ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH

Tuesday, 16 June 2015

DEWAN RAKYAT LULUS RMK11 TANPA BAHAS

RMK11

KUALA LUMPUR - Persidangan Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) tanpa sebarang pindaan pada 12.54 pagi Selasa. 
   
Usul RMK11, yang memperuntukkan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM260 bilion, merupakan langkah transformasi terakhir dalam menjadikan Malaysia negara maju menjelang 2020, dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 21 Mei lepas. 
   
Fokus rancangan pembangunan lima tahun negara itu telah dibahaskan selama lima hari bermula 25 Mei lepas sebelum sesi penggulungan oleh kementerian berlangsung selama tiga hari bermula 10 Jun. 
   
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri, ketika mengggulung perbahasan usul itu, berkata Jabatan Peguam Negara sedang mengkaji  penambahbaikan Seksyen 375 Kanun Keseksaan bagi memperluaskan definisi rogol  dengan mengambil kira perbuatan memasukkan objek atau organ-organ lain selain kemaluan.
   
Merujuk kes yang diputuskan mahkamah di Sibu, Sarawak, baru-baru ini, Nancy berkata, pada masa sama, rundingan sedang dijalankan dengan pihak berkepentingan seperti pengamal perubatan dan kementerian berkaitan.

"(Pada ketika ini), skop Seksyen 375 Kanun Keseksaan tidak merangkumi tindakan kemasukan selain daripada organ kemaluan seperti jari," katanya. 
   
Mahkamah Rayuan di Sibu baru-baru ini membebaskan Bunya Jalong, 60, daripada dakwaan rogol anaknya berusia 14 tahun pada 2011 dengan alasan tiada penetrasi zakar berlaku, dan penetrasi jari dan benda asing tidak dianggap rogol.
   
Keputusan itu dibuat walaupun ujian DNA terhadap anak yang dilahirkan mangsa selepas kejadian itu sepadan dengan tertuduh. 
   
Nancy berkata, secara amnya kesalahan jenayah rogol di bawah Seksyen 375 Kanun Keseksaan ditakrifkan sebagai persetubuhan atau 'sexual intercourse' secara paksaan atau tanpa persetujuan ke atas seorang wanita.
   
"Ini termasuk persetubuhan dengan wanita di mana persetujuan wanita tersebut untuk melakukan persetubuhan telah diberikan atas sebab ketakutan, penipuan, tanggapan salah atau tidak faham kesan persetujuan yang diberikan," katanya.
   
Beliau menjawab pertanyaan beberapa anggota Parlimen yang meminta pindaan sewajarnya terhadap undang-undang seperti Seksyen 375 agar kes seumpama itu tidak berulang dan tidak terlepas.
   
Persidangan dewan bersambung esok. - Bernama

MAT SABU, MAHFUZ DIGUGUR DARI JAWATAN PESURUHJAYA NEGERI


mat sabu ceramah


KUALA LUMPUR – sebanyak enam pertukaran berlaku dalam senarai Pesuruhjaya Pas negeri-negeri yang baharu termasuk bekas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu digugurkan daripada menjadi Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang.

Turut digugurkan ada­lah Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang sebelum ini merupakan Pesuruhjaya Pas Kedah, Mohamad Taufek Abd. Ghani (Ne­geri Sembilan), Adly Zahari (Melaka) dan Aminolhuda Hassan (Johor).

Kedudukan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Pesuruhjaya Pas Pahang digantikan oleh Rosli Jabar, manakala Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr. Mahfodz Mohamad dilantik untuk kembali menjadi Pesuruhjaya Pas Johor.

Muka-muka baharu lain yang dilantik adalah Pesuruhjaya negeri Pulau Pinang, Mohd. Fauzi Yusof, Datuk Ir. Amirudin Hamzah (Kedah), Mustafa Daharun (Negeri Sembilan) dan Kamarudin Sidek (Melaka).

Senarai baharu Pesuruhjaya Ne­geri-negeri sesi 2015-2017 itu telah dimuat naik dalam satu kenyataan dalam laman Facebook milik Presi­den Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Pas telah selesai melantik Pesuruhjaya Negeri-negeri sesi 2015-2017 dalam mesyuarat pertama parti itu baru-baru ini.

“Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Presiden Pas melalui Setiausaha Politiknya, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, pelantikan itu membabitkan kesemua negeri,” katanya kenyataan ber­kenaan.

