ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH

Tuesday, 7 April 2015

MESYUARAT KHAS JUMAAT INI BINCANG PRK ROMPIN - PENGERUSI SPR


Hasil carian imej untuk PENGERUSI SPR
PETALING JAYA 7 April - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan tarikh tertentu berhubung proses pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Rompin pada Jumaat ini.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, SPR telah menerima notis pemberitahuan kekosongan kerusi Parlimen Rompin daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia pada Selasa.

"Kita akan adakan mesyuarat berkaitan PRK Rompin pada Jumaat ini, kemudian disusuli dengan sidang media pada hari yang sama," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Selasa.

SPR turut akan bermesyuarat pada Rabu berhubung PRK Parlimen Permatang Pauh.

Ketika ditanya adakah tarikh proses PRK Rompin akan dibicangkan dalam mesyuarat pada Rabu, Abdul Aziz berkata ia akan dibuat secara berasingan kerana notis pemberitahuan kekosongan kerusi tersebut diterima dalam masa yang singkat.

"Kita baharu sahaja terima notis tersebut kira-kira pukul 11 pagi tadi (Selasa). Jadi kalau nak sekalikan mesyuarat dah tak sempat. Esok (Rabu) kita hanya bincangkan mengenai Parlimen Permatang Pauh," katanya.

Beliau berkata antara tarikh yang akan ditentukan dalam mesyuarat tersebut ialah penamaan calon, pengundian awal, pengundian biasa serta menentukan daftar pemilih bagi PRK tersebut selain memutuskan tarikh sebenar kekosongan kerusi Parlimen Rompin bermula.

Katanya, menurut Fasal (4) Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, SPR perlu mengadakan pilihan raya kecil dalam tempoh 60 hari dari tarikh berlaku kekosongan.

Kerusi Parlimen Rompin diisytihar kosong apabila penyandangnya Tan Sri Jamaluddin Jarjis maut dalam nahas helikopter yang terhempas dan terbakar di Jalan Sungai Lalang, Kampung Pasir Baru, Semenyih pada Sabtu lalu.

Nahas itu turut menggorbankan Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Datuk Seri Azlin Alias juruterbang Kapten Clifford William Fournier, ahli perniagaan, Datuk Tan Huat Seang, seorang anggota polis yang juga pengawal peribadi Jamaludin iaitu Koperal Razakan Seran dan seorang penumpang wanita yang dikenali sebagai Aidana Baizieva.

Monday, 6 April 2015

MAT SABU NAFI TANDING PRK PERMATANG PAUH


KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menafikan beliau akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh yang akan datang.
"Itu kerusi Keadilan dan kami akan memberikan sokongan 100 peratus kepada mereka," katanya kepada pemberita pada sidang media #BatalGST di sini Isnin.

Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu merupakan pengarah jentera pilihan raya PAS Permatang Pauh.

Sebuah blog pro Pakatan Rakyat mencadangkan agar Mat Sabu bertanding di kerusi tersebut dan bukannya Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Kerusi tersebut diisytiharkan kosong selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen.

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia pada Rabu berkata beliau menerima surat pemakluman Lembaga Pengampunan menolak petisyen diraja yang dipohon keluarga Anwar.

Mat Sabu bagaimanapun berkata PAS akan bertanding di PRK Rompin yang kosong berikutan kematian Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter yang terhempas, Sabtu lalu.
Kami berharap Pakatan Rakyat akan memberi sokongan kepada kami dalam PRK itu," katanya.

Mengenai jawatan Timbalan Presiden PAS, Mat Sabu berkata beliau masih membuat sebarang keputusan berhubung perkara itu.

"Mungkin dalam tempoh dua minggu lagi," katanya.
mStar

Saturday, 4 April 2015

HELIKOPTER TERHEMPAS, VIP ANTARA YANG TERKORBAN


PETALING JAYA: Sebuah helikopter yang dipercayai membawa seorang bekas menteri Kabinet terhempas di Jalan Sungai


Lalang - Kampung Pasir Baru Semenyih pada petang Sabtu.

Difahamkan bekas menteri tersebut ialah Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis yang juga bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat.

Beliau juga adalah Ahli Parlimen Rompin.



