ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH

Saturday, 13 June 2015

PASMA ISTIHAR JADI PARTI POLITIK BAHARU GANTI PAS DALAM PAKATAN


Pertubuhan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) mengumumkan bahawa mereka akan kekal sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam Pakatan Rakyat tetapi akan bertindak menubuhkan parti baharu bersama NGO lain untuk menggantikan peranan PAS.

Pengumuman itu dibuat oleh Presiden PasMa Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi dalam sidang media selepas sesi Wacana PasMa Nasional bersama jawatankuasa tertinggi dan wakil-wakil negeri pertubuhan itu di Shah Alam hari ini.

"PasMa selama ini secara tegas dan jelas menyokong perjuangan Pakatan Rakyat dan kami berpegang pada falsafah demokrasi.

"Biarlah kami menjadi 'watchdog' kepada kerajaan yang dibentuk oleh Pakatan Rakyat," ujarnya.

Phahrolrazi memberitahu, selepas keputusan menamatkan kerjasama dengan DAP dibuat dalam Muktamar PAS lalu, secara teknikalnya Pakatan Rakyat sudah tidak ada.

"Oleh itu, PasMa hari ini mengambil pendirian untuk kekal sebagai NGO Dan akan bersama-sama dengan NGO-NGO lain yang pro-Pakatan Rakyat untuk menaja penubuhan sebuah parti baharu bagi menggantikan peranan PAS dalam Pakatan Rakyat," katanya.

Menurut Phahrolrazi, parti baharu yang akan dibentuk dalam tempoh sebulan itu adalah demi kesinambungan kerjasama dengan DAP dan PKR.

"Tindakan ini dibuat untuk memastikan Pakatan Rakyat terus kukuh dan relevan demi harapan pengundi-pengundi yang memberikan sokongan kepada kami," ujarnya.

Apabila ditanyakan sama ada tindakan PasMa hanya akan membuatkan ahli-ahlinya dihukum oleh PAS, Phahrolrazi menjawab: "Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai".

Baginya, PAS sudahpun tiada fungsi dalam Pakatan Rakyat, maka alternatif komponen perjuangan tersebut perlu dicari gantinya.

MAYAT BAYI TANPA TANGAN, KEPALA DIGIGIT ANJING

Mayat bayi tanpa tangan, kepala digigit anjing

Manusia kini tidak berhati perut apabila sanggup membuang bayi perempuan di kawasan semak berhampiran sebuah sungai di Perai, Bukit Mertajam, hari ini.
 
Mayat bayi itu dijumpai seorang lelaki ketika sedang berehat di kawasan berhampiran.
 
Lelaki itu terkejut apabila menjumpai mayat dalam keadaan sangat menyayat hati.
 
Sumber berkata, pada mulanya, lelaki itu tidak menyedari mayat bayi sehingga melihat seekor anjing menggonggong 'sesuatu yang mencurigakan' lalu di hadapannya.
 
Difahamkan, mayat itu ditemui tanpa tangan dan kepalanya terputus dipercayai dibuang di tepi sungai berhampiran sebuah kilang gula.
 
Dalam kejadian pada jam 1.22 petang itu, lelaki berusia 51 tahun pada mulanya menyangkakan anjing terbabit menggonggong anaknya. 
 
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah , Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
 
Menurutnya, lelaki berkenaan terkejut apabila mendapati objek yang digonggong anjing itu adalah mayat seorang bayi.
 
"Apabila curiga, dia menghampiri dan menghalau anjing itu. Dia terkejut apabila mendapatinya adalah mayat bayi.
 
"Lelaki terbabit menghubungi polis memaklumkan kejadian. Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti bagaimana mayat bayi itu boleh berada di kawasan berkenaan," katanya.

Thursday, 11 June 2015

"PAS MASIH SEBAHAGIAN DARIPADA PAKATAN RAKYAT" TUAN IBRAHIM

Hasil carian imej untuk tuan ibrahim tuan man

KUALA LUMPUR: Senarai nama jawatankuasa baharu parti PAS hanya akan diumumkan pada 21 Jun nanti, kata Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau ditemui media selepas menghadiri mesyuarat pelantikan jawatankuasa baharu parti itu di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut di ibu negara pada Rabu.

