Pages

Thursday 11 February 2016

'FOKUS UTAMA ADALAH RAKYAT, BUKAN PROTOKOL' - PM @NajibRazak


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu perbelanjaan yang digunakan untuk majlis sambutan lawatan kerja dan rasmi beliau serta menteri-menteri Kabinet dikurangkan selaras dengan langkah berjimat cermat kerajaan.

Berdasarkan pemerhatiannya melalui lawatan-lawatan kerja yang dilakukan baru-baru ini, Najib berkata beliau melihat masih ada perbelanjaan yang boleh dikurangkan atau dielakkan.

"Saya berterima kasih untuk segala persiapan menyambut kehadiran saya. Saya faham sekiranya ada protokol yang perlu diikuti, tetapi di mana boleh, kita kurangkan persiapan seperti karpet merah, hidangan istimewa dan sebagainya.

"Fokus utama kita adalah rakyat, bukan protokol," kata perdana menteri dalam entri terbaharu beliau dalam blog NajibRazak.com.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata pada mesyuarat Jemaah Menteri pertama 2016 di Putrajaya pada 6 Jan lepas, beliau telah mengingatkan Kabinet dan kementerian-kementerian untuk membelanjakan peruntukan yang diberi secara berhemat.

Perdana menteri berkata setiap lawatan kerja yang dilakukannya adalah bertujuan untuk bersama rakyat, mendengar masalah mereka dan mencari jalan penyelesaian bersama.

"Alhamdulillah, saya nampak rakyat menerima baik pendekatan sebegini agar masalah mereka mendapat perhatian dan penyelesaian secepat mungkin," katanya.

Menurutnya dalam setahun dua tahun ini, beliau telah merasmikan banyak majlis dan membuat lawatan kerja di seluruh negara.
BERNAMA

No comments:

Post a Comment