ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH

Wednesday, 3 June 2015

'CAI' DEWAN ULAMA TOLAK AHMAD AWANG, MAT SABU


GOMBAK: Dewan Ulama PAS mengakui mengeluarkan senarai pilihan atau 'Cai' bagi jawatankuasa tertinggi di peringkat Pusat yang menyaksikan sayap kanan parti itu menolak Ahmad Awang sebagai calon Presiden.

Menerusi senarai itu, dewan berkenaan juga secara terbuka mahu Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menggantikan kedudukan Mohamad Sabu bagi jawatan Timbalan Presiden PAS.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali bagaimanapun menafikan senarai berkenaan sebagai cubaan Dewan itu untuk mempengaruhi perwakilan PAS.

“Bagi kita, mereka boleh meneruskan perjuangan PAS, mereka memang sesuai untuk dibawa ke depan menjadi pemimpin parti.

“Maka itu adalah sebahagian penjelasan kita kepada ahli. Tak timbul isu mempengaruhi tapi itu cara kita kemukakan mereka yang dirasakan mampu untuk ikut dasar parti.

“Kita tak nafikan orang lain juga berkemampuan, tapi kita ketengahkan yang mampu bawa aspirasi Islam,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS Pusat ke-54 di Dewan Datuk Fadzil Mohd Noor, Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) di sini, Rabu.

Sejak awal hari ini, Dewan Ulama PAS Pusat menerusi akaun rasmi Facebook mereka memuat naik senarai cadangan calon pilihan bagi semua jawatan yang dipertandingkan dalam pemilihan kepimpinan baharu PAS yang akan berlangsung esok di Kuala Selangor.

Turut disebarkan di media sosial ialah info grafik senarai pilihan bagi dua kumpulan yang diketuai Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan pencabarnya, Ahmad.

Selain itu, kepimpinan Ulama turut mencadangkan supaya perwakilan memilih Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, Datuk Iskandar Samad dan Idris Ahmad bagi jawatan Naib Presiden PAS.

Antara pemimpin yang sering dikaitkan dengan kumpulan pro Pakatan Rakyat disenaraikan dalam kumpulan Ahmad ialah, Datuk Dr Mujahid Yusoff Rawa, Dr Dzulkefly Ahmad, Dr Mohd Hatta Ramli, Mohamed Hanipa Maidin, Khalid Samad dan Dr Siti Mariah Mahmud.
mStar

PILIH PEMIMPIN SELARI DENGAN HADI - DEWAN ULAMA PAS

GOMBAK: Perwakilan PAS digesa memilih barisan kepimpinan baharu yang selari dengan kepimpinan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi menegakkan perjuangan Islam.
Seruan terbuka itu dibuat berikutan tindakan segelintir pimpinan tertentu parti Islam berkenaan yang sanggup bersekongkol dengan DAP dan PKR dalam pelbagai isu yang timbul dalam pakatan pembangkang.
Pemangku Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamad berkata, sikap pemimpin berkenaan yang sanggup mengabaikan dan mempertikaikan arahan pemimpin tertinggi telah melemahkan PAS.
"Di saat hilangnya ketaatan lalu nakhoda (Hadi) sendiri dikecam dan dipertikaikan, dibiarkan untuk dicemuh oleh musuh dan rakan kerjasama politik...maka organisasi menjadi lemah, kejayaan menjadi kabur.
"Untuk itu, pembaharuan kepimpinan perlu dilakukan. Muktamar PAS kali ini memberi ruang untuk memperbaharui mandat kepimpinan menerusi proses pemilihan baharu.
"Perbaharuilah mandat kepimpinan yang boleh bergerak bersama nakhoda bahtera ke arah memacu kejayaan yang sebenar dalam perjuangan," katanya pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Ketua Dewan Ulama pada Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS Pusat ke-54 di Dewan Datuk Fadzil Mohd Noor, Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) di sini.
Muktamar PAS Pusat ke-61 yang akan berlangsung di Kuala Selangor bermula Khamis menyaksikan pemilihan kepimpinan baharu parti itu termasuk pertandingan bagi jawatan presiden PAS.
Pada pemilihan kali ini, Hadi dicabar bekas Naib Presiden PAS, Ahmad Awang.
Mengulas lanjut Mahfodz berkata, berhubung isu pelaksaan hudud, PAS bukan sahaja berhadapan tentangan daripada musuh dan rakan kerjasama politik, malah turut menerima bantahan daripada pimpinan dalaman parti itu sendiri.
Lebih malang katanya, pemimpin dan ahli PAS sendiri membuat pelbagai tuduhan terhadap presiden PAS yang enggan tunduk kepada kehendak DAP dan PKR.
"Akhirnya kita melihat presiden PAS selaku nakhoda bahtera parti Islam (PAS) dicemuh oleh rakan kerjasama politik. Puncanya kerana mereka gagal untuk memastikan kepimpinan tertinggi parti tunduk terhadap kemahuan dan kehendak mereka.
"Sangat malang apabila ada kalangan ahli dan pimpinan yang bersekongkol mengiyakan tohmahan rakan kerjasama politik lalu menjadi duri dalam daging melemahkan bahtera yang sedang belayar," katanya.


