Pages

Saturday, 9 May 2015

MENYAMAR ANGGOTA UTK


Kuala Lumpur: Seorang lelaki bergelar Datuk Seri dikesan mengupah pengawal peribadi yang menyamar sebagai anggota Unit Tindakan Khas (UTK) untuk mengiring keretanya ketika waktu puncak di ibu kota, kelmarin.

Difahamkan, lelaki berusia 50-an itu berbuat demikian sejak tiga bulan lalu bagi mengelak keretanya terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

Bagaimanapun, taktik kotor lelaki terbabit terbongkar selepas sepasukan anggota dari Cawangan Trafik Kuala Lumpur mengesan kenderaannya bersama pengiringnya yang lengkap dipasang dengan lampu mata arah biru dan siren menyerupai kenderaan pasukan UTK.

Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain berkata, ketika anggota membuat rondaan di Jalan Tun Razak berdekatan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) kira-kira jam 5 petang kelmarin, mereka mengesan sebuah Jeep jenis BMW X5 warna hitam menggunakan siren dan lampu mata arah berwarna biru.

Katanya, Jeep itu mengiringi sebuah kereta jenis Mercedes warna perak ke arah Damansara yang dinaiki Datuk Seri terbabit.

“Tindakan mereka yang menggunakan lampu mata arah biru dan siren menyerupai kenderaan UTK menyebabkan semua kenderaan awam memberikan laluan kepadanya.

“Malah, ketika anggota menyoal pemandu Jeep itu, dia menyatakan sedang mengiringi Datuk Seri, namun diarahkan berhenti. Kami lelaki itu menyamar sebagai penjawat awam,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, kesempatan itu digunakan oleh lelaki bergelar Datuk Seri yang berasal dari Muar, Johor itu untuk memecut laju.

Katanya, siasatan mendapati pemandu Jeep berkenaan adalah pengawal peribadi kepada ahli perniagaan bergelar Datuk Seri dan baru tiga bulan bekerja dengannya.

“Pengawal peribadi itu siap berpakaian seperti anggota UTK, malah memakai lambang BG di pakaiannya itu.

“Dia mengaku tidak mempunyai kelulusan daripada pihak berkuasa untuk menjalankan tugas pengiring di atas jalan raya dan berbuat demikian atas arahan majikannya itu,” katanya.

Beliau berkata, kenderaan itu dibawa ke Balai Polis Trafik untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan iaitu menyamar sebagai penjawat awam yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 94 Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan.
hmetro

No comments:

Post a Comment