"Malam ini hanya untuk membincangkan dan mengesahkan tentang nama-nama cadangan untuk jawatankuasa baharu dan lajnah-lajnah (pemilihan umum). Lain-lain perkara tidak dibincangkan," katanya.

Tuan Ibrahim memberitahu terdapat enam peruntukan tambahan dalam pelantikan jawatankuasa baharu namun senarai nama dan jawatan hanya akan diumumkan pada tarikh tersebut.

Tambahnya, mengikut prosedur biasa, pengisytiharan rasmi akan dibuat oleh Presiden PAS setelah individu-individu yang namanya dicadangkan itu diberitahu terlebih dahulu.

Beberapa nama daripada calon yang kalah dalam pemilihan Muktamar Tahunan PAS Ke-61 baru-baru ini juga difahamkan berada dalam senarai tersebut.

“Ya, biasa begitu. Setiap kali selepas muktamar, mereka yang tidak menang pun kita akan ambil balik,” kata Tuan Ibrahim.

Mesyuarat tersebut dihadiri oleh Presiden, Timbalan dan Naib Presiden serta beberapa Ahli Majlis Tertinggi parti tersebut.

Apabila diajukan soalan mengenai kekeruhan hubungan antara PAS dengan DAP yang dilihat boleh menjejaskan rentak pentadbiran Pakatan Rakyat, Tuan Ibrahim mempunyai pandangan sendiri: “Tiada masalah. Bagi kita, pentadbiran berjalan macam biasa. PAS masih sebahagian daripada Pakatan Rakyat.

“Kalau dia tak mahu kerja, tak apalah. Tapi ini kerajaan bersama,” ujarnya tentang gerak kerja gabungan tiga parti di negeri-negeri seperti Pulau Pinang dan Selangor.

Bagaimanapun, isu hubungan antara PAS dan DAP, kata Tuan Ibrahim, akan diserahkan kepada Majlis Syura.

Wednesday, 10 June 2015

MAT SABU "PELIK" LAGI !!!


KUALA LUMPUR 10 Jun - Bekas Timbalan Presiden PAS Mohamat Sabu sekali lagi menyatakan perasaan peliknya namun kali ini bukan kerana beliau kalah pada pemilihan parti seperti sebelum ini.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, beliau pelik kerana UMNO bergembira dengan keputusan pemilihan PAS baru-baru ini dan beranggapan sesuatu bakal berlaku dalam masa terdekat.

"Pertama kali Umno dilihat gembira dengan keputusan muktamar. Saya orang lama dalam parti rasa pelik bin pelik bin pelik. Ada sesuatu akan berlaku," katanya lapor The Malaysian Insider.

"Hampir seluruh alat propaganda Umno dan Barisan Nasional (BN) campur tangan dalam urusan pemilihan PAS. TV3, Utusan Malaysia, Sinar Harian, boleh dibaca dan difahami mereka mahu 'golongan ulama' menang.

"Bahkan seminggu sebelum pemilihan, Bernama cuba memainkan peranan dan dilihat cuba memihak kepada golongan yang dikatakan 'pro ulama',” katanya.

Ujarnya, beliau hairan melihat pimpinan parti terang-terangan membuang undi berpandukan satu senarai nama yang membariskan semua golongan ulama atau pro ulama.

Mat Sabu, dalam pemilihan minggu lepas gagal mempertahankan jawatannya apabila hanya mendapat 279 undi berbanding 881 diperoleh lawannya, bekas naib presiden PAS dan penceramah Forum Perdana Radio Televisyen Malaysia (RTM) Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.


EMPAT PELANCONG BOGEL BAKAL DIDAKWA


KOTA KINABALU:
 Empat pelancong warga asing bakal didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan berbogel dan membuang air kecil di puncak Gunung Kinabalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata empat berkenaan yang terdiri daripada dua wanita dan dua lelaki dijangka akan dibawa ke mahkamah kira-kira pukul 10.30 pagi.


Wanita pertama, warga Britain, ditangkap di lapangan terbang Tawau pada Selasa.

Sementara itu dua lagi rakyat Kanada dan seorang warga Belanda menyerah diri di Balai Polis Karamunsing kira-kira pukul 6 petang hari yang sama.

Selain itu Jalaluddin berkata, jumlah angka kematian berikutan gempa bumi di Gunung Kinabalu pada 5 Jun disahkan sebagai 18 mangsa.

"Bahagian-bahagian badan kedua-dua rakyat Singapura lepas dilaporkan hilang sebelum ini telah dijumpai dan kami sedang menunggu laporan DNA daripada keluarga sebelum mereka boleh kembali," katanya.

Polis sebelum ini berkata sekumpulan pelancong asing berbogel di puncak gunung yang dianggap suci bagi rakyat Sabah akan didakwa kerana menyebabkan gangguan awam.

MP: ADA SEBAB PM @NajibRazak TETAP BERLAPIK JAWAP TUN M (VIDEO INSIDE)

MP: Ada sebab Najib tetap berlapik jawab Dr M

"Saya faham Datuk Seri Najib Abdul Razak punyai perasaan seperti saya iaitu tidak sanggup berlaku tidak sopan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad," itu antara luahan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dalam program Bicara Tokoh anjuran sebuah badan bukan kerajaan pada 8 Jun lalu.

Bercakap dalam program anjuran Pertubuhan Nadi Rakyat Malaysia itu, Annuar berkata, disebabkan itulah, walaupun 'dirodok' dengan pelbagai serangan oleh bekas Perdana Menteri itu, Najib tetap berlapik ketika menjawab serangan Dr Mahathir.

"Kita faham, jasa Tun Mahathir tidak ternilai, bagi saya walaupun jasad bercerai badan saya akan ingat jasa Tun.
"Namun adakah serangan Tun Mahathir ini mendatangkan kebaikan, tidak... sebaliknya pergeseran ini akan mengurangkan kekuatan kita," katanya.

Sehubungan itu, Pengerusi Mara itu berharap agar Perdana Menteri dan Dr Mahathir dapat mencari titik persamaan bagi memastikan Umno terus diterima rakyat.

Pada Jumaat, program Dialog PM bersama NGO bertukar kecoh sehingga memaksa penganjur forum 'Nothing to Hide' membatal dan menangguhkan program ke tarikh lain atas arahan polis kerana faktor keselamatan.

AZMIN PERLU PILIH SAMADA BERSAMA PAS ATAU DAP !!!

Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Nampaknya Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali kini dalam situasi getir untuk menentukan masa depan Pakatan Rakyat (PR) apabila perlu menentukan sama ada mahu meneruskan kerjasasama dengan DAP atau Pas.

Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua melontarkan mesej itu yang mana Azmin perlu membuat keputusan untuk memihak kepada DAP atau Pas yang telah memutuskan tahaluf siyasi bersama DAP dalam PR dalam muktamar partinya baru-baru ini.

Tony Pua juga bersetuju dengan kenyataan awal bekas Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar semalam yang menyatakan Azmin kini dalam keadaan perlu memilih salah satu pihak antara DAP dan Pas untuk mengekalkan kerjasama.

“Saya bersetuju dengan kenyataan Mahfuz itu. PAS mahu Azmin supaya memilih parti mana satu beliau mahu meneruskan kerjasama yang terjalin sejak kewujudan pakatan pembangkang ini.

“DAP juga berkongsi pendapat yang sama, oleh itu saya serahkan perkara ini kepada Azmin untuk membuat keputusan terbaik,” kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini petang tadi.

Bagaimanapun ditanya peluang untuk ketiga-tiga sekutu PR bersemuka semula bagi membincang krisis itu, beliau berkata, peluang itu agak sukar bagi DAP, PKR dan Pas untuk berjumpa dan menentukan kata putus mengenai perkara itu.

Beliau turut menjelaskan, peluang pakatan pembangkang untuk menang dalam pilihan raya umum akan datang akan terjejas jika krisis yang sedang melanda pakatan tidak ditangani segera.