Bagi jawatan Pesuruhjaya negeri lain-lain, kedudukan penyandang adalah kekal termasuk Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad.

Muktamar Tahunan Pas Ke-61 di Kuala Selangor baru-baru ini disifatkan sebagai pertembungan golongan proulama dengan golongan profesional yang mana akhir­nya menyaksikan go­lo­ngan proulama berjaya menguasai jawatan pen­ting dalam parti itu.

Antara yang tewas dalam pemilihan parti Pas adalah Mohamad atau Mat Sabu yang gagal mempertahankan jawatannya sebagai Timbalan Presiden dan Mahfuz yang gagal dalam percubaannya untuk menjadi Naib Pre­siden.
UTUSAN

Monday, 15 June 2015

PASMA JADI PARTI UNTUK ORANG KECEWA

PasMa Anai-Anai

SHAH ALAM – Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) akan jadi parti untuk orang kecewa sahaja jika tidak mempunyai matlamat jelas serta pemimpin yang disenangi rakyat.

Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohd Fuad Mat Jali berkata, Pasma tidak mampu menyaingi Pas walaupun ahlinya serpihan Pas.

“Memang nampak Pasma begitu bersemangat wujudkan parti baharu kerana perasaan kecewa dengan kepimpinan parti sedia ada. Mereka rasakan melalui parti baharu itu sahaja hasrat mereka tercapai.

“Mereka berani bertindak demikian kerana beranggapan yang mereka ada sokongan dan pengikut sebab itu sanggup keluar daripada Pas. Jadi mereka yang kecewa dengan Pas bersama Pasma,” katanya.

Menurutnya, jika dilihat dari sudut itu, Pas tidak akan tergugat dengan kewujudan parti baharu itu nanti.

Bagaimanapun, Pasma hanya akan menjadi pilihan pengikut Pas jika ada hala tuju jelas memperjuangkan Islam.

“Mungkin cara mereka lebih liberal atau moden, tetapi pendirian itu perlu jelas. Perlu dilihat siapa prospek Pasma, jika mereka kata mahu bergabung dengan NGO, siapa NGO di belakang mereka, adakah yang berfikiran liberal atau tegar perjuangan Islam?

“Penyokong akan analisis perkara itu melalui matlamat parti atas dasar apa ditubuhkan dan siapa pemimpin parti itu,” katanya.

Mohd Fuad berkata, untuk menubuhkan sesebuah parti mungkin mudah, namun relevan Pasma sukar diramal.

Ditanya adakah Pasma akan menjadi pengganti Pas dalam PR, beliau tidak menafikan perkara itu kerana melihat kecenderungan pemimpin Pasma terhadap DAP.

“Kewujudan Pasma ini dilihat alternatif PR terus hidup s kerana jelas dilihat kepimpinan Pasma ini pro DAP.

“Namun mereka perlu ingat sokongan bukan di kalangan ahli sahaja tetapi rakyat keseluruhannya, jadi bolehkah Pasma gugat populariti Pas atau Pasma hanya jadi parti desperado,” katanya.

Dalam isu kerjasama, katanya DAP mungkin akan berhati-hati dengan siapa untuk bergabung bagi memastikan agenda ke Putrajaya tercapai.

“Mereka akan lihat mampukah Pasma diberi kerusi dan memenangi kerusi itu jika tidak mereka akan sia-siakan peluang untuk melangkah ke Putrajaya,” katanya.

Kelmarin Presiden Pasma, Datuk Phahrolrazi Zawawi berkata, pihaknya merancang menubuhkan satu parti baharu selepas Aidilfitri ini bagi menghidupkan semula PR.

Penganalisis politik, Prof Madya Datuk Dr Shamsul Adabi Mamat berkata, dalam tempoh satu atau dua tahun ini, Pasma mungkin bukan cabaran besar pada mana-mana parti termasuk Pas.

“Nak tarik keyakinan rakyat tidak mudah, perlu ada asas kukuh dan identiti kepimpinan yang kuat,” katanya.

Beliau tidak menolak Pasma akan menjadi parti alternatif pengundi atas pagar yang tidak yakin dengan kepimpinan BN dan Pas.
SH

CADANGAN DAP BINA MASJID SATU PENGHINAAN

Cadangan DAP bina masjid satu penghinaan - Mustapa

Hasrat DAP untuk membina sebuah masjid di Pasir Tumboh, Gua Musang dianggap satu penghinaan kepada umat Islam negara ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, cadangan DAP itu seolah-olah menafikan pembinaan lebih 24,000 masjid dan surau oleh Kerajaan Persekutuan di seluruh negara sebelum ini.

"Takkan cadangan pembinaan hanya sebuah masjid itu hendak dihebohkan, hendak dimasyhurkan ke seluruh dunia," katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Kolokium Pembangunan Islam di Malaysia di sebuah hotel di Kota Bharu semalam.

Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke Siew Fook dilaporkan berkata cadangan pembinaan masjid itu dipersetujui selepas mereka mendengar permohonan daripada imam serta penduduk di kawasan berkenaan.

Mustapa berkata, siasatan teliti perlu dilakukan sebelum pembinaan masjid itu bagi memastikan kesahihan sumber yang digunakan.

"Perkara ini perlu disiasat kerana masjid adalah tempat suci bagi umat Islam, kena yakin sumber pembinaannya adalah halal," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Biro Agama Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, walaupun sumber pembinaan masjid itu halal ia tetap satu penghinaan kepada umat Islam.

"Tindakan itu seperti menidakkan kemampuan kita (umat Islam) untuk membina tempat ibadat (masjid), ia satu penghinaan," katanya.

Katanya, Kerajaan Persekutuan sentiasa memberi keutamaan kepada aspek pembinaan dan baik pulih masjid di seluruh negara terutama selepas bencana banjir akhir tahun lepas.

"Sehingga awal Jun ini sejumlah 98 buah masjid dan 170 madrasah telah dibaikpulih dengan peruntukan sebanyak RM4.3 juta," katanya. - MalaysiaGazette

LELAKI HILANG DITEMUI MATI


Sik: Seorang lelaki berusia 21 tahun yang hilang ketika keluar menjerat burung ditemui mati dalam hutan berhampiran kuari batu Kampung Sungai Semiar, di sini, pagi semalam.

Mayat mangsa ditemui dalam keadaan tergantung dengan tali menjerut pada leher oleh pasukan penyelamat yang melakukan operasi mencari dan menyelamat kira-kira jam 9.45 pagi.

Pengawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Nor Hafizah Muhammad Lukman berkata, pihaknya menerima panggilan pada 8.27 pagi dan sebuah jentera bersama lapan anggota dihantar ke lokasi untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, pihak bomba dimaklumkan bahawa terdapat seorang lelaki dipercayai hilang ketika keluar menjerat burung.

"Pasukan bomba yang melakukan gerakan mencari akhirnya menemui mangsa dalam keadaan tergantung dengan tali menjerut lehernya di dalam hutan berhampiran kawasan kuari batu.

"Kawasan berkenaan juga tiada liputan telekomunikasi dan mayat kemudian dibawa keluar sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.
hmetro

Sunday, 14 June 2015

PAKATAN ALU-ALUKAN PASMA TUBUH PARTI BAHARU - AZMIN



SHAH ALAM: Pakatan Rakyat terbuka dan mengalu-alukan penyertaan sebuah parti baharu yang dicadangkan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa), kata Mohamed Azmin Ali.

"Mana-mana pihak yang berpegang kepada dasar dan polisi Pakatan...kami alu-alukan," kata Timbalan Presiden PKR itu pada Sabtu.

Beliau berkata demikan kepada wartawan selepas menghadiri Program Semarak Ramadhan Peringkat Negeri Selangor di sini.

Azmin yang juga Menteri Besar Selangor mengulas mengenai pengumuman yang dibuat Presiden PasMa, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi berhubung rancangan penubuhan parti baharu mesra pakatan pembangkang.

DUA LAGI TERBUNUH DI "SELEKOH MAUT"



CYBERJAYA: Ia merupakan satu kes ngeri yang 'deja vu'.

Bulan lepas seorang pegawai polis terbunuh selepas kereta yang dipandunya terjun ke dalam lombong di belakang selekoh tajam di jalan gelap di Puchong Permai dan pada Sabtu, dua lagi lelaki lain maut dengan cara dan di tempat yang sama.

