Pages

Wednesday, 19 March 2014

KRONOLOGI KEHILANGAN PESAWAT MH370

KUALA LUMPUR: Pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 memasuki hari ke-11 sejak ia hilang secara misteri daripada radar pada 8 Mac.

Sejak beberapa hari lepas, pihak berkuasa Malaysia menyalurkan cebisan maklumat mengenai peristiwa yang membawa kepada kehilangan Boeing 777-200ER.
Maklumat itu diberikan Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS Ahmad Jauhari Yahya, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Azaharuddin Abdul Rahman. 
Mereka mendedahkan maklumat itu pada sidang akhbar harian mengenai perkembangan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat itu di Hotel Sama-Sama di Sepang.
Juruterbang, Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53; dan pembantu juruterbang, Fariq Abdul Hamid, 27; mengemudi pesawat itu yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal.
Daripada 227 penumpang dua merupakan warga Iran yang menggunakan pasport curi milik seorang rakyat Austria dan Itali.
Pihak polis dan Interpol mengenal pasti rakyat Iran itu sebagai Pouria Nour Mohammad Mehrdad, 19; dan Delavar Syed Mohammad Reza, 29; masing-masing menggunakan pasport warga Austria dan Itali, yang dilaporkan hilang di Thailand, beberapa tahun lepas.  
Khalid berkata, Pouria Nour dan Delavar Syed dipercayai dalam perjalanan ke Jerman untuk mendapatkan perlindungan dan tidak ada kaitan dengan mana-mana kumpulan pengganas. 
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, siasatan mendapati dua pasport yang dimiliki warga Iran itu yang menaiki pesawat Qatar Airways dari Phuket ke Kuala Lumpur pada 28 Feb adalah tulen. 
"Kami percaya mereka membeli atau memperoleh pasport itu di Phuket, Thailand," katanya pada persidangan Dewan Rakyat pada Isnin.
Menurut Ahmad Jauhari, sebahagian besar muatan kargo penerbangan MH370 ke Beijing itu adalah buah manggis. 
Senarai penumpang MAS adalah seperti berikut: 38 rakyat Malaysia, China (152), Indonesia (12), Australia (tujuh), Perancis (empat), Amerika Syarikat (tiga), New Zealand (dua), Ukraine (dua), Kanada (dua), Rusia, Itali, Taiwan, Belanda dan Austria masing-masing seorang. 
MH370 berlepas pada 12.41 pagi dan dijadual tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.
Pada 1.07 pagi - menurut Ahmad Jauhari, Sistem Komunikasi dan Laporan Pesawat (ACARS) MH370 telah menghantar transmisi terakhir.
Pada 1.19 pagi, beliau berkata pembantu juruterbang menghantar mesej radio terakhir berbunyi 'all right, good night' (baik, selamat malam).
Dua minit kemudian, pada 1.21 pagi, transponder, alat yang membolehkan pengawal trafik udara mengenal pasti kelajuan dan hala tuju pesawat, dipadamkan. 
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ACARS dipadamkan sebelum pesawat MH370 tiba di pantai timur Semenanjung Malaysia manakala transponder pula dipadamkan tidak lama kemudian iaitu berhampiran kawasan sempadan kawalan udara antara Malaysia dan Vietnam.
Pesawat itu dilaporkan hilang daripada radar pada 1.30 pagi. Najib berkata mulai saat itu, radar utama Tentera Udara Diraja Malaysia menunjukkan sebuah pesawat, yang dipercayai - tetapi tidak disahkan - MH370 memang berpatah balik.
Ia kemudian terbang semula ke arah barat melalui Semenanjung Malaysia sebelum membelok ke arah barat laut.
"Sehingga ia hilang daripada liputan radar utama, pergerakan yang berlaku menunjukkan ia adalah hasil tindakan secara sengaja oleh seseorang yang berada dalam pesawat itu," kata perdana menteri.
Najib juga mendedahkan menurut data baharu itu, kali terakhir pesawat dan satelit berkomunikasi ialah pada 8:11 pagi waktu Malaysia, Sabtu, 8 Mac.
Pasukan penyiasat mengesan enam 'ping', istilah yang digunakan untuk menjelaskan penghantaran data dalam bentuk isyarat pendek kepada satelit, sejurus selepas transponder MH370 dipadamkan, apabila pesawat memasuki perairan Laut China Selatan.
Mstar

No comments:

Post a Comment