“Bagaimana kamu mahu kita berdamai, kecuali Pas memanggil muktamar lain dan menarik balik resolusi memutuskan tahaluf siyasi dengan DAP.

“Saya juga berharap supaya Pas tidak meneruskan usul yang ditetapkan dalam muktamar itu sebab bimbang akan memecahkan PR,” katanya. 
MalaysiaGazette

Tuesday, 9 June 2015

PAS SEPATUTNYA SUDAH KELUAR DARI PAKATAN


KUALA LUMPUR, 9 Jun – Bekas Ketua Penerangan Pas Selangor, Ustaz Hassan Basri menegaskan bahawa Pas sepatutnya sudah keluar dari pakatan pembangkang memandangkan usul untuk memutuskan hubungan dengan Dap sudah diterima tanpa bahas dan secara sebulat suara di dalam muktamar Pas baru-baru ini.

Menurut beliau, usul tersebut merupakan satu keputusan rasmi kerana perhimpunan agung merupakan kuasa tertinggi dan sebarang keputusan yang diputuskan melalui muktamar adalah keputusan rasmi yang perlu dilaksanakan oleh parti tersebut.

“Jadi bagi saya tidak ada alasan bagi Pas lagi untuk  berdolak dalik dengan alasan mahu kaji lagi dan sebagainya. Apa yang telah diputuskan di dalam muktamar merupakan satu keputusan rasmi yang dipersetujui bersama.

“Sehubungan itu, apa yang perlu Pas lakukan hari ini ialah mengumumkan secara rasmi bahawa parti tersebut keluar dari pakatan serta kepimpinan Pas yang memegang jawatan perlulah meletakkan jawatan selaras dengan usul memutuskan hubungan dengan Dap yang telah diputuskan di dalam muktamar baru-baru ini,” tegasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.

hqdefaultTambah Hassan, sebab itu hari ini serangan-serangan provokasi Dap mendesak ahli Pas untuk meletakkan jawatan semakin menjadi kerana mereka benar-benar mahukan Pas keluar dari pakatan tersebut.

“Dap sejak dari dulu memang tidak pernah bersetuju dengan Pas. Ini hakikatnya. Jadi dalam hal ini, apabila Pas bersetuju memutuskan hubungan dengan Dap dalam muktamar baru-baru ini, maka sudah tentulah kepimpinan Dap tidak teragak-agak untuk terus menyerang Pas agar parti itu segera keluar dari pakatan.

“Sebab itu kita lihat pelbagai kenyataan provokasi serta desakan kepada ahli-ahli Pas yang memegang jawatan di negeri pembangkang supaya meletakkan jawatan. Dan yang terbaru, kenyataan Datuk Teng Chang Khim yang berkata bahawa Pas dan Dap sudah bercerai talak tiga, mana mungkin boleh tidur sebantal.

“Biarpun begitu, namun  saya lihat ada juga kenyataan daripada sebahagian kepimpinan Pas seolah-olah mereka masih sayangkan Dap. Saya kira, jika mereka terus berdolak dalih berhubung isu ini atau melakukan ‘u-turn’ maka maruah parti, terutamanya dewan ulama Pas akan tercalar dan dianggap  tidak mempunyai pendirian,”ujarnya.

Bagaimanapun kata beliau, perkara ini menjadi satu masalah berdasarkan kenyataan Mahfuz di mana mana-mana ahli Pas yang memegang jawatan di dalam negeri akan kehilangan elaun masing-masing sekiranya mereka meletakkan jawatan yang dipegang.

“Dalam hal ini saya nak tanya kepada ahli Pas, apakah mereka lebih mementingkan elaun daripada prinsip perjuangan yang didokong oleh mereka selama ini? Apakah mereka mementing wang ringgit lebih daripada maruah diri dan perjuangan mereka?

