ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH

Thursday, 28 May 2015

VIDEO KES BULI & TINGGALKAN KUCING DALAM MESIN BASUH JADI VIRAL

PETALING JAYA: Video seorang lelaki menendang dan membaling kucing, dan seorang gadis meninggalkan kucing dalam mesin basuh di mesin dobi di sini menjadi viral di laman sosial.

Litar tertutup televisyen menunjukkan seorang lelaki yang memakai baju t, seluar dan topi menendang serta membaling kucing.

Kemudian dalam video tersebut, lelaki itu dilihat mengambil kucing dan melontar ke arah kucing lain yang sedang terbaring di tanah.

Video berdurasi lebih seminit itu berakhir dengan seorang gadis meletakkan kucing berwarna putih dalam mesin basuh.

Dia kemudian duduk di hadapan pintu plastik mesin basuh itu untuk melihat keadaan kucing tersebut.

Wanita itu kemudian meninggalkan mesin tersebut tanpa mengambil haiwan itu keluar daripada mesin.

Kerana video telah dikongsi hampir 700 kali pada laman Facebook.

ISNIN DEPAN PENENTU NASIB 20,000 KAKITANGAN MAS


PETALING JAYA: Isnin depan, 20,000 kakitangan syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) bakal menerima surat masing-masing.

Penantian untuk mengetahui sama ada mereka masih mempunyai pekerjaaan atau tidak akan berakhir.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAS yang baharu, Christoph Mueller menyatakan dengan jelas bahawa kebimbangan kakitangan syarikat penerbangan itu bakal ditamatkan tidak lama lagi.


"Kakitangan syarikat dibiarkan berada dalam suasana yang tidak pasti sudah terlalu lama. Jadi ia menjadi kewajipan kami untuk menamatkan ketidaktentuan ini supaya semua orang boleh meneruskan kehidupan masing-masing," katanya dalam temu bual eksklusif bersama The Star.

Pada 1 Jun, surat penamatan perkhidmatan akan dihantar kepada semua pekerja.

Bagaimanapun kira-kira dua pertiga daripada kakitangan akan ditawarkan bekerja dengan syarikat baru itu, MAS Bhd.

Kumpulan itu mempunyai sehingga 12 Jun untuk memutuskan sama ada mereka mahu menyertai syarikat berkenaan dengan terma-terma baharu.

Syarikat penerbangan baharu iaitu sebuah entiti yang lebih kecil, hanya dapat menampung kira-kira 14,000 pekerja.

"MAS Bhd memerlukan kakitangan lebih sedikit kerana ia akan memberi tumpuan kepada laluan serantau.

"Adalah amat malang dan sangat sedih bahawa kami perlu melepaskan sebahagian kakitangan sedia ada," kata Mueller.

Proses penamatan perkhidmatan adalah sebahagian daripada rancangan untuk membentuk semula MAS.

Aset dan liabiliti sedia ada akan dipindahkan kepada MAS Bhd yang bakal mengambil alih operasi bermula 1 September.

Setiap kakitangan yang ditamatkan perkhidmatan akan mendapat bayaran asas bergantung kepada gred mereka.

Mereka yang tidak ditawarkan pekerjaan dengan MAS Bhd juga layak untuk menerima bayaran ex-gratia.

Mereka yang ditawarkan bekerja di MAS Bhd juga akan mendapat bonus.

Proses penamatan perkhidmatan akan berlaku secara berperingkat, malah sesetengah daripada mereka mungkin ditawarkan kontrak jangka pendek.

Mueller berkata proses lengkap pemulihan MAS mungkin mengambil masa sehingga tiga tahun.

"Ia adalah satu proses yang sangat kompleks. Kami mempunyai prosedur berperingkat yang sangat perlahan," kata Mueller.

MAS Bhd akan menjadi syarikat penerbangan yang baharu, dengan wajah baharu dan penjenamaan semula.

Mueller berkata beliau menjangkakan tidak akan menerima maklum balas positif daripada keseluruhan pekerja yang ditawarkan menyertai MAS Bhd.

"Jika sambutannya kurang 100 peratus, kita akan buat tawaran pusingan kedua dengan menawarkan peluang pekerjaan kepada mereka yang tidak menerima tawaran pada pusingan pertama," katanya.

