Pages

Sunday, 26 October 2014

HIDAYAH ITU MILIK ALLAH : KISAH ADAM, BAKAL PADERI YANG PELUK ISLAM


DAHULU lelaki ini bercita-cita ingin menjadi paderi lalu dia menjadi Altar Boy iaitu pembantu paderi semasa muda. Namun selepas didera dia membatalkan niat itu dan mula ‘menjualkan’ dirinya kepada dunia.

Namun, hidayah milik Allah.

Setelah melalui perjalanan yang beronak liku, Adam Warren Fernandez, 33, memeluk Islam pada 18 Julai lalu.
“Sejak kecil impian saya nak jadi paderi, lalu saya jadi altar boy (pembantu paderi) semasa muda. Akan tetapi impian musnah bila saya didera seorang lagi budak pembantu. Sejak itu saya tak kenal cinta dan keperikemanusiaan, saya jual jiwa pada syaitan.
“Akan tetapi Allah masih mencintai saya lalu menurunkan dua hidayah. Satu, semasa hampir menemui ajal dalam kemalangan di mana saya bertemu dengan lembaga tinggi berjubah putih dan satu lagi, semasa insiden puting beliung di Texas.
“Pertemuan dengan beberapa insan istimewa juga mengajar saya erti cinta dan merealisasikan impian untuk syahadah, satu acara anjuran Karangkraf Media,” katanya.
Memetik kisahnya di Harian Metro, bekas pengacara Selamat Pagi Malaysia (SPM) di RTM ini berkata cabaran utama selepas memeluk Islam bukanlah menyesuaikan diri dengan dunia saudara baru seperti berpuasa tetapi penerimaan keluarga dan pandangan rakan-rakan.
Akuinya, bukan mudah bagi keluarga untuk menerima berita penghijrahannya kerana mereka memang kuat berpegang pada agama Kristian, malah ada yang menjadi paderi.
Ibunya pula seolah-olah dalam dilema untuk merestui jalan dipilih Adam kerana mendengar kata-kata orang sekeliling.
warren & ustaz don
Namun, Adam sentiasa berdoa semoga dilembutkan hati ibunya, begitu juga ahli keluarga yang lain.

“Biar mereka membuang saya, tetapi hubungan kekeluargaan yang terjalin tetap dipertahankan supaya tidak putus. Berbeza kepercayaan bukan bermakna harus memutuskan hubungan kekeluargaan,” katanya.
Menurut Adam, ibunya yang menetap di Texas, Amerika Syarikat, berada di Kuala Lumpur ketika dia melafazkan syahadah kerana bercuti selama dua bulan.
“Ada yang menghubungi dan bertanya adakah saya benar-benar yakin dengan jalan dipilih. Mereka bimbang saya melakukannya kerana terpaksa atau didesak pihak tertentu malah mengajak saya kembali kepada agama asal,” katanya.
Menurut Adam, itu yang ditakutinya kerana sebelum ini ada dua ahli keluarganya memilih Islam tetapi tidak lama selepas itu kembali kepada agama asal.
Adam berharap keluarga dan rakan menghormati jalan dipilihnya dan tidak cuba memperlekehkan dirinya dengan memancingnya melakukan sesuatu yang melanggar agama.
Kini, dia bersyukur kerana penghijrahannya dipermudahkan Allah dan gembira melalui kehidupan baru. Dia mula menimba ilmu agama dengan menyertai kelas agama. Azamnya, setahun dari sekarang mahu menghafaz al-Quran.
Adam turut berminat menyertai Usrah Fitrah yang mengumpulkan ramai selebriti dan artis yang ingin menimba ilmu dan mendalami agama Islam.
Semoga Adam tabah melalui segala ujian dan cabaran dilaluinya. Jangan lupa menonton kisahnya, petang nanti. 

No comments:

Post a Comment