ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: KES LIWAT II : PENDAKWAAN PERLU LEBIH MASA, PROSIDING BERSAMBUNG ISNIN

Friday 31 October 2014

KES LIWAT II : PENDAKWAAN PERLU LEBIH MASA, PROSIDING BERSAMBUNG ISNIN


PUTRAJAYA: Pendengaran rayuan terakhir kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim diteruskan dengan pihak pendakwaan selesai mengemukakan kira-kira 30 peratus penghujahan sehingga tengah hari Jumaat.

Ketua pasukan pendakwaan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang memulakan penghujahan pada hari keempat prosiding berkata, beliau memulakan penghujahan dengan membentangkan fakta kes secara menyeluruh kerana ia tidak dilakukan pihak pembelaan.

"Hari ini dalam penghujahan saya mungkin sudah buat 20 hingga 30 peratus hujah.

"Saya ambil masa untuk bentangkan fakta-fakta berkenaan kes sebelum saya masuk ke dalam isu dan undang-undang," kata Muhammad Shafee kepada pemberita sebaik sahaja keluar dari kamar perbicaraan Istana Kehakiman di sini, Jumaat.

Muhammad Shafee, peguam yang mewakili Mohd Saiful Bukhari Azlan, 27, berkata, pembentangan fakta oleh pihak pendakwaan 'bukan menyeluruh' tetapi ia disifatkan sebagai penting dalam prosiding ini.

"Sebab itu saya makan banyak masa.

"Saya bagi fakta dan kandungan mustahak supaya kita lebih faham kenapa benda ini berkemungkinan berlaku," katanya.

Beliau berhujah di hadapan panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria.

Prosiding pada Jumaat berhenti sehingga tengah hari dan akan disambung semula pada Isnin.

Muhammad Shafee berkata, penghujahan seterusnya adalah mengenai bahan kes dari lokap berasaskan perbandingan yang menyatakan berus gigi, tuala dan botol air telah digunakan Anwar.

"Kita akan menyatakan eksibit-eksibit itu memang jelas daripada Datuk Seri Anwar bila kita bandingkan ia dengan eksibit dalam P27, semuanya 'Male Y', maka itu adalah eksibit Datuk Seri Anwar," katanya.

Beliau turut memaklumkan, berkemungkinan besar penghujahannya tidak dapat diselesai pada Isnin kerana ia hanya berjalan separuh hari.

"Saya akan mengambil 'bahagian kecil' (masa) pada pagi Selasa, bagaimanapun saya rasa pada Selasa prosiding berjalan satu hari penuh," katanya.

Dalam prosiding bermula Selasa, mahkamah telah mendengar penghujahan daripada peguam utama Anwar, Datuk Seri Gopal Sri Ram, yang juga bekas hakim Mahkamah Persekutuan, serta peguam N Surendran, Sangeet Kaur Deo dan Ramkarpal Singh.

Pada 24 April, Anwar memfailkan petisyen rayuan yang memberi 35 alasan kenapa Mahkamah Persekutuan perlu membebaskan beliau daripada tuduhan meliwat, sejam sebelum berakhir tempoh yang disyaratkan beliau berbuat demikian.

Anwar, 67, dituduh meliwat Mohd Saiful Bukhari di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara pukul 3.10 petang dan 4.30 petang 26 Jun 2008.

Tuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

No comments:

Post a Comment