Jika perlu beliau berkata mungkin akan wujud penawaran untuk pusingan ketiga.

Beliau berkata, mungkin terdapat sebab-sebab tertentu untuk mereka menolak menyertai MAS Bhd, tetapi beliau akan memberikan butiran lengkap pada Isnin depan supaya kakitangan boleh membuat keputusan berdasarkan maklumat.
mStar

DAKWAAN 1MDB ALAMI KERUGIAN RM42 BILLION SEGAJA DIPUTAR BELIT -PM @NajibRazak


Dakwaan 1Malaysia Development Bhd mengalami kerugian sebanyak RM42 bilion merupakan fakta yang sengaja diputar belitkan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dakwaan 1MDB rugi RM42 bilion diputar belit, kata NajibPerdana Menteri berkata syarikat itu tidak mengalami kerugian dalam jumlah tersebut dan angka berkenaan adalah hutang syarikat. Jumlah itu lebih rendah berbanding aset 1MDB yang sebanyak RM51 bilion, sebagaimana diaudit dan disahkan oleh Deloitte.

Najib dalam catatan terbaharunya di laman web beliau, NajibRazak.com berkata, kebanyakan syarikat besar di seluruh dunia mempunyai tahap hutang yang tinggi dan tiada apa luar biasa tentang perkara ini.

"Memang benar bahawa 1MDB menghadapi cabaran, tetapi tidak pada tahap yang didakwa itu.

"Malah, sesetengah dakwaan yang dibuat tidak berasas," katanya.

Najib mendakwa bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah menggunakan cabaran kewangan yang dihadapi 1MDB sebagai alasan untuk menyerang beliau.

"Beliau juga mendakwa bahawa saya tidak menjawab isu-isu berkaitan 1MDB, tetapi saya membuat lebih daripada itu - dan mengarahkan Ketua Audit Negara untuk menjalankan audit terhadap 1MDB, yang akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara yang terdiri daripada kedua-dua parti," kata Najib.

RUGI RM100,000 KERANA TALI WAU

Rugi RM100,000 kerana tali wau

KOTA BHARU - Pemain wau di negeri ini dinasihatkan tidak mengganggu kawasan pendaratan pengangkutan udara jika menerbangkan wau bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Pengurus Operasi Domestik Weststar Aviation Services Sdn Bhd, Datuk Jamil Osman berkata, sebagai sebuah syarikat pengangkutan helikopter pesisir pantai bagi industri minyak dan gas antarabangsa, pihaknya memandang serius hal itu kerana ada antara wau yang diterbangkan itu menjadi ancaman keselamatan buat mereka.

“Jika pemain wau menerbangkan wau tradisi di kawasan sekitar zon Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa dan berada dalam jarak lima kilometer di kawasan berkenaan, ia boleh mengganggu juruterbang dan mereka perlu berhati-hati untuk mengelak bertembung dengan tali wau.

“Insiden kemalangan pernah berlaku melibatkan tali wau tersangkut pada kipas helikopter syarikat kami. Dua kali berlaku, menyebabkan kami terpaksa menanggung kerugian RM100,000 atas kerosakan yang dialami,” katanya kepada pemberita selepas sidang media Pertandingan Dikir Barat Wau Bule Selamat Sokmo Tingkat Kesedaran Ancaman Permainan Wau Kepada Helikopter di Sekitar Kawasan Terhad LTSIP, Kota Bharu di sini, semalam.

Hadir sama, Pengurus Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Kamarul Bahri  Mohamad; wakil Weststar Aviation Services Sdn Bhd dan wakil Polis Kelantan.
Jamil berkata, atas kesedaran itulah Weststar termasuk syarikat minyak dan cari gali Hess, Repsol dan Petrofac bekerjasama melancarkan kempen ‘Wau Bule Selamat Sokmo’ sebagai platform meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai perkara tersebut.

“Diharap, dengan kempen yang dianjurkan melalui pertandingan dikir barat pada Pesta Wau Kelantan kali ke-33, kelmarin dan semalam, mesej disampaikan mencapai matlamat.

“Peminat wau juga diharap ambil iktibar dan tingkatkan kesedaran mereka," katanya.