“Jika Pas terus bersama Dap dan pakatan kerana bimbang kehilangan elaun, maka jelaslah bahawa perjuangan Pas hari ini lebih mementingkan wang ringgit dan habuan dunia daripada prinsip dan maruah parti mereka sendiri,” tegasnya.
MediaUMNO

PAS CABAR DAP BUBAR DUN PULAU PINANG

PETALING JAYA: Perbalahan antara dua sekutu pakatan pembangkang semakin tidak terkawal apabila PAS mencabar supaya DAP membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.
Ketua Penerangan PAS Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, pembubaran DUN Pulau Pinang adalah wajar bagi mengukur kemampuan DAP yang disifatkan sombong dan angkuh.
"DAP jangan terlalu angkuh. Jika benar mahu tahu kekuatan sebenar DAP tanpa sokongan PAS, cubalah bubarkan DUN Pulau Pinang sekarang dan tengok jawatan mana yang DAP boleh pegang dalam kerajaan yang baharu nanti.
"Masih boleh angkuh? Masih boleh sombong? Masih boleh tamak?" katanya pada Selasa.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan media yang dimuat naik di Facebook rasmi Dewan Ulama PAS Pusat.
Mengulas lanjut Ahmad Amzad menasihatkan ahli dan pemimpin PAS yang memegang jawatan dalam kerajaan Pulau Pinang supaya terus mempertahankan kedudukan masing-masing.
"Kita bukan mendapat jawatan atas belas kasihan DAP. Kita pegang jawatan kerana kita yang bantu naikkan mereka. Yang bermaruah adalah kita, yang sombong, angkuh dan tamak haloba adalah mereka.
"Kalau mereka nak pecat, biar mereka pecat. Kita nak tengok rupa sebenar DAP yang selama ini mengingatkan kerajaan BN (Barisan Nasional) bahawa ini adalah kerajaan rakyat, harta rakyat, bukan milik Umno, bukan milik BN.
"Begitu juga Pulau Pinang, ini milik rakyat, harta rakyat, bukan milik pusaka Ketua Menteri, Lim Guan Eng, bukan milik DAP," katanya.
Ahmad Amzad berkata demikian bagi mengulas mengenai gesaan Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP supaya pemimpin dan ahli PAS melepaskan pelbagai jawatan dalam kerajaan negeri pimpinannya.
Bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu adalah individu pertama mengumumkan perletakan jawatan sebagai Lembaga Pengarah Bekalan Air Pulau Pinang dan Penang International Halal Hub.
Keputusan itu dibuat berikutan keputusan Muktamar Tahunan PAS ke-61 menerima usul Dewan Ulama tanpa perbahasan iaitu memutuskan hubungan dengan DAP, meskipun kekal dalam Pakatan Rakyat.
Turut mengikut jejak Mohamad ialah Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa yang mengumumkan peletakan jawatan ahli lembaga pengarah Yayasan Islam Pulau Pinang dan Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang (Kitab).

PASMA PERTIMBANG UNTUK JADI PARTI POLITIK ATAU TIDAK MINGGU DEPAN


KUALA LUMPUR: Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) akan memutuskan sama ada menjadi parti politik atau tidak minggu depan.

Presidennya, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata, dalam pertemuan meja bulat pada 13 Jun ini, semua pemimpin NGO itu akan turut serta bagi membincangkan tentang hala tuju PasMa.

“Ini keputusan besar yang perlu kita buat kita akan ada perbincangan meja bulat 13 Jun jam 2 petang. Semua pimpinan jawatankuasa pusat dan negeri akan menghadirinya.

“Memang ada cadangan untuk jadi parti politik. Tapi ini bergantung kepada perbincangan,” katanya.

Phahrolrazi April lalu mengumumkan akan memutuskan sama ada mahu menjadi parti politik atau tidak selepas berakhirnya Muktamar PAS ke-61 bagi melihat terlebih dahulu hubungan parti Islam itu dalam Pakatan Rakyat.

Muktamar parti itu di Kuala Selangor berakhir semalam dengan usul memutuskan hubungan dengan DAP diterima tanpa bahas – tindakan yang berpotensi besar memecahkan Pakatan.

DAP sendiri sudah mengalu-alukan pemimpin PAS berundur daripada kedudukan masing-masing dalam kerajaan negeri Pulau Pinang.
astroawani