ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: AWAS !!! KERANG, TIRAM & LOKAN BERACUN DI PERAIRAN SUNGAI GETING

Wednesday 2 September 2015

AWAS !!! KERANG, TIRAM & LOKAN BERACUN DI PERAIRAN SUNGAI GETING


TUMPAT - Sejak kelmarin, notis larangan memakan kerang, tiram dan lokan di kawasan perairan Sungai Geting mula ditampal di serata tempat di perkampungan nelayan di Kampung Geting.

Ia sebagai peringatan awal meskipun belum ada lagi insiden keracunan makan kerang-kerangan yang tercemar kerana sungai tersebut mengandungi Plankton Alexandrium sp.

Jika termakan kerang-kerangan beracun itu boleh menyebabkan kematian dan rata-rata penduduk di pesisir Sungai Geting berwaspada dengan fenomena kerang beracun itu.

Bagaimanapun tinjauan ke Sungai Geting mendapati, masih ada aktiviti mencari kerang-kerangan  di sungai terbabit yang padat dengan bot ditambat di jeti dan sisa buangan sampah hanyut di permukaan sungai.

Seorang penduduk, Mohd Shuraidi Ismail, 30, berkata, dia mengetahui notis amaran itu tetapi dia tetap turun ke sungai mencari hasil kerang-kerangan untuk hidangan keluarganya.

“Saya masih turun ke sungai  ini mencari lokan (spesies kerang) seperti biasa sebab saya tahu selok-belok Sungai Geting ini.

“Saya tahu  mana kawasan yang dikatakan airnya tercemar teruk, di mana kawasan yang selamat untuk dicari lokan ini,” katanya ditemui di Sungai Geting, semalam.

Menurutnya, hanya spesies lokan dan 'tijah' sahaja yang hidup di Sungai Geting, manakala spesies lain seperti tiram, lala dan mentaram tidak hidup di sungai tersebut.

Katanya, dia yakin lokan yang dicarinya itu tidak beracun dan selamat untuknya sekeluarga makan yang enak dimasak rebus.

“Memang saya cari lokan ini di dalam Sungai Geting tetapi lokasinya di kawasan air yang mengalir berhampiran dengan kuala Tak Bai,” katanya.

Lagi pun katanya, penduduk di sini dapat mengenali kerang-kerangan itu beracun atau tidak kerana kerang beracun berbau seperti minyak diesel.


Hantar sampel lokan untuk kajian

Sebelum ini, notis Jabatan Perikanan memaklumkan kajian dari Stesen Penyelidikan Universiti Malaya di Bachok mendapati kandungan air Sungai Geting  mengandungi Plankton Alexandrium sp.

Justeru, Jabatan Perikanan mengeluarkan amaran mengenai penemuan hasil kajian berkenaan dengan melarang aktiviti memungut, menjual, memakan tiram dan kerang di kawasan tersebut kerana boleh mengakibatkan keracunan serta kematian.

Pengarah Perikanan Kelantan, Mohd Zain Saad berkata, pihaknya telah menghantar sampel lokan yang diambil di sekitar Sungai Geting ke tiga pusat penyelidikan untuk kajian lanjut.

Menurutnya,  lokan itu dihantar semalam ke sebuah makmal di Pahang, Universiti Malaya (UM) di Bachok dan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk mengetahui tahap kandungan bahan yang percayai beracun itu.

“Jadi untuk sementara ini, saya nasihatkan supaya rakyat Kelantan tidak lagi memakan kerang, lokan dan tiram di kawasan berkenaan bagi elak kejadian buruk berlaku.

“Dikhuatiri ia mengandungi racun dan boleh membawa maut. Bagaimanapun, kami masih lagi menunggu keputusan lanjut hasil kajian ke atas bahan berkenaan. Setakat ini, kita masih belum menerima sebarang aduan berkaitan keracunan berpunca daripada lokan atau kerang yang diambil dari Sungai Geting,” katanya.

Mohd Zain berkata, nelayan dan juga penduduk diminta memberikan kerjasama tidak mengutip kerang-kerangan di kawasan yang berisiko itu.

“Hari ini (semalam) kita telah arahkan pegawai untuk menyebarkan maklumat kepada penduduk sekitar Sungai Geting.

“Notis-notis juga telah ditampal sebagai amaran dan peringatan sehingga kami mendapat keputusan lanjut daripada ujian makmal,” katanya.


Peniaga nafi kerang-kerangan dijual beracun

Dalam pada itu, peniaga  di Pantai Sri Tujoh berdekatan Sungai Geting menafikan hasil  kerang-kerangan yang dijual itu beracun.

Peniaga, Hamidah Ishak, 43, berkata, kerang di situ selamat dimakan kerana ia dikutip di lagun Pantai Sri Tujoh dan Kuala Tumpat.

“Kami tidak berniaga kerang dari Sungai Geting kerana kami tahu di situ airnya tercemar.

“Lagi pun spesies tiram, lala, mentaram dan kerang tidak hidup di dalam Sungai Geting, jadi pembeli tidak perlu rasa was-was untuk singgah membeli kerana kerang ini bukan dari Sungai Getting, ia selamat untuk dimakan,” katanya.

Walaupun gerainya turut menjual lokan, Hamidah berkata, lokan itu juga bukan daripada spesies di Sungai Geting.  

Bagi Rozie Ismail, 43, pula, masalah Sungai Geting tercemar telah diketahui penduduk kampung kerana pernah berlaku kes kerang beracun lima tahun lalu.

“Kawan saya sendiri yang kena keracunan apabila memakan kerang beracun,” katanya.

Menurutnya, sejak kejadian itu, dia tidak lagi mencari spesies kerang-kerangan itu di Sungai Geting kerana khuatir kejadian keracunan berulang.

Katanya, orang ramai tidak perlu bimbang membeli tiram, lokan dan spesies lain di sini kerana kerang-kerangan itu dari lagun Sri Tujoh dan bukannya di Sungai Geting.

No comments:

Post a Comment