Pages

Wednesday, 10 February 2016

AHLI UMNO PERLU TANGKIS DAKYAH PEMBANGKANG


GUA MUSANG: Ahli UMNO digesa membantu pemimpin bagi menangkis pelbagai isu yang diketengahkan pembangkang untuk melemahkan parti itu menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata walaupun pelbagai penjelasan sudah dilakukan pemimpin UMNO terhadap isu dibangkitkan termasuk mengenai 1Malaysia Development Bhd (1MDB), ia masih berlarutan.

Beliau berkata, bukan sahaja isu 1MDB, tetapi juga isu RM2.6 bilion membabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga masih digembar-gemburkan melalui media sosial oleh pemimpin pembangkang.

"Kita mengharapkan ahli UMNO di peringkat akar umbi membantu bersama menjelaskan keadaan sebenar dan jangan pula mereka turut terpengaruh dengan apa yang dibangkitkan pembangkang.

"Memang pembangkang menyimpan hasrat untuk membawa isu itu hingga PRU akan datang," katanya selepas majlis jamuan petang bersama pemimpin UMNO, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Datuk Nozula Mat Diah; ADUN Nenggiri, Datuk Mat Yusoff Ab Ghani dan ADUN Galas, Ab Aziz Yusof.

Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, berkata jika semua ahli UMNO bersatu bersama menangkis isu berkenaan ia dapat diketepikan begitu sahaja.

"Itu harapan kita di peringkat pemimpin atasan yang siang malam memberi penjelasan berhubung perkara terbabit kerana kita bimbang rakyat mudah terpengaruh isu berkenaan," katanya.

Beliau berkata, isu RM2.6 billion sudah ditutup selepas Jabatan Peguam Negara berpuas hati bahawa tiada kesalahan jenayah dilakukan oleh Perdana Menteri berkaitan tiga kertas siasatan yang dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bagaimanapun, katanya, pembangkang masih membangkitkan isu berkenaan dan meletakkan sasaran untuk rakyat membenci pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Kita mesti bersatu dalam soal itu kerana PRU akan datang sudah tidak lama lagi dan kemungkinan pada 2018, oleh itu kita berharap ahli UMNO peringkat akar umbi ini turut memainkan peranan untuk sama-sama menangkisnya," katanya.

No comments:

Post a Comment