasing, di sini, jam 12.30 tengah hari tadi.

Kesemua mangsa yang tersepit dalam remukkan kereta Toyota Camry meninggal dunia serta merta di lokasi kejadian.

Mangsa yang maut adalah Pengurus Pusat Servis Proton Bukit Kecil di Kuala Terengganu, Azaman Ramli, 49; isterinya, Noor Akmal Mohd Zail, 48; dan anak mereka, Alif Hateem, 16, dan Aliff Hakim, 12.

Turut maut, Noor Amira Syahirah Alias, 22; yang beralamat  di Kampung Raja, Besut dan anaknya, Aqeel Muslim Abdullah, 3.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Said Ibrahim berkata, ketika kejadian kesemua mangsa dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kuantan.

Katanya, bagaimanapun pemandu treler yang berusia 35 tahun yang beralamat di Bachok, Kelantan tidak mengalami  kecederaan.

"Ketika kejadian pemandu treler muatan beras itu sedang tidur dalam kenderaannya dan tidak menyedari trelernya dirempuh dari belakang.

"Pihak polis berharap saksi kejadian tampil ke balai polis untuk menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan lanjut kes ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Zon II Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II Azmi Abdul Rahim Ibrahim, berkata anggota bomba mengambil masa lebih sejam untuk mengeluarkan kesemua mangsa yang tersepit di dalam kenderaan.
    
"Ketika tiba di tempat kejadian, didapati hampir keseluruhan bahagian kereta itu terperosok di bawah treler berkenaan," katanya.
    
Katanya, seramai 25 anggota dengan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Cheneh serta Gambang bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima laporan kejadian 12.36 tengah hari.

Al-Fatihah.