Maklumat awal memberitahu bahawa sekurang-kurangnya tiga mayat dijumpai setakat ini oleh Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Dipercayai helikopter jenis AS 3655N2 Dauphin (9M-1GB) itu dipandu oleh Kapten Cliff Fournier itu dalam perjalanan dari Kuantan ke Subang.



Menurut sumber, selain Dr Jamaluddin, helikopter tersebut dikatakan turut dinaiki oleh Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Dato Seri Azlin Alias.

Turut dikatakan berada di dalam pesawat tersebut ialah seorang ahli korporat.

Operasi menyelemat membabitkan tiga balai iaitu Balai Bomba Semenyih, Balai Bomba Bangi dan Balai Bomba Kajang.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Kajang berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.57 petang Sabtu.

"Maklumat awal yang diterima menyatakan helikopter itu terhempas dan terbakar pada 4.55 petang ini," katanya ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) berkata tiga mayat nahas helikopter itu telah ditemui, dan pihak berkuasa sedang mencari tiga lagi penumpang lain.

Jurucakap pasukan penyelamat Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) berkata kemalangan itu berlaku ketika hujan dan angin kencang.

"Unit Forensik polis akan melakukan siasatan lanjut bagi mengenal pasti mangsa nahas itu," katanya kepada Bernama.

Friday, 3 April 2015

PENGELUARAN KWSP TIDAK DIKENAKAN GST


KUALA LUMPUR: Pengeluaran daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak dikenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang berkuat kuasa pada 1 April.
KWSP dalam satu kenyataan pada Khamis mengingatkan ahlinya agar tidak melantik ejen atau pihak ketiga untuk membantu membuat sebarang pengeluaran.
"Ahli-ahli yang memenuhi syarat-syarat dinasihatkan berurusan terus dengan KWSP untuk membuat pengeluaran.
"Bagi Skim Pelaburan Ahli KWSP, KWSP tidak akan mengenakan GST bagi amaun dipindahkan untuk pelaburan," kata kumpulan itu. 

Di bawah skim tersebut, ahli-ahli dibenarkan untuk memindah sebahagian daripada wang KWSP mereka untuk melabur dalam dana saham amanah yang diluluskan KWSP. 


"Ahli-ahli dinasihatkan untuk memahami kos dan risiko yang terlibat, danmendapatkan nasihat daripada penasihat berkelayakan, sebelum memutuskan untuk menyertai skim itu," kata KWSP.

CAJ PERKHIDMATAN JALUR LEBAR AKAN DIKURANGKAN - DS AHMAD SHABERY



KUALA LUMPUR: Syarikat telekomunikasi (telco) telah bersetuju untuk mengurangkan caj perkhidmatan jalur lebar mereka sekurang-kurangnya enam peratus daripada harga asal bagi menggalakkan penggunaan internet dalam kalangan orang ramai.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata perkara itu diputuskan setelah beberapa siri perbincangan dengan pihak telco diadakan, dan keputusan itu akan diumumkan secara rasmi dalam masa sebulan.

"Saya rasa dalam konteks negara yang bersetuju dengan pasaran bebas, harga yang murah perlu ditawarkan kerana kita mahu pengguna yang ramai, boleh dinikmati oleh golongan muda dan tidak perlu berpendapatan tinggi untuk menikmati perkhidmatan jalur lebar," katanya kepada pemberita selepas majlis pra-pelancaran 'Content Malaysia Pitching Centre' di sini hari ini.

Beliau berkata di samping caj yang berpatutan, syarikat telco juga perlu melabur kembali untuk perbelanjaan pembangunan dalam meningkatkan mutu perkhidmatan yang disediakan.

"Sebagai contoh, di mana tempat yang kurang menara pemancar perlu ditambah supaya perkhidmatan jalur lebar dapat diperluaskan dengan menambah baik kelajuan internet,"katanya

Sementara itu, Ahmad Shabery berkata pusat sehenti "Content Malaysia Pitching Centre" yang terletak di bangunan Platinum Sentral, KL Sentral itu merupakan inisiatif kementerian dalam merangsang dan mencambah idea-idea baharu bagi semua kandungan kreatif.

