Pages

Wednesday, 25 February 2015

BERGADUH REBUT GADIS, ANGGOTA POLIS DI PENJARA ENAM BULAN


Geng Rebut Gadis


KOTA BHARU – Mengejutkan apabila seorang anggota polis antara yang dijel enam bulan oleh mahkamah majistret, di sini, semalam, kerana bergaduh dalam insiden tembakan merebut seorang gadis, 8 Februari lalu.

Konstabel berkenaan, Mohamad Izzat Irfan Md Khuzeh, 26, mengalirkan air mata dan dipeluk seorang lagi tertuduh, Farid Suria, 23, sejurus hukuman diputuskan Majistret, Mohd Firdaus Zainal Abidin.

Mohamad Izzat mengaku bersalah bergaduh di tempat awam dan mengganggu ketenteraman di sebuah restoran di Jalan Kebun Sultan Off Jalan Sri Cemerlang, di sini, pada jam 11.45 malam, tarikh itu.

Dua lagi yang mengaku, Wan Mohamad Farif Wan Ahmad, 23, dan Mohamad Hasrizal Mazlan, 20, masing-masing dipenjara lima bulan.

Selebihnya, Shahrul Hafiz Shafie, 25; adiknya, Mohamad Shahrin, 22;  Mohamad Ridhuan Yusof, 22; Farid Suria; Nik Muhamad Nazrin Nik Ismail, 22; Wan Mohd Arham Wan Mansor,27, dan adiknya, Wan Mohammad Fahmi,22, menafikan tuduhan dan dibebaskan dengan ikat jamin RM1,600 setiap seorang kecuali Farid Suria, RM4,000.

Kesemua 10 tertuduh didakwa secara bersama mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana gaduh gempar oleh Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nurliyana Md Zukri. Nurliyana dalam hujah pemberatan hukuman memohon tiga tertuduh yang mengaku salah dihukum dengan setimpal.

“Sebagai penjawat awam, perkara ini tidak patut berlaku. Sepatutnya tertuduh menjaga ketenteraman awam, sebaliknya tertuduh pula yang terlibat. Punca insiden yang berlaku pula terlalu kecil dan amat memalukan. Ada banyak lagi perkara besar yang perlu diberi perhatian dalam hidup ini,” katanya.

Sementara, di mahkamah sesyen, di sini, semalam, Farid Suria dituduh pada satu lagi tuduhan berasingan di hadapan Hakim, Mohd Yusoff Yunus iaitu memiliki sepucuk pistol jenis Steyr Mannlicher buatan Austria tanpa lesen dan permit sah di sebuah rumah di Jalan Kebun Sultan, Kampung Dusun Raja, di sini, pada jam 7 pagi, 9 Februari lalu.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 24 Mac depan.

Dalam kejadian lalu, Sinar Harian melaporkan dua kumpulan terdiri lima dan tujuh orang bertengkar kerana perebutan seorang gadis yang memuat naik ‘pose’ manja di Facebook sehingga seorang dari mereka melepaskan dua das tembakan mengenai dua kereta berhampiran restoran itu. Tiada kecederaan dilaporkan. [ Artikel Berkaitan ]
Sinar

No comments:

Post a Comment