Dalam pada itu, Jamil berkata, pihaknya juga turut bekerjasama dengan kerajaan negeri, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), penggawa dan penghulu kampung bagi menyampaikan kempen bahaya aktiviti bermain wau tradisional di sekitar zon lapangan terbang.
SH

MUSTAR JUARA 'KILAUAN EMAS 5"


Peserta dari Selangor iaitu Mustaffa Rasyid Abd Jabar menepati ramalan apabila muncul sebagai juara pertandingan Kilauan Emas musim kelima yang diadakan secara langsung di Pusat Konvensyen CIDB di sini pada malam Rabu.

Mustaffa atau lebih mesra dengan sapaan Mustar menerima hadiah berupa wang tunai RM100,000, sebuah motorsikal sumbangan Royal Enfield bernilai RM50,000, sebuah kerusi urut sumbangan Go Shop beserta trofi.

Mustar, 47, turut menerima Anugerah Khas Juri dan membawa pulang RM10,000.

Naib juara pula milik Wan Muhammad Logan Wan Abdul atau Elji, 44, berjaya membawa pulang hadiah tunai berjumlah RM50,000, perkakas masakan sumbangan Go Shop berserta trofi.

Manakala tempat ketiga milik Mursalim Muhidin atau Aling, 44 dan melayakkan dia menerima hadiah wang tunai berjumlah RM30,000, perkakas memasak sumbangan Go Shop berserta trofi.

Satu-satunya peserta wanita, Hazlina Wati Zainuddin, 42, terpaksa berpuas hati ditempat terakhir dan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 dan trofi.

Wednesday, 27 May 2015

12 ANGGOTA POLIS DITAHAN BERKAIT SINDIKET PEMERDAGANGAN MANUSIA

12 anggota polis ditahan berkait sindiket pemerdagangan manusia

KUALA LUMPUR: Seramai 12 anggota polis ditahan bagi membantu siasatan berhubung sindiket pemerdagangan manusia di sempadan Malaysia-Thailand.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, empat daripadanya ditahan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) manakala lapan lagi oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Terdahulu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar tidak menolak kemungkinan pembabitan anggota keselamatan negara termasuk anggota polis dalam sindiket penyeludupan manusia yang bertanggungjawab atas kematian pendatang pelarian-pelarian yang ditemui dalam kubur besar di Wang Kelian, Perlis.

Tegas beliau, tiada pihak yang terkecuali termasuk pihak berkuasa tempatan, Jabatan Perhutanan mahupun kakitangan kerajaan sekalipun daripada tindakan undang-undang sekiranya didapati mendalangi sindiket berkenaan.

"Saya tidak menolak kemungkinan penglibatan termasuk anggota polis pun kita akan ambil tindakan apabila kita ada cukup keterangan dan bukti. Tiada sesiapa yang terkecuali daripada tindakan undang-undang dalam perkara ini," kata Khalid dalam sidang media selepas mengadakan progran lawatan hospital di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sempena sambutan peringatan Hari Polis ke-208.

Sejak penemuan kubur dan khemah pelarian berhampiran sempadan Malaysia-Thailand itu, beliau mengesahkan tiada lagi penemuan kubur atau khemah pelarian baru di kawasan terbabit.

"Kita tidak percaya ada lagi sebab kita telah buat screening dan combing yang menyeluruh daripada Tangga 100 hingga ke Kampung Y. Jadi kami yakin tiada lagi kubur atau khemah yang mungkin didirikan oleh pendatang," kata Khalid.

Tambah Khalid berikutan permukaan muka bumi berbukit di kubur dan khemah pelarian berkenaan yang mencabar, pihaknya sedang berunding dengan pihak berkuasa Thailand untuk menggunakan laluan darat melalui negara berkenaan.

"Keadaan muka bumi di tempat itu amat sukar untuk kita akses ke lokasi itu. Malah semalam ada pegawai daripada Jabatan Forensik yang cedera kerana jatuh tebing."

"Kita sedang berunding dengan pihak berkuasa Thailand untuk menggunakan laluan darat melalui Satun untuk membawa masuk kenderaan kami ke lokasi untuk mengangkut apa sahaja yang dapat ditemui. Tambah lagi sekarang musim hujan kami tidak dapat mengakses masuk ke kawasan itu," katanya lagi.