Menurut Majlis Perbandaran Sepang, kerja-kerja pemasangan lampu, pagar dan tanda amaran di Jalan Meranti Permai bagi mengelakkan kemalangan pada masa akan datang dijangka bermula minggu depan.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata pemandu, seorang warga Nigeria yang belum dikenal pasti identitinya sedang memandu di jalan itu kira-kira pukul 9.40 pagi Sabtu apabila saksi melihat nahas yang melibatkan kereta jenis Proton Persona itu.

Kereta tersebut dilihat melambung kira-kira 10 meter di atas kolam sebelum terhempas ke dalam air.

Pasukan Bomba dan Penyelamat mendapati kereta tersebut tenggelam pada kedalaman kira-kira 15 meter di dalam kolam dan berjaya menarik pemandu keluar kira-kira pukul 1 tengahari.

"Kami kemudian menarik kereta dari kolam dan mendapati terdapat satu lagi mayat di dalamnya. Ia adalah warga Afrika tetapi belum dikenal pasti."

Beliau berkata kemalangan itu menimbulkan kebimbangan kerana jalan raya itu 'jelas bahaya'.

"Bulan lepas, seorang pegawai polis sedang memandu dan terhumban ke dalam kolam kerana selekohnya yang tajam dan jalan yang gelap pada waktu malam," katanya.

Abdul Aziz juga berkata polis akan membuat ujian dadah dan alkohol terhadap pemandu khususnya yang memandu di kawasan itu.

Pegawai Daerah Sepang Roslina Md Jani berkata Majlis Perbandaran Sepang akan mengupah kontraktor untuk melakukan kerja-kerja keselamatan di sepanjang jalan itu minggu depan.
mStar

KENAIKAN TOL BELUM MUKTAMAD - PM @NajibRazak



Najib Tol


Kenaikan kadar tol di 16 lebuh raya yang dilaporkan akan berlaku pada Ogos ini belum muktamad, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, Kabinet masih membincangkan kenaikan itu dan keputusan hanya akan diketahui dalam beberapa minggu lagi.

“Kita akan bincangkan dahulu,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) pada Jumaat.

Beliau mengulas laporan akhbar Berita Harian bahawa kadar tol bagi 16 lebuh raya akan dinaikkan pada Ogos ini.

Kenaikan itu sebanyak 20 sen dan ada lebuh raya menyaksikan kenaikan sehingga RM1.

Mengikut rekod, Perjanjian Konsesi Lebuhraya akan tamat tahun ini dan pemegang konsesi berhak menaikkan kadar tol.

Namun, jumlah kenaikan itu bergantung kepada kemampuan kerajaan membayar pampasan atau subsidi kepada syarikat konsesi sebagai balasan untuk tidak menaikan kadar tol atau hanya kenaikan minima.

Dalam perkembangan sama, Najib melahirkan rasa kecewa apabila ada anggota kerajaan yang membocorkan maklumat kenaikan kadar tol itu.

Katanya, tindakan membocorkan maklumat itu telah mengkhianati kepercayaan sebagai anggota kerajaan.

“Malangnya berlaku kebocoran di media sosial, ia sangat-sangat malang kerana ada pihak yang tidak beretika dan mereka telah mengkhianati kepercayaan sebagai anggota kerajaan,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, maklumat yang dibocorkan itu merupakan keputusan belum muktamad.

Saturday, 13 June 2015

PEMAIN T-TEAM MENINGGAL DUNIA KETIKA PERLAWANAN PERSAHABATAN DENGAN KELANTAN


PEMAIN import T-Team, Faramola David Aniya meninggal dunia ketika beraksi pada perlawanan persahabatan menentang Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.

Aniya tiba-tiba rebah di atas padang ketika permainan baharu memasuki minit ketiga dan dihantar serta-merta oleh pasukan paramedik ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Ketua Pegawai Operasi T-Team, Mohd Syahrizan Mohd Zain berkata, pemain import Nigeria disahkan meninggal setelah mendapat rawatan kecemasan di hospital berkenaan.

Menurutnya, pihak pengurusan T-Team terkejut dengan kematian David Aniya memandangkan pemain berada dalam keadaan sihat meskipun memakai topeng pada perlawanan itu.

"Kami menerima berita kematiannya pada jam 10.05 malam daripada penolong jurulatih, Azhari Salim yang mengiringi pemain berkenaan ke hospital.

"Ini merupakan perlawanan persahabatan pertama untuk pasukan T-Team dan doktor juga memberi kebenaran kepada Aniya bermain walaupun dia sudah menjalani pembedahan pipi dua kali sebelum ini," katanya kepada pemberita di Kota Bharu.

