Gambar Hiasan |
PASIR MAS: “Baba jahat!...Baba jahat!” tangis seorang budak perempuan berusia 10 tahun kepada ibunya selepas dinikahkan secara paksa oleh bapa kandung dengan rakan jemaahnya berusia 30-an di sini.
Lebih memeranjatkan, upacara ‘nikah koboi’ itu diadakan dalam sebuah kereta dengan bapa kanak-kanak itu bertindak sebagaijurunikah dan wali sambil disaksikan seorang saksi tanpa kehadiran pengantin perempuan.
Pernikahan diragui itu diceritakan sendiri ibu kanak-kanak terbabit yang hanya ingin dikenali sebagai Na, 33, kepada Harian Metro selepas dimaklumkan anak perempuannya itu.
Katanya, dia terkejut kerana tidak menyangka suaminya tergamak menikahkan anak perempuan mereka yang masih budak dengan rakan jemaahnya tanpa memaklumkan kepada ahli keluarga pada 22 Februari lalu.
“Mulanya saya terkejut apabila anak perempuan pulang ke rumah pada pagi 23 Februari lalu dengan menangis teresak-esak sambil memarahi bapanya dengan perkataan ‘baba jahat!’.
“Dia mengulangi perkataan itu berulang kali sambil menambah ‘baba kahwinkan saya dengan kawannya’ menyebabkan saya tertanya-tanya maksud di sebalik ayat terbabit,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Beta, Pohon Buluh di sini, semalam.
Harian Metro difahamkan, proses pernikahan ringkas itu berlaku jam 5 petang apabila si bapa menikahkan sendiri anak perempuannya tanpa mengikut prosedur pernikahan biasa dan berlaku dalam suasana serba ringkas dalam kereta.
Bagaimanapun, ‘pengantin perempuan’ tidak hadir ketika upacara akad nikah itu berlangsung, sebaliknya dia hanya dibawa ke hotel selepas disahkan suami isteri.
Difahamkan, lelaki terbabit menikahkan anak perempuannya itu selepas dijanjikan ganjaran pahala oleh rakan jemaahnya selain ditaburkan janji manis kononnya ia mengikut sunnah Nabi dan pahalanya berlipat ganda.
Dia yang terpengaruh dengan ‘janji syurga’ kononnya mendapat ganjaran berlipat kali ganda kemudian bersetuju mewali dan menikahkan anaknya walaupun baru berusia 10 tahun.
Meskipun pernikahan terbabit mungkin sah mengikut syarak, namun tindakan menikahkan budak berusia 10 tahun menjadi kesalahan mengikut undang-undang syariah kerana masih di bawah umur.
Na berkata, dia segera mendapatkan penjelasan daripada anak perempuannya itu untuk mengetahui perkara sebenar, sebelum anak kedua daripada empat beradik itu menceritakan dia sudah dinikahkan.
“Tergamam saya ketika itu apabila dia beritahu dikahwinkan dengan rakan suami saya tanpa kerelaannya. Perasaan marah terhadap suami meluap-luap. Persoalannya mengapa dia sanggup mengahwinkan anak yang masih mentah.
“Ini menyebabkan saya segera bertemu rakan suami di sebuah masjid kira-kira 200 meter dari rumah untuk mendapatkan penjelasan mengenai pernikahan itu dan dia mengesahkannya,” katanya.
Katanya, berdasarkan pengetahuannya, proses pernikahan itu berlangsung di dalam sebuah kereta yang sedang bergerak dan suaminya mewalikan pasangan anaknya sambil memandu.
“Saya dapat tahu anak saya diperdaya suami kononnya mahu membawa dia membeli-belah di sebuah pasar raya di Kota Bharu bersama saya yang sedang menunggu di situ.
“Bagaimanapun, semua barang yang dibeli dibayar rakannya sebelum dia dibawa ke sebuah hotel dekat Kota Bharu. Mereka menyewa dua bilik hotel. Sebuah untuk anak dan ‘suaminya’, manakala sebuah lagi untuk suami,” katanya.
Na berkata, selepas mengetahui dia sudah dinikahkan, anaknya menggunakan helah untuk tidur dengan tukang sapu wanita hotel terbabit sebelum dibawa pulang keesokannya.
Berikutan itu, Na ke Balai Polis Pasir Mas pada 25 Februari lalu untuk melaporkan mengenai perkahwinan anaknya dengan lelaki terbabit.
Pada masa sama, ibu kanak-kanak terbabit turut membuat laporan di Jabatan Hal-Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) selepas mendapat nasihat daripada ahli keluarga.
Berikutan itu, katanya, anaknya dikenakan perintah mufarakah (dipisahkan) dengan lelaki yang mengahwininya oleh Mahkamah Rendah Syariah Kota Bharu, minggu lalu.
Difahamkan, kejadian itu berlaku sebelum akhbar mendedahkan mengenai seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun, namun lokasinya berbeza iaitu di sebuah madrasah berhampiran masjid besar di Machang.
Sumber : paapaada
No comments:
Post a Comment