Pages

Wednesday, 18 June 2014

TERPAKSA IKAT ADIK GUNA RANTAI BESI !!!


RANTAU PANJANG – Sekali imbas, tindakan seorang kakak di Kampung Kuin Merah mengikat adik lelakinya dengan menggunakan rantai besi dilihat sebagai zalim.

Namun, Rohani Abdul Rahman, 30, berkata, sekiranya dilepaskan, adik bongsunya, Muhamad Saiful Ridwan, 19, akan berkeliaran lari dan mengganggu penduduk di sini.

Menurutnya, demam panas seterusnya sawan ketika berusia setahun menyebabkan perkembangan mentalnya terbantut.

“Saya bukanlah zalim, saya terpaksa ikat dia kerana mengenangkan keselamatannya, ramai penduduk di sini marah saya sebab tidak jaga adik dengan baik.

“Pernah sekali, dia lari ke arah jalan raya dan menahan lori yang sedang bergerak. Mujurlah pemandu lori sempat memberhentikan kenderaan,” katanya.

Bukan itu sahaja katanya, Muhamad Saiful memeluk lori berkenaan dan enggan melepaskannya kerana dia beranggapan ia adalah lori permainannya.

Hanya selepas dipujuk suami, Anuar Mohamad, 38, barulah dia melepaskan lori berkenaan.

Rohani berkata, setelah ibu, kakak dan abang sulung meninggal dunia, tanggungjawab memelihara Muhamad Saiful terletak di bahunya bersama adik perempuan yang lain.

“Saya tidak pernah melayan adik saya seolah-olah saya ini ibu tiri yang jahat, tetapi kasih sayang saya kepadanya umpama memelihara anak sendiri,” katanya.

Rohani yang juga suri rumah, terpaksa bergantung harap kepada gaji suami sebagai buruh malah masih menyara empat anak yang masih kecil.

Buat masa ini Rohani berkata, dia tidak mampu membawa Muhamad Saiful untuk menjalani pemeriksaan atau memohon bantuan kebajikan.

“Dia suka cakar anak-anak saya dan adik perempuan yang lain.  

“Nak mandikan dia jangan cakaplah, payah sangat. Inikan pula nak bawa dia ke hospital atau Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment