Pages

Thursday, 27 November 2014

NAJIB BERIKRAR TERUS KOMITED PERJUANG NASIB MELAYU, BUMIPUTERA


KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, hari ini berikrar untuk terus komited memperjuangkan nasib kaum Melayu dan Bumiputera.

Semasa berucap merasmikan Perhimpunan Agung UMNO 2014, Najib berkata komitmen itu bukan sekadar di bibir, tetapi beliau dan rakan-rakannya dalam parti serta kerajaan, telah melakukan segala yang termampu untuk membuktikannya.

"Ketahuilah, saya berdiri di sini, tidak sama sekali sekadar (sebagai) Perdana Menteri, saya juga berdiri di hadapan ini, bukan setakat Presiden UMNO, tapi saya berdiri dan berbicara di hadapan saudara sekalian, sebagai penyambung lidah dan warisan perjuangan Melayu Bumiputera.

"Dari itu, mana mungkin, saya sanggup membiarkan keturunan dan bangsa saya melarat, terhina, hingga terbangsat menjadi celaka di tanah sendiri," katanya dalam ucapan dasar bertemakan Solidariti Melayu dan Bumiputera, Solidariti UMNO, Solidariti Malaysia.

Perhimpunan agung yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu dihadiri 2,752 perwakilan.

Turut hadir dua bekas perdana menteri dan presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Najib yang berbaju Melayu berwarna jingga menegaskan bahawa komitmen berkenaan adalah antara cara UMNO membayar balik harga pengorbanan dan harga kesetiaan anggotanya.

"Kepada akar umbi UMNO pula yang sejak dahulu istiqamah dan iltizam dalam perjuangan, kita harus membayar balik harga pengorbanan dan harga kesetiaan mereka dengan cara terus membela untung nasib bangsa, kerana UMNOlah satu-satunya parti tempat berlindung dan bergantung harap demi masa depan kita semua," katanya.

Perdana Menteri menegaskan bahawa ahli UMNO tidak perlu apologetik dan berasa segan silu, jika ada pihak cuba memperlekeh dan mencemuh kononnya parti itu sudah jumud dan tidak relevan lagi.

Sebaliknya, beliau berkata ahli UMNO mesti berhijrah ke arah yang lebih baik supaya parti itu menjadi platform kepada perjuangan masa depan dan menjadi parti berguna kepada generasi akan datang.

"Oleh yang demikian, saya selaku presiden ingin menyeru, kembalikanlah semangat UMNO yang kian pudar, pulihkanlah jiwa UMNO yang sudah hampir malap, nyalakanlah semangat perjuangan asal serta roh UMNO yang sudah makin menghilang.

"Sematkanlah, rasa sayang dan kasih kepada parti, kerana di situlah kita akan bertemu jawapannya," katanya.

Najib turut menggariskan tiga formula yang perlu terus diamalkan UMNO dalam pembinaan negara bangsa termasuk konsep wasatiyyah, pendekatan berimbang dan mementingkan kecemerlangan.

"Orang-orang UMNO sewajibnya menjadi golongan yang terunggul atau memperoleh tahap tiada tolok banding. Tapi, janganlah pula jadi "Pak Maun" macam dalam cerita P Ramlee, Nasib Do Re Mi," katanya.

Beliau mengingatkan ahli UMNO agar tidak sekali-kali berasa berpuas hati tidak kira sebanyak mana kejayaan dan setinggi manapun pengiktirafan yang diterima.

"Ini kerana, musuh daripada dalaman mahupun luar, akan terus mengintai-intai, cuba menerobos apa jua celah dan ruang untuk menjatuh-jatuhkan perjuangan kita, bagi merapuh-rapuhkan semangat kita, seterusnya untuk mengapi-apikan persengketaan supaya kita retak dan berpecah-belah.

Sebelum mengakhiri ucapan selama sejam 10 minit itu, Najib sekali lagi mengingatkan anggota UMNO agar tidak berasa kecewa dan lesu apabila perjuangan mereka dikritik dan diragui bangsa sendiri.

"Sedarlah, insaflah, sesungguhnya kita tidak berhadapan dengan banyak pilihan, hanya satu sahaja. Seandainya parti ini rebah, sekiranya parti ini jatuh dan tumbang, keindukan Melayu Bumiputera akan turut tersungkur dan terkubur bersamanya. Nauzubillah.

"Oleh itu saudara seperjuanganku sekalian, marilah kita bangun, marilah kita berdiri. Tegakkan kepalamu, jangan mundur, pandang ke depan, sekali layar sudah dikembangkan, sekali sauh sudah dinaikkan, bahtera UMNO tidak boleh berpatah balik.

"Kita akan pastikan, panji-panji Sang Saka Bangsa akan terus berkibar megah di persada," katanya.
- BERNAMA

No comments:

Post a Comment