Tambahnya, David Aniya merupakan seorang pemain yang bagus dan mempunyai karakter sebagai pembimbing kepada rakan-rakan sepasukannya.

"Dia dikatakan mempunyai masalah komplikasi jantung namun kita tak boleh sahkan lagi sehingga bedah siasat dilakukan," katanya.

Pengadil perlawanan, Ku Alauddin Ku Mohamad menghentikan permainan pada minit ke-60 selepas mendapat berita kematian pemain tersebut.

Sementara itu, Timbalan Ketua polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Setapa Yusoff mengesahkan menerima laporan kejadian.
SH

SAJAK UNTUK A SAMAD SAID SEMPENA PENGUMUMAN BELIAU SERTAI DAP

Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said mengumumkan menyertai DAP selepas mengambil kira perkembangan semasa yang berlaku dalam negara sejak kebelakangan ini.

Beliau yang lebih dikenali `Pak Samad' mendakwa DAP adalah satu-satunya parti yang berada di landasan betul.

"Saya memikirkan perkara ini sejak beberapa tahun lalu dan kini sudah sampai masanya untuk saya buat keputusan menyertai DAP," katanya selepas Majlis Penyerahan Rumah Mangsa Banjir, di Kampung Pasir Tumbuh, Gua Musang, hari ini. 

Yang turut hadir pada majlis itu, Yang Dipertua PAS Kawasan Kota Bharu, Datuk Wan Abd Rahim Wan Abdullah; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Pada majlis itu Pak Samad menerima kad keahlian DAP yang disampaikan Kit Siang.

TAJUK SAJAK : HAI MELAYU..
(Pengarang : A Samad Said)

Hai Melayu!
rumahmu semua dibina indonesia,
ekonomi pula dikuasai cina,
golongan profesional semuanya india,
warung makan pun, mamak dan siam yang berkuasa,
warga bangla pula menjadi Jaga,
orang Nepal yang menabur baja,
orang pakistan usung karpet jaja merata,
lalu melayu ada apa?
harapkan ustaz, saling menyesat,
harapkan hiburan, lagi best filem barat,
harapkan bahasa, banyak telah bertukar kesat
harapkan tulisan, jawi pun mereka hambat,
harapkan tanah, banyak digadai kepada korporat!
Hai melayu!
masih mendabik menjadi tuan?
sibuk mahu menjadi tuan,
rupanya kerja kelas bawahan,
ditipu mentah orang atasan,
konon perjuangan ini untuk kalian!
kerja sikit, sembang kencang,
banyak rungut, sikit rancang,
siapa tegur, dituduh lancang
duduk warung, gigit kacang!
Hai melayu!
konon kau pantang dicabar,
konon kau tangkas menyambar,
tapi cuma indah khabar,
rentakmu makin lama makin hambar
kau melayu aku pun melayu,
aku menulis bukan cemburu,
aku mahu engkau tahu,
kenapa melayu tak macam dulu.....
Hai melayu!
jari mu hebat bertutur di facebook alam maya,
bila berdepan ekonomi semasa kau tidak berdaya,
kau cuma tahu bergaya,
Hai melayu!
kau melaung-laung di jalan raya,
bagi tahu kepada dunia ini bumi aku yang punya,
pada hakikat ia digadai kepada sepet yang kaya!
Hai melayu!
kerana hendak bergaya kau gadai pusaka,
bila dah kaya kau jadi puaka,
ini tandanya kau sudah derhaka!
Hai melayu!
sedarlah bangsa ku,
buka lah minda mu,
bersatulah bangsa ku,
kerana malaya bukan lagi milik mu !
aku pun melayu,
engkau pun melayu,
bodoh sombong harus di tepis,
riak,bongkak dan hasad dengki sesama bangsa harus guris,
bersatulah melayu kerana agama, bangsa, moyang-moyang yang telah berjasa,
kerana ini mungkin peluang akhir bangsaku untuk negara, berjasa dan berkuasa.....

Katanya sajak ni sempena hari kemerdekaan dan secara puitisnya ia mengajak orang-orang Melayu supaya kembali sedar tentang betapa pentingnya kesatuan Melayu itu diperkasa serta dipertahankan.
TAHNIAH Pak Samad sekurang-kurangnya kami yang muda ni dapat lah kenal siapa pengarang sajak tu !!!