Tegas beliau, tiada pihak yang terkecuali termasuk pihak berkuasa tempatan, Jabatan Perhutanan mahupun kakitangan kerajaan sekalipun daripada tindakan undang-undang sekiranya didapati mendalangi sindiket berkenaan.

Khalid juga tidak menolak faktor lokasi berkenaan dipilih sebagai transit penyeludupan manusia berikutan kawasan berkenaan yang berhutan serta berbukit dan tidak meliputi kawasan rondaan polis.

"Khemah didirikan dalam kawasan kita (Malaysia) sebab nak elak penguatkuasaan Thailand. Khemah berkenaan terletak 400 meter ke dalam kawasan kita dari sempadan."

"Mereka tahu bahawa kita tidak meronda kawasan itu sebab permukaan buminya dan mereka dapat berselindung dari pihak berkuasa Thailand kononnya ini kawasan Malaysia dan menjangka pihak berkuasa Thailand tidak akan ambil tindakan. Tetapi mereka silap."kata beliau.
AstroAwani

KERJASAMA PAS-UMNO : KHALID SAMAD CURIGA DAKWAAN NIK ABDUH

KUALA SELANGOR: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Samad mencurigai kenyataan kononnya bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah meninggalkan pesanan supaya parti itu menjalinkan hubungan baik dengan Umno.
Justeru beliau menggesa ahli dan penyokong PAS supaya tidak mempercayai maklumat yang disampaikan pihak ketiga berhubung dakwaan pesanan Nik Aziz di akhir hayatnya itu.
“Saya tak tahu apa yang disampaikan adalah tepat atau sebaliknya. Tapi saya rasa rekod ucapan dan pendirian tok guru cukup banyak untuk dirujuk.
“Tak payah nak bersandarkan kepada pihak ketiga. Video, ucapan dan tulisannya cukup banyak. Jadi bila ada yang kata saat-saat dah nak meninggal tiba-tiba dibisik supaya suruh kerjasama dengan Umno, saya sangat curiga,” katanya ketika berucap pada forum bertajuk ‘Meneruskan Legasi Tuan Guru Nik Aziz’ di sini, Selasa malam.
Pandangan Khalid itu sekaligus menolak pengakuan anak bekas Menteri Besar Kelantan itu sendiri, Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz bahawa bapanya pernah berpesan supaya mewujudkan hubungan baik dengan Umno bagi memudahkan pelaksanaan hudud.
Sebelum ini, dilaporkan Nik Muhammad Abduh mendedahkan bahawa bapanya berpesan kepadanya supaya memastikan wujud kerjasama antara PAS dengan Umno untuk memartabatkan agenda Islam.
Mengulas lanjut, Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam mengakui bahawa Nik Aziz sangat berhasrat untuk melihat hudud dilaksanakan di Kelantan.
“Saya tak nak nafi beliau memang bercita-cita sangat untuk melihat pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah di Kelantan, tapi sampai ke tahap nak kata lupakan Pakatan Rakyat, tolak pakatan dan bersama dengan Umno dan BN, itu saya tak percaya walaupun satu peratus,” katanya.
Jelas Khalid, Nik Aziz adalah individu paling tegas menghalang jalinan kerjasama antara PAS dan Umno.
“Sangat pelik kerana sepanjang hayatnya, beliau mempunyai sikap yang tegas berhubung Umno dan BN, tiba-tiba kononya pada saat akhir hayatnya meninggalkan pesan atau wasiat yang sebaliknya.
“Bagi Nik Aziz beliau tak pernah anggap Umno ini sebagai satu parti yang boleh kita manfaatkan. Bagi beliau Umno adalah masalahnya. Yang menghalang kefahaman terhadap Islam, yang menghalang kejayaan perjuangan Islam bukan DAP tapi Umno.
"Ini ketegasan yang nyata dan jelas kerana beliau faham siapa sebenarnya lawan kita, saingan kita,” katanya. - mStar

CERITA SAYU IBU DETIK MENGANDUNG 'ANAK SYURGA'