DEWAN PEMUDA PAS SAMBUNG SESI MUKTAMAR, DEWAN MUSLIMAT PAS & DEWAN ULAMAK PAS MULA MUKTAMAR

Dewan Pemuda PAS menyambung sesi muktamarnya manakala Dewan Muslimat dan Dewan Ulamak parti itu memulakan muktamar masing-masing pada Rabu sempena Muktamar Tahunan PAS kali ke-61.
Muktamar Dewan Pemuda yang telah bermula semalam, bersambung hari ini di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam dengan beberapa agenda, termasuk sesi pemilihan kepimpinan bagi tempoh 2015-2017.
Pemilihan yang dijadualkan berlangsung pada tengahari ini menyaksikan penyandang jawatan Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat dicabar Anggota Parlimen Pasir Mas Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.
Sementara penyandang Timbalan Ketua Pemuda Muhammad Khalil Abdul Hadi dicabar Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob, yang mana 736 perwakilan dewan itu dijangka akan mengundi calon pilihan masing-masing termasuk beberapa lagi jawatan dalam dewan berkenaan.
Tidak jauh dari Dewan Jubli Perak, Dewan Muslihat PAS pula memulakan muktamarnya di Pusat Konvensyen Shah Alam, Shah Alam yang dirasmikan oleh Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.
Dewan Muslimat parti itu turut mengadakan pemilihan tengahari ini yang menyaksikan jawatan Ketua Muslimat PAS Pusat Siti Zailah Mohd Yusoff akan dicabar Nuridah Salleh.
Sementara itu, Dewan Ulamak PAS memulakan muktamarnya di Dewan Dato' Haji Fadzil Mohd Noor, Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Taman Melewar, Gombak yang dirasmikan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din.
Dewan Ulamak juga mengadakan pemilihan bagi jawatankuasa dewan itu tengah hari.
Semua keputusan pemilihan membabitkan ketiga-tiga cabang PAS itu dijangka akan diumumkan petang ini.
Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke-61 pula akan berlangsung esok sehingga Sabtu ini di Stadium Tertutup Kuala Selangor, Kuala Selangor.

PEMILIHAN PEMUDA PAS : SUHAIZAN ATAU NIK ABDUH, PRO DAP ATAU PAS SEJATI ???


736 PERWAKILAN PEMUDA BUANG UNDI
Pemuda PAS akan memilih ketua mereka dalam pertandingan satu lawan satu antara penyandang Suhaizan Kaiat dan Ahli Parlimen Pasir Mas Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz pagi Selasa.

Pertembungan mereka berdua menarik perhatian pemerhati politik bagi mencongak 'bayangan pemilihan jawatan utama PAS' Khamis ini.

Nik Abduh merupakan calon proksi ulama dalam PAS dan dilihat tegas memperjuangankan agenda Islam parti itu walaupun tidak disenangi sekutu mereka dalam Pakatan.

Manakala Suhaizan lebih mengutamakan 'politik budiman' dan dilihat tidak agresif dalam membawa agenda dan mesej Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau sering dikatkan dengan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim (Anwarinas) dalam PAS.

