Pages

Thursday, 8 January 2015

OPS PASCA BANCIR PANTAU HARGA BARANG MULAI HARI INI


hasan
PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan menjalankan operasi ‘Ops Pasca Banjir’ bermula Khamis sehingga Mac bagi memantau harga makanan dan barangan keperluan asas harian di pasaran.

Menterinya Datuk Seri Hasan Malek berkata pihaknya mengambil berat rungutan orang ramai yang mendakwa harga beberapa barangan naik mendadak di beberapa kawasan baru-baru ini selepas banjir.

“Operasi secara besar-besaran diadakan bertujuan untuk memastikan barangan makanan dan keperluan adalah mencukupi dan dapat dibeli dengan harga berpatutan semasa dan selepas banjir,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan bantuan barangan keperluan sekolah kepada mangsa banjir daripada lapan pasar raya dan pasar raya besar di sini Rabu.

Barangan bernilai RM1.5 juta itu akan disalurkan ke negeri-negeri yang terjejas akibat banjir termasuk Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak.

Hasan berkata operasi itu juga bertujuan menyelesaikan isu aliran bekalan makanan dan barang keperluan serta untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barang secara tidak munasabah.

Katanya seramai 2,000 pegawai penguat kuasa kementerian di seluruh negara akan digerakkan terutamanya di negeri-negeri yang terjejas akibat banjir dan pemantauan ditumpukan pada kilang-kilang pengeluar barangan, pengimport, peniaga runcit dan pasar raya.

“Saya juga mengharapkan pengguna untuk terus memaklumkan kepada kementerian jika terdapat peniaga yang menaikkan harga barangan supaya tindakan segera terhadap mereka dapat diambil,” kata Hasan.

Ketua Setiausaha KPDNKK Datuk Seri Alias Ahmad pula berkata kementerian akan memastikan barangan bukan makanan seperti petrol dan diesel mencukupi di kawasan-kawasan terlibat banjir.

Berhubung penurunan harga petrol dan diesel yang didakwa Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat Rafizi Ramli telah menyebabkan kerugian kepada syarikat dan pengusaha stesen minyak, beliau berkata kementerian mempunyai tiga pilihan bagi menangani perkara itu namun tidak dapat mendedahkannya sekarang.

“Kita tidak dapat umumkan sekarang kerana ia masih dalam peringkat perbincangan bersama-sama dengan syarikat dan pengusaha stesen minyak,” katanya. -mStar

No comments:

Post a Comment