Pages

Thursday, 4 December 2014

#RCISABAH : PENDATANG ASING BERDEPAN TINDAKAN UNDANG-UNDANG


KOTA KINABALU: Pendatang haram yang mendapat kewarganegaraan melalui 'pintu belakang' akan berdepan tindakan pembatalan dokumen dan juga akan didakwa, kata Tan Sri Abdul Gani Patail.

Peguam Negara berkata mereka yang menggunakan dokumen sokongan palsu untuk mendapatkan sijil kelahiran dan kad pengenalan Malaysia melalui sindiket yang mempunyai hubungan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan berdepan dengan tindakan undang-undang.

"Ada yang menggunakan dokumen berkanun yang ditandatangani oleh ketua kampung untuk mendapatkan dokumen Malaysia yang asli dan mereka akan dikenakan tindakan," kata Abdul Gani.

Tugas mengenal pasti golongan ini akan dipertanggungjawabkan kepada jawatankuasa kerja mengenai warga asing (yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan) yang juga akan membuat cadangan kepada sekretariat tetap warga asing di Sabah, yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Dalam Negeri dan Ketua Menteri, katanya.

Abdul Gani berkata adalah menyalahi undang-undang bagi sesiapa sahaja yang mendapatkan kerakyatan Malaysia melalui dokumen palsu dan tindakan boleh diambil terhadap mereka walaupun kes tersebut sudah berlaku dalam tempoh dua atau tiga dekad lamanya.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa berkata pihak berkuasa pada tahun 1995 telah mengambil tindakan terhadap ahli-ahli sindiket itu termasuk menangkap beberapa bekas pengarah JPN yang berkhidmat di Sabah.

Beliau berkata orang asing telah membeli kad pengenalan Malaysia daripada individu dan sindiket yang mempunyai hubungan dengan pegawai JPN Sabah.

"Ia (menyediakan kad pengenalan) telah dilakukan oleh sindiket atau individu untuk keuntungan kewangan. Tidak ada motif politik, " kata beliau sambil menambah projek yang dipanggil 'Projek IC' itu dilakukan oleh sindiket.

Semasa siasatan itu, beberapa saksi mendakwa beribu-ribu kad pengenalan diberikan kepada pendatang tanpa izin yang kemudiannya menjadi pengundi manakala anggota polis yang menyiasat kes memberi keterangan bahawa ia dilakukan untuk keuntungan kewangan.

Ketika ditanya sama ada status pilihan raya sebelum ini kini diragui kerana daftar pemilih telah dipenuhi dengan bukan warganegara, Abdul Gani berkata senarai daftar pengundi secara dibersihkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya secara berterusan.

Beliau berkata kira-kira 78,340 nama telah dipadam dari daftar pemilih selama ini, sambil menambah bahawa angka itu tidak memberi kesan kepada keputusan pilihan raya.


mStar

No comments:

Post a Comment