Suhaizan dipercayai berdepan laluan getir mempertahankan jawatannya selepas rata-rata ustaz muda dalam PAS inginkan perubahan kepimpinan dalam sayap tersebut.

Untuk rekod, Nik Abduh mula dicalonkan untuk jawatan utama sayap itu oleh Pemuda PAS Marang kawasan yang dikuasai oleh timbalan Suhaizan, Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Sementara Muhammad Khalil dicabar Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob, yang mana 736 perwakilan dewan itu dijangka akan mengundi calon pilihan masing-masing termasuk beberapa lagi jawatan dalam dewan berkenaan.

Malam Selasa, kurang 12 jam sebelum berlangsungnya proses pemilihan parti Suhaizan Kaiat  di’boo’ sekumpulan lelaki, dipercayai pemerhati muktamar sayap parti itu.

Respons tersebut diterima ketika beliau berada di pentas bagi memberi penjelasan berhubung isu dan perkara yang dibangkitkan perwakilan melalui perbahasan di Muktamar Pemuda PAS ke-56, malam Selasa.

Suhaizan tampil selepas dijemput oleh Pengerusi Tetap, Kamal Ashaari untuk menjawab pertanyaan yang dibangkitkan beberapa perwakilan berkaitan dirinya dan isu kepartian.

Antara yang dipersoalkan adalah sejauh mana Suhaizan, atas kapasitinya sebagai ketua sayap parti itu mengadakan perbincangan dengan DAP yang dilihat semakin lantang menentang hudud dan menyerang kepimpinan Presiden PAS.

Perasaan ‘kurang senang’ dengan Suhaizan dapat dilihat sebaik sahaja beliau naik ke pentas apabila kedengaran suara-suara, dipercayai pemerhati yang ditempatkan di dewan berasingan.

Keadaan masih tenang apabila Suhaizan menjawab satu demi satu persoalan, termasuk mengenai pendirian konsisten DAP berkaitan hudud.

Kemuncak ketidakpuasan hati itu ditunjukkan kumpulan tersebut apabila kedengaran dengan jelas - "boo" ketika  beliau menyatakan pendirian bahawa Pemuda PAS mengangkat idea dan kepimpinan Hadi.

Tidak cukup dengan "boo", ada juga terselit suara yang melaungkan perkataan ‘penipu’, ketika beliau memberi penjelasan.

Sementara itu, tidak jauh dari Dewan Jubli Perak, Dewan Muslihat PAS pula memulakan muktamarnya di Pusat Konvensyen Shah Alam, Shah Alam yang dirasmikan oleh Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

Dewan Muslimat parti itu turut mengadakan pemilihan tengahari ini yang menyaksikan jawatan Ketua Muslimat PAS Pusat Siti Zailah Mohd Yusoff akan dicabar Nuridah Salleh.

Sementara itu, Dewan Ulamak PAS memulakan muktamarnya di Dewan Dato' Haji Fadzil Mohd Noor, Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Taman Melewar, Gombak yang dirasmikan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din.

Dewan Ulamak juga mengadakan pemilihan bagi jawatankuasa dewan itu tengah hari ini.

Semua keputusan pemilihan membabitkan ketiga-tiga cabang PAS itu dijangka akan diumumkan petang ini.

Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke-61 pula akan berlangsung Khamis sehingga Sabtu ini di Stadium Tertutup Kuala Selangor, Kuala Selangor.
AgendaDaily

ANWAR STABIL, KELUAR WAD JUMAAT INI - WAN AZIZAH

Dr Wan Azizah, Nurul Izzah dan ahli keluarga lain menunggu di HKL untuk mengetahui perkembangan terkini kesihatan Anwar.
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berada dalam keadaan stabil dan akan menjalani beberapa ujian kesihatan sepanjang tempoh berada di wad Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Wad 28 hospital berkenaan yang menempatkan bekas Ketua Pembangkang itu dikawal ketat oleh pasukan keselamatan.
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pemakanan suaminya dikawal untuk mengesan punca najinya berdarah.
"Dia akan menjalani ujian skop walaupun keputusan ujian darah menunjukkan dia stabil," katanya kepada wartawan di pekarangan HKL.
Ditanya sama ada Anwar perlu menjalani pembedahan bahu kanannya kesan kemalangan kereta tahun lalu, Wan Azizah berkata, ia mungkin tidak akan berlaku.
Beliau turut memaklumkan Anwar gembira dapat bertemu ahli keluarganya dan dia masih boleh "bertahan".
Bagaimanapun, katanya, berat badan Anwar semakin susut dan dia kelihatan kurus dan cengkung.
"Saya lega dia kini dimasukkan ke wad," katanya.
Mengenai tempoh Anwar akan berada di HKL, Wan Azizah berkata, suaminya dijangka dibenarkan pulang pada Jumaat.
Sementera itu, anak sulung Anwar, Nurul Izzah berkata, dia bimbang dengan keputusan ujian kesihatan bapanya.
Menerusi kenyataan pada Selasa, HKL memaklumkan keadaan Anwar stabil dan pakar perubatan berkaitan penyakitnya akan merawatnya. - mStar

Tuesday, 2 June 2015

PENCAPAIAN TERBAIK PAS ADALAH BERSAMA PR



Pencapaian terbaik PAS adalah bersama Pakatan Rakyat
"PENCAPAIAN TERBAIK PAS ADALAH BERSAMA Pakatan rakyat"...
Ini ditegaskan kedua-dua pemimpin parti tersebut, Timbalan Presiden Mohamad Sabu dan Ketua Pemuda Suhaizan Kaiat.

Mohamad, atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata Tahaluf Siyasi bersama PKR dan DAP membawa kebaikan bagi PAS.

"Tanpa kesepakatan ini, tidak mungkin PAS boleh membentuk kerajaan di beberapa negeri," kata beliau dalam ucapan perasmiannya di Muktamar Dewan Pemuda PAS ke-56 di Dewan Jubli Perak di Shah Alam petang tadi.

Beliau juga berkata setiap tindakan yang bakal diambil PAS perlu diteliti agar sokongan golongan bukan Islam terhadap parti itu tidak hilang.

Sementara itu, Suhaizan pula membangkitkan soal peratusan pengundian yang diterima Pakatan Rakyat, khususnya PAS dalam Pilihanraya Umum ke-13.

"Pencapaian terbaik PAS adalah semasa kita bersama Pakatan Rakyat," kata Suhaizan, merujuk kepada undi popular yang diraih gabungan tersebut.

Pemilihan bagi Dewan Pemuda akan diadakan pada pagi Rabu dan keputusannya dijangka akan diumumkan pada hari yang sama.

Tumpuan terarah kepada perebutan kerusi Ketua Pemuda antara penyandangnya Suhaizan dan pencabarnya Nik Abduh Nik Abdul Aziz, anak kepada mantan Mursyidul Am parti Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Muktamar bagi Dewan Muslimat dan Dewan Ulama' juga akan diadakan pada Rabu.

AHMAD AWANG TIDAK DIBENARKAN CERAMAH AGAMA DI MASJID TOK GURU ???

Ahmad Awang - Bekas Naib Presiden PAS

KOTA BARU – Calon tunggal yang bertanding menentang Presiden PAS, Ahmad Awang kini berhadapan cabaran apabila tidak dibenarkan memberi ceramah agama di Masjid Tok Guru, Pulau Melaka pada Isnin malam.

Penganjur, Dr Rosli Alani Abdul Kadir mendakwa, adik kepada bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat iaitu Nik Din membantah kehadiran Ahmad.

“Saya tidak faham kenapa Ahmad dihalang daripada menghadiri majlis ceramah itu sedangkan arwah Tok Guru tidak pernah berbuat demikian.

“Lagi pun ustaz Ahmad tidak menggunakan pentas itu untuk tujuan politik atau berkempen,” katanya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS di sini ketika dihubungi pada Selasa.

Majlis ilmu itu dianjurkan anak Nik Abdul Aziz sendiri iaitu Nik Omar.

Ahmad, bekas Pesuruhjaya PAS Perak akan bersaing satu lawan satu dengan penyandang jawatan nombor satu parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 6 Jun ini.