Pusat itu akan memberi peluang kepada generasi muda dalam memberikan pendapat dan pemangkin ke arah pencambahan idea yang sejajar dengan perkembangan dunia yang semakin pesat seiring dengan teknologi terkini.

"Ia juga bertujuan memudahkan penggiat industri serta generasi muda untuk memohon dana-dana di bawah satu koordinasi sehenti serta menjadi tempat tayangan filem, kelas lanjutan dan pelbagai aktiviti kreatif dapat dijalankan di sini," katanya.

Ahmad Shabery dalam ucapan perasmiannya berkata walaupun saiz pasaran kandungan kreatif di Malaysia bernilai RM7 bilion, hanya 15 peratus sahaja melibatkan kandungan tempatan.

Untuk itu, cabaran paling besar sekarang ialah untuk mendidik masyarakat untuk berhadapan dengan dunia digital baharu, katanya.
mStar

TIDAK TIMBUL ISU PAS KELUAR PAKATAN RAKYAT - AJK PAS PUSAT

Tidak timbul isu PAS keluar Pakatan Rakyat - Hanipa Maidin
KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, Mohamed Hanipa Maidin menyanggah kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang menyatakan PAS mampu berjuang bersendirian walaupun disingkirkan daripada Pakatan Rakyat.

Ahli Parlimen Sepang itu menegaskan jika PAS mengambil keputusan untuk berjuang bersendirian, ia merupakan satu keputusan yang mengembirakan musuh tradisinya, UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Katanya, amat malang apabila UMNO dilihat semakin terhakis kuasa dan lemah, wujud pihak dalam Pakatan Rakyat yang masih bercakap tentang isu keluar dari gabungan tersebut.

"Sehingga kini BN rasa begitu perit dengan kewujudan PR dan juga perit untuk mempertahankan pemerintahannya yang semakin hari semakin rapuh dengan dikelilingi skandal dan salah guna kuasa.

"Maka satu-satunya pihak yang amat gembira jika PAS keluar PR tidak syak lagi adalah BN," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamed Hanipa berkata selagi PAS masih berpegang dengan slogannya "PAS for all", soal PAS sedia berjuang bersendirian tidak relevan sama sekali.

"Melainkan ia bersedia mengehadkan pengaruh dan sokongannya hanya di Kelantan sahaja.

"Jika itu pendirian PAS, maka segala usaha dan gerak kerja yang PAS lakukan di negeri-negeri selain Kelantan, khususnya di pantai barat, bagi melebarkan pengaruh dan sokongannya, jika pun tidak sia-sia, akan mengembalikan PAS kepada kedudukan PAS sebelum wujudnya PR.

"Dan jika ini berlaku, bagi saya, ia merugikan sama sekali misi dan visi PAS membawa agenda Islamnya kepada rakyat pelbagai kaum di negara ini," katanya lagi.

Katanya, perjuangan PAS yang membawa obor Islam sejak daripada awal, tidak pernah diniatkan untuk orang Melayu Islam sahaja, sebaliknya untuk semua bangsa dan agama di negara ini.

"Perjuangan PAS bukan sekadar untuk memerintah Kelantan atau Terengganu sahaja, sebaliknya PAS bercita-cita mengambil alih kekuasaan di semua negeri dan Malaysia itu sendiri.

"Kerana itu, PAS wujud di semua negeri di dalam negara ini meskipun kekuatan PAS dan pengaruhnya berbeza antara satu negeri dengan negeri yang lain," kata Hanipa.

PAS juga katanya, memahami realiti yang bagi mengambil alih pemerintahan di peringkat Pusat dan negeri, ia tidak boleh bergerak secara sendirian sebaliknya perlukan kerjasama parti politik lain bagi membentuk satu pakatan untuk menjatuhkan Umno/BN.

"Setakat hari ini, jelas yang PR adalah pakatan politik yang paling sesuai, relevan dan 'viable' untuk mencapai hasrat menawan Putrajaya selagi mana PAS memilih kaedah demokrasi dan pilihan raya bagi mencapai matlamat dan memenuhi aspirasi perjuangannya," katanya.

Semalam, Bernama melaporkan Mohd Amar sebagai berkata PