Pages

Thursday 8 October 2015

DAP TAK PERLUKAN PAS UNTUK MENANG PRU 14 - TONY PUA


KUALA LUMPUR – PAS yang membuat keputusan tidak menyertai gabungan baharu pembangkang terus diserang DAP malam tadi pada majlis makan malam mengutip dana bagi parti serpihan mereka, Parti Amanah Negara (Amanah).

Memetik laporan The Malaysian Insider, Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata, PAS sebenarnya sudah mula tidak mempamerkan prestasi yang baik di kubu kuat mereka Kelantan sejak kematian bekas mursyidul am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Justeru katanya, gabungan baharu pembangkang yang kini dikenali sebagai Pakatan Harapan akan memenangi Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) akan datang tanpa PAS sekalipun.

“Jadi tanpa PAS adakah kita akan mampu menang? Biar saya beritahu anda, kita boleh. Ia tidak mudah ataupun percuma tetapi kita boleh.

“PAS semakin hilang kawalan di Kelantan. Kekurangan kerajaan negeri Kelantan tidak begitu jelas semasa Nik Aziz ada tetapi sekarang orang Kelantan tidak perlu lagi menaruh kepercayaan mereka terhadap kerajaan negeri,” katanya di Kuala Lumpur malam tadi.

Menurutnya, perkara itu jelas kelihatan sewaktu bencana banjir besar di Kelantan hujung tahun lalu yang menyaksikan seolah-olah kerajaan negeri “langsung tidak ada”.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu merujuk kepada kontroversi bantuan kepada mangsa banjir di Kelantan hujung tahun lalu apabila kerajaan negeri dan persekutuan dilihat sama-sama lambat menghulurkan bantuan.

Malah, DAP sendiri mengusahakan projek pembinaan semula rumah di negeri itu yang dikenali sebagai Impian Kelantan.

Hubungan DAP dan PAS putus secara rasmi apabila muktamar PAS yang lalu meluluskan usul memutuskan hubungan dengan parti itu selepas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dikritik bertali arus.

Hadi dikritik atas dakwaan culas menghadiri mesyuarat majlis presiden Pakatan Rakyat (PR).

Beliau juga sering menggunakan kuasa vetonya dalam parti dengan membangkang keputusan yang dibuat timbalannya pada masa itu, Mohamad Sabu dalam mesyuarat majlis presiden PR.

Bercakap dalam majlis makan malam meraih dana Amanah semalam, Pua turut mengungkit bangkangan Hadi terhadap keputusan persetujuan DAP dan PKR mencalonkan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar Selangor bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurutnya, jika PAS menyertai gabungan baharu pembangkang sekalipun, mereka tidak akan mempercayai parti itu yang semakin merosot pentadbirannya.

“Jika bersama kita sekali pun, belum tentu prestasi mereka baik,” katanya. 
RakyatNews

No comments:

Post a Comment