Dr Rosli Alani menambah, tindakan menghalang Ahmad memberi ceramah di masjid itu tidak seiring dengan amalan Tok Guru yang sentiasa memberi penekanan mengenai pentingnya ilmu dalam Islam.

“Masjid tidak seharusnya digunakan untuk tujuan lain kecuali ceramah agama, lebih-lebih lagi ustaz Ahmad dijemput oleh ahli keluarga Tok Guru sendiri,” katanya.

Difahamkan Nik Din membantah kehadiran Ahmad kerana bimbang ceramah itu akan digunakan untuk berkempen.

Sehubungan itu, Nik Omar mematuhi permintaan bapa saudarannya bagi mengelak timbul sebarang kontroversi.

Bagaimanapun, kedua-dua Nik Din dan Nik Omar atau Ahmad tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen masing-masing. – Mstar

SADIS : PENGAKUAN ANAK TIRI MONA FANDEY YANG MENYEDIHKAN

Ini ialah petikan luahan isi hati anak mona fandey:

“SIAPA yang ingin dilahirkan sebagai anak pembunuh? Saya tidak minta dilahirkan sebagai anak Mohd Affandi, tetapi Tuhan sudah menentukan begitu. Saya tidak pernah menyesal dilahirkan ke dunia. Sebagai seorang Islam, saya terima takdir saya.

Yang menyedihkan ialah sikap masyarakat yang tidak faham. Mengapa saya turut dipersalahkan di atas perbuatan ayah dan ibu tiri saya? Adakah semua anak pembunuh turut menjadi pembunuh… penjahat?


Bukan sehari dua saya menghadapi tekanan masyarakat, tetapi sejak zaman kanak-kanak hingga sekarang. Saya diberhenti atau diminta berhenti empat pekerjaan dalam tempoh dua tahun lalu.

Malah, hasrat saya untuk bertunang juga tidak kesampaian apabila keluarga kekasih saya menentang hubungan kami apabila mengetahui saya ada hubungan darah dengan Mohd Affandi dan Mona Fandey.

Saya cukup tertekan kerana hubungan dengan kekasih sangat baik, walaupun dia tahu latar belakang keluarga saya. Namun sebaik saja memaklumkan kepada keluarganya, mereka tidak dapat menerima saya dan meminta hubungan kami diputuskan.

Bayangkan perasaan ibu saya yang sudah membeli cincin dan memaklumkan kepada saudara-mara supaya bersiap sedia kerana akan menghantar rombongan peminangan, tetapi akhirnya terpaksa menebalkan muka memberitahu majlis itu tidak jadi.

Sebelum itu, ketika di kolej saya pernah bercinta dengan dua gadis, tetapi akhirnya terputus selepas mereka mengetahui saya anak Mohd Affandi dan Mona Fandey.

Derita saya bukan hanya dalam percintaan, malah sukan. Saya mewakili Kelantan dan kini Kuala Lumpur dalam acara taekwando. Dalam satu pertandingan, ada peserta mengundurkan diri dan tidak mahu berlawan dengan saya apabila mengetahui saya anak Mohd Affandi kerana bimbang saya membawa ilmu arwah ayah dan ibu tiri saya.

Betapa malu dan rasa terhinanya saya. Adakah mereka menganggap saya tiada kebolehan? Banyak lagi tekanan masyarakat yang cukup mengguris hati, tetapi apalah daya saya. Saya tidak mampu menemui semua orang dan menceritakan kesedihan dan kisah sebenar saya.

Inilah tujuan utama saya mendedahkan diri dan menceritakan kisah saya kepada Metro Ahad. 

Saya bukan ingin mencari publisiti. Malah, saya bersedia menghadapi ‘serangan’ keluarga kerana yakin saudara-mara yang membaca kisah ini akan marahkan saya. 

Bagaimanapun, saya cuma mahu keadilan. Saya mahu masyarakat faham dan tahu kisah sebenar dan tidak terus menyeksa saya di atas kesalahan yang saya tidak lakukan. Saya hanya mahu menjalani kehidupan normal seperti insan lain yang mempunyai kerjaya dan keluarga sendiri.

Terlalu berat rasanya untuk melangkah mengharungi kehidupan hari ini. Bayangkan kerana wajah saya mirip ayah, saya dipaksa makan pelbagai ubat oleh keluarga bertujuan mengemukkan diri supaya orang tidak cam yang saya anak Mohd Affandi.

Saya cuma mahu masyarakat tahu saya hanya membawa nama ayah, tetapi saya tidak pernah menjadi anak ayah. Saya tidak pernah mendapat kasih sayang ayah kerana arwah (Mohd Affandi) meninggalkan ibu ketika saya dalam kandungan.

Saya tidak pernah tahu siapa ayah saya sehingga saya berusia sembilan tahun apabila ibu memanggil saya dan memberitahu yang ayah saya masih hidup. Ketika itu pun saya hanya melihat wajah arwah di televisyen kerana didakwa atas tuduhan membunuh.

Berikutan terlalu gembira saya sebenarnya ada ayah, saya bercerita kepada rakan di sekolah bahawa Mohd Affandi itu ayah saya. Biasalah sebagai kanak-kanak, kita tidak dapat memikirkan baik dan buruknya.

Akhirnya saya menjadi mangsa cercaan dan yang paling saya tidak dapat bersabar apabila mereka menghina dan sindir saya dengan mengaitkan nama ayah saya.

Kata-kata yang paling saya tidak dapat dengar dan terima ialah “engkau nak jadi macam bapa engkau. Bapa engkau pembunuh.” Kata-kata itu menyebabkan saya menjadi ‘panas hati’ dan selalu bergaduh.

Sebab itu saya belajar taekawondo ketika berusia 12 tahun. Saya menjadikan gelanggang taekwondo sebagai tempat melepaskan geram dan perasaan marah hingga memperoleh tali pinggang hitam.

Kali pertama saya berjumpa arwah ayah di Penjara Kajang ketika berusia 16 tahun. Bukan seperti kanak-kanak dan remaja lain yang membesar dengan kasih sayang ayah mereka, bayangkan saya berjumpa ayah kandung buat kali pertama di penjara.

Sebaik saya memasuki bilik perjumpaan tahanan dengan waris dan mengangkat telefon, ayah memanggil nama saya. Saya terkejut kerana walaupun tidak pernah berjumpa, ayah mengenali saya.

Pada pertemuan itu, ayah hanya bertanya khabar dan perkembangan saya. Pesanan ayah saya ingat hingga ke hari ini iaitu supaya jangan setakat belajar taekwondo, belajar juga silat.

Selepas itu, saya sering mengutus surat kepada ayah dan pernah berjumpanya dua kali sebelum saya menerima berita ayah akan dihukum gantung keesokannya (2 November 2001). Sebenarnya keluarga saya mengetahui tarikh hukuman itu seminggu lebih awal, tetapi merahsiakannya dan hanya memaklumkan kepada saya pada hari terakhir.

Saya dan keluarga bertolak dari Pantai Cahaya Bulan (Kelantan) ke Penjara Kajang pada 1 November 2001. Seingat saya, kami bertolak menaiki empat kenderaan. Sejurus tiba pada hari sama, ayah mahu berjumpa saya bersendirian manakala yang lain tidak dibenarkan masuk.

Saya di dalam bilik selama tiga jam bersama ayah. Itu kali pertama kami bersentuhan kerana sebelum itu kami dipisahkan oleh dinding kaca dan hanya berbual menerusi telefon.

Saya masih ingat kata-kata ayah yang mengaku dia tidak bersalah. Menurutnya, dia tidak membunuh Datuk Mazlan (Idris), sebaliknya semua itu angkara Mona Fandey dan Juraimi Husin. Bagaimanapun, arwah berkata dia menerima takdirnya.

Saya difahamkan oleh petugas penjara, ayah berpuasa selama tiga tahun secara berterusan sehingga hari kematiannya.

Saya tidak tahu adakah ayah berpuasa kerana insaf di atas apa yang berlaku. Saya tidak berhak memberi pandangan dan andaian kerana itu antara ayah dan Allah SWT.

Yang pasti, ayah sudah menerima balasannya. Yang menghairankan ialah, mengapa masyarakat masih menghukum zuriatnya yang tidak tahu menahu mengenai kejadian (pembunuhan Mazlan) yang berlaku.

Kami semuanya tiga beradik (daripada zuriat Mohd Affandi). Abang saya berusia 27 tahun adalah anak hasil perkahwinan pertama manakala adik perempuan saya, Mazdiana, kini 18 tahun, adalah anak hasil perkongsian hidup dengan Mona.

Setiap kami mempunyai pengalaman sedih. Bagaimanapun, antara ketiga-tiga anak ayah, saya seorang yang berjaya disembunyikan daripada media hinggalah hari pengebumian ayah.

Sejak itu hidup saya berubah. Saya tidak tahu bila derita saya akan berakhir, tetapi saya tidak berhenti berdoa.

Kepada masyarakat yang membaca kisah saya, saya hanya berharap mereka faham, saya juga ciptaan Allah yang ingin melalui kehidupan dengan penuh ketenangan.
Sumber : The Puaka News

DURIAN DI PASARAN BEBAS BAHAN MUDARAT - KP KESIHATAN


PUTRAJAYA: Durian di pasaran tempatan, termasuk yang diimport, tidak mengandungi bahan yang boleh memudaratkan kesihatan orang ramai, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. 

Sehubungan itu, beliau berkata orang ramai tidak perlu khuatir kerana aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan keselamatan makanan sentiasa dijalankan bagi memastikan makanan di pasaran adalah selamat. 

Katanya, jika pengguna berasa ragu-ragu dengan status keselamatan sesuatu makanan di pasaran tempatan, mereka boleh memaklumkannya kepada Kementerian Kesihatan. 

"Maklumat boleh disalurkan melalui Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman web Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Beliau mengulas dakwaan yang tersebar mengenai durian dicelup dengan bahan kimia beracun bagi memanjangkan jangka hayat serta kesegaran buah berkenaan sebelum dijual di pasaran. 

Menjelas lanjut mengenai isu itu, Dr Noor Hisham berkata menjadi kesalahan bagi mana-mana pihak mengimport, mengedar, menyimpan atau menjual makanan yang beracun, merosakkan atau memudaratkan kesihatan mengikut Seksyen 13 Akta Makanan 1983. 

"Sesiapa yang disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.
BERNAMA

KELANTAN SUSUN SEMULA PELAN PEMBANGUNAN TOK BALI


PASIR PUTEH - Kerajaan negeri Kelantan akan menyusun kembali pelan tindakan pembangunan bandar baharu perikanan Tok Bali di sini, menerusi Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) dalam usaha menarik pelaburan bernilai RM1 bilion dalam tempoh terdekat.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata Perbadanan Pembangunan Tok Bali diberi tanggungjawab bagi program penyusunan semula itu dengan menggerakkan agensi berkaitan seperti Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP), Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

"Selepas penyusunan itu, pihak berkaitan akan diminta memainkan peranan masing-masing untuk memajukan kawasan tersebut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Jawatankuasa Pengelola Kemajuan Sekolah Menengah Arab Nurul Falah di Cherang Ruku di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keluhan pelbagai pihak berhubung proses pembangunan bandar baharu itu yang perlahan dan tidak menepati pelan perancangan.

Sebelum ini, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dipetik sebagai berkata projek pembangunan pelabuhan Tok Bali dijangka mampu menarik pelaburan sehingga RM1 bilion dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Mustapa berkata sehingga kini terdapat kira-kira 100 syarikat yang berpotensi untuk melabur dalam projek berkenaan dan ia dijangka memberi manfaat kepada kawasan sekitar serta Kelantan secara keseluruhan.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata pembangunan itu mengambil masa kerana kerajaan negeri perlu mengatasi pelbagai kekangan termasuk Pelabuhan Tok Bali yang sehingga kini belum lagi mendapat status pelabuhan dan hanya berfungsi sebagai 'supply base' sahaja.

Dalam pada itu, katanya kerajaan perlu merancang barangan yang perlu dieksport termasuk getah dan kelapa sawit serta barangan yang perlu diimport.

"Kalau ada eksport sahaja sudah tentu tidak menguntungkan, sebaliknya perlu ada tindak balas," katanya.
Bernama