Kisah bayi ‘anak syurga’ yang viral di laman sosial terus menerima komen positif dari netizen orang ramai.
Semalam pula, Ruqayyah Farhani ibu kepada bayi berkenaan telah menulis satu status di Facebook beliau menceritakan detik-detik sepanjang mengandungkan bayi kembar bernama Maryam Farihah dan Marsya Farihah ini.
Perkongsian, dari aku yang lemah.
[ sebab raaaaamai sangat yang tanya kisahnya ]
Di Mesir.
Selepas mendapat tahu akan ‘surprise’ kembar yang Allah berikan, aku dan suami begitu gembira, bahagia di atas hadiah ini. Aku tahu, terlalu ramai mereka di luar sana yang menginginkan anak kembar. Dan aku dipilih Allah untuk membawa 2 janin di dalam 1 rahim. Tika itu, sangat merasakan betapa sayangnya Allah pada hamba dia dengan memberikan banyak nikmat, sedangkan dosa kita terlalu banyak dan merasakan tidak layak untuk menerima anugerah tersebut. Aku dan suami kembali bermuhasabah diatas apa yang Allah berikan. Sujud syukur dan air mata mengiringi, tanda syukur pada yang Esa.
Dipendekkan cerita, atas beberapa sebab keadaan dunia perubatan di Mesir, kami mengambil keputusan untuk aku pulang ke Malaysia dalam memberikan yang terbaik buat bayi yang dikandung. Walaupun mengetahui berjauhan itu sangat perit bagi mereka yang telah berkahwin. Namun, apa lagi yang lebih berharga selain dua anak di dalam perut ini. Maka kami teruskan. Sikap ‘percaya’ antara satu sama lain kami terapkan sepanjang berjauhan. Siapa yang tidak sedih, melalui fasa perjalanan mengandung dalam keadaan suami jauh. Namun, dicekalkan hati dan sentiasa mengumpul semangat sedikit demi sedikit supaya sentiasa ceria sepanjang melalui hari demi hari. Mengandung anak kembar bagiku, sangat tabah dan perlu kuat untuk menghadapinya. Ibu-ibu yang mengandung kembar, pasti tahu.
Maka hari demi hari diteruskan seperti biasa, bergilir bulan disisi keluarga mertua dan keluarga sendiri, menanti kepulangan suamiku yang sepatutnya pulang pada minggu ke 33 kehamilan. Ketika kandunganku berusia 29 minggu, takdir Allah menentukan untuk aku bersalin pada waktu ini. Aku sudah mula merasakan sakit-sakit hendak bersalin. Waktu ini, aku berdoa agar anak yang di dalam kandungan masih dapat bertahan untuk tidak keluar sehingga ‘due’ yang sepatutnya. Sekurang-kurangnya sehingga kepulangan suami yang berbaki 4 minggu. Namun, aku harus bersedia bila-bila masa sahaja untuk bersalin, dan harus kuat semangat untuk melahirkan anak sulung dalam keadaan suami tiada di sisi.
Alhamdulillah aku selamat melahirkan dua puteri kembar usai azan subuh berkumandang pada 11 Mei 2015. Semua terlalu pantas. Suami tidak sempat untuk pulang kerana masih ada tugas. Kami namakan Maryam Farihah untuk si kakak dan Marsya Farihah untuk si adik.
Selepas bersalin, kedua bayi terus dimasukkan ke dalam NICU untuk dipantau rapi di atas sebab kelahiran yang sedikit awal. Sepanjang Maryam dan Marsya di hospital, aku berulang alik ke hospital untuk melihat bayi seorang diri dalam keadaan masih berpantang. Sangat respect akan ibu-ibu di luar sana yang mempunyai anak-anak premie. Dalam keadaan diri sendiri sakit-sakit, tetapi tetap melihat anaknya. Begitulah kasih seorang ibu pada anaknya.
Sehinggalah ditakdirkan pada hari yang ke 14, (Ahad, 24 Mei 2015), anak pertamaku Maryam Farihah perlahan-lahan pergi meninggalkan aku. Kata doktor, ada infection dalam darah dan menyebabkan kegagalan oxygen bergerak dengan baik. Aku pun kurang tahu kaitannya, mungkin juga salah faham. Apa pun, aku menjadi saksi semuanya. Subuh dia keluar ke dunia, dan kembalinya juga kepada pencipta pada waktu subuh ditemani hujan rintik-rintik hujan mengiringi pemergian puteri pertama kesayangan kami. Alhamdulillah, aku tenang. Hanya memikirkan suamiku, babanya yang masih belum sempat melihat dan memegang anaknya di depan mata, namun sudah pergi untuk selama-lamanya.. Perginya ke Syurga. Bahagia di sana, sedang bergembira di Syurga.
Maryam Farihah puteriku, begitu mudahnya Allah mengeluarkanmu dari rahimku, dan menjadi mudah juga bagi Allah untuk menarikmu kembali. Kami sedar yang anak itu hanyalah pinjaman buat kami. Engkau ya Allah yang berhak untuk mengambilnya kembali. Sesuai dengan namanya Maryam, sebagaimana kisah di dalam Al-Quran bersalin bersendirian. Begitu juga denganku yang bersalin bersendirian. Engkau setabah ‘Maryam’. Farihah, yang bermaksud kegembiraan, gembiranya engkau di Syurga menemui Allah azza wa jalla.
Kehadiran kedua puteriku membuatkan kami berdua kembali berfikir dan terus berfikir akan hikmah yang Allah berikan semua ini. Episod demi episod datang dan terus datang ke dalam hidup kami. Tidak sempat suamiku melihat perutku yang memboyot-boyot, menemaniku ketika bersalin, melihat dan memegang anaknya, dan kini Engkau memanggil Maryam untuk pulang. Suamiku sangat redha, dan dia sangat tenang dan bersangka baik dengan Allah.
Alhamdulillah, sepanjang 7 bulan seminggu aku mengandungnya, melihatnya keluar dari perutku, melihat badannya penuh dengan wire di sana sini, memegang jemarinya di nicu, bersembang-sembang, bercerita dengannya, memberi semangat, bernyanyi dan berdoa di depannya, dan membawa jenazah pulang ke rumah. Pertama kali dapat memegangnya, mengucup, meribanya, dan memeluknya di saat jasadnya sudah tidak bernyawa. Namun aku bahagia masih sempat berpeluang menikmati semua itu. Dan Alhamdulillah juga berpeluang untuk memandikan sendiri jenazah anakku itu.
Maryam sangat cantik, sangat bersih, sangat tenang wajahmu sayang. Pasti sudah terbayangkan Syurga yang bakal kau jejaki.
Kehadiranmu membuatkan kami semakin mengingati Allah dan mendekatkan diri kepada Allah. Terima kasih sayang. Aku tahu, ujian itu akan terus datang. Yakin dan percaya pada Allah, nescaya kita akan tenang.
Ayat 11, dari Surah At-Taghabun ( Sila bangun dan cari Quran terjemahan! Atau google!) sangat menjadi motivasi buatku. Semalam terfikir-fikir. Ya Allah, teringinnya untuk aku mati syahid. Aku takut, kematianku bila-bila masa sahaja. Tapi amalku masih belum cukup.
Terima kasih Maryam Farihah, engkau menganugerahkan pengalaman yang berharga buat mama. Terlalu manis. Dan pastinya suamiku yang banyak mendidik dan memberi semangat untuk aku menghadapi semua ini.
Sekarang bila rindu Maryam, cepat-cepat bayangkan dia yang sedang bermain dan berseronok di Syurga. Main lari-lari ke hehe, macam-macam nikmat ada. Sungguh, tak tergambar ketenangan dan kebahagiaan ini setelah apa yang berlaku. 😊❤
“Kita tak ada apa nak serah pada Allah. Apatah lagi nak berjanji beri ketaatan kalau anak sembuh. Allah tak perlu apa-apa dari kita. Kita yang perlu taat pada Allah. Ketaatan bukan kalau Maryam sembuh je. Apa pun jadi pada Maryam, ketaatan pada Allah tetap kena beri. Kalau lah doa penuh perasaan dan tangisan tu dah cukup untuk Allah makbulkan doa, maka sepatutnya semua rakyat palestin, rohingya, mangsa banjir dan lain-lain dah terkabul hajatnya. Tangisan kebergantungan mereka pada Allah jauh lebih kuat berbanding kita. Ada benda lain yang Allah nak dari kita. Percaya dan cinta sepenuh perasaan. Allah nak bagi syurga. ❤. Kita serahkan Maryam pada Allah” – Nasihat dari encik suami yang cukup menenangkan. Ahhh~.
Kembarnya, Marsya Farihah masih sedang berjuang lagi di nicu. Hari ini cukup 16 hari. Doakan.
P/s: Terima kasih buat semua yang mendoakan, mendapat puluhan ribu doa dan ucapan. Semoga kita semua dapat mengambil pengajaran dan terus memperbaiki diri ke arah yang lebih baik ☺
Mama baba sayang Maryam. Tapi sayang Allah pada Maryam melebihi sayang mama baba pada Maryam :’)

BERITA BAIK !!! BR1M PERINGKAT KEDUA AKAN DIBAYAR ESOK


Pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) peringkat kedua akan bermula esok, membabitkan 4.65 juta penerima, kata Kementerian Kewangan, hari ini.

Pembayaran peringkat kedua ini turut melibatkan tuntutan rayuan yang diluluskan kepada 141,670 penerima, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dalam satu kenyataan.

Melalui pengumuman Bajet 2015, kerajaan memutuskan supaya pemberian BR1M pada tahun ini diagihkan kepada tiga peringkat. Bayaran peringkat pertama telah diagihkan pada 15 Januari 2015. Pembayaran BR1M akan dikreditkan terus ke akaun penerima masing- masing. Bagi mereka yang tidak mempunyai akaun bank, surat kelulusan akan diposkan terus ke alamat penerima, dan boleh ditunaikan di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN), Maybank, CIMB dan Public Bank, yang berhampiran.

Pada masa sama, Ahmad Husni berkata kerajaan memperkenal Skim Khairat Kematian (SKK) dengan bantuan sebanyak RM1,000, bertujuan membantu waris penerima BR1M dalam kategori isi rumah dan warga emas yang telah meninggal dunia. Sehingga kini, lebih 16,000 tuntutan SKK telah diluluskan, katanya. 

Waris penerima BR1M yang dinamakan dalam Borang Permohonan BR1M, boleh membuat tuntutan SKK di mana-mana cawangan BSN dengan mengemukakan dokumen sijil kematian serta kad pengenalan diri waris. Untuk sebarang pertanyaan lanjut, penerima boleh menghubungi talian bebas tol 1800-88-2716 serta e-mel kepada: br1m@treasury.gov.my.
BERNAMA

LELAKI DICEKUP DI SAF WANITA


Kota Bharu: Seorang lelaki nekad menyamar sebagai muslimat dan mengenakan sepersalinan lengkap telekung untuk mencuri sebelum kegiatannya dihidu jemaah masjid.

Kejadian berlaku Ahad lalu ketika jemaah sebuah masjid di Jalan Telipot, di sini, sedang solat Subuh.

Insiden itu tersebar dalam laman sosial dan aplikasi WhatsApp memaparkan wajah suspek apabila dicekup jemaah masjid.

Seorang ahli jawatankuasa (AJK) masjid itu yang enggan dikenali berkata, suspek berusia 26 tahun sebelum itu dilihat masuk ke kawasan masjid dalam keadaan mencurigakan bersama satu set telekung di tangannya.

“Ketika itu sudah hampir solat dan kami masing-masing bersiap untuk menunaikan ibadah. Hanya selepas solat jemaah jam 6.15 pagi, ada muslimat nampak suspek yang kelihatan pelik berada di saf wanita dan segera mengadu.

“Dalam masa sama, beberapa AJK menyemak rakaman kamera litar tertutup dan mendapati suspek mencurigakan serta memaklumkan kepada pengawal keselamatan untuk menangkapnya.

“Dia segera ditahan dan ketika ditanya, dia mendakwa tiada niat mencuri, sebaliknya memberikan alasan melarikan diri daripada jadual tugas sebagai pengawal keselamatan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, polis tiba tidak lama kemudian sebelum membawa suspek ke balai polis.

Katanya, suspek ke masjid dengan menunggang motosikal jenis Honda EX5 dan pemeriksaan mendapati tiada barang dalam masjid yang hilang.

“Mungkin dia ada rancang sesuatu, tetapi tindakannya hanya memakan diri sendiri.

“Sebelum ini pernah berlaku kecurian apabila suspek menyamar jadi muslimat dengan memakai telekung dan kemudian melarikan beg tangan wanita,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan dan siasatan lanjut masih dijalankan.
hmetro