ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: GURU MAUT KERETA BERTEMBUNG TRELER

Thursday 16 April 2015

GURU MAUT KERETA BERTEMBUNG TRELER


KOTA BHARU - Seorang guru maut selepas kereta yang dipandunya dipercayai dirempuh sebuah lori treler dari arah bertentangan ketika dalam perjalanan menuju ke sekolah di Jalan Mulong di sini, kira-kira jam 6 pagi tadi.

Mangsa Mohd Zaki Mohd Nor, 40 memandu kereta jenis Kia Spectra dari arah Kota Bharu menghala ke Kuala Krai untuk ke tempat kerjanya di Sekolah Kebangsaan (SK) Bahagia Kuala Krai.

Mohd Zaki, baru tiga hari memulakan tugas setelah dua bulan mengambil cuti rehat selepas membuat rawatan pintasan jantung.

Mangsa yang tinggal di Kampung Penambang Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB) itu sanggup berulang alik setiap hari dari rumahnya ke sekolah yang mengambil masa lebih dua jam perjalanan dari Kota Bharu ke sekolah berkenaan.

Isteri mangsa, Hanafitriah Yusof, 39, berkata, dia yang juga guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Melor hanya dimaklumkan mengenai kejadian oleh rakan setugas selepas menerima panggilan telefon.

"Terkejut bukan kepalang apabila menerima berita itu, namun saya tabahkan hati dan terus ke hospital untuk mengetahui keadaan mayat suami saya.

"Tidak saya sangka suami telah pergi selama-lamanya meninggalkan saya dan anak-anak memandangkan tiada sebarang petanda pelik ataupun perubahan yang berlaku padanya. Namun apapun saya reda dengan ketentuan ALLAH SWT," katanya kepada pemberita.

Mangsa meninggalkan empat anak berusia antara 13 hingga 2 tahun.

Menurut Hanafitriah lagi, jenazah suaminya dimandi dan dikafankan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Penambang.

Sementara itu Ketua Polis Derah Kota Bharu, Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa mengesahkan menerima laporan kejadian. Menurutnya, pemandu lori berkenaan juga mengalami kecederaan akibat tersepit.

"Setakat ini kita masih jalankan siasatan dan kes disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,"katanya.




No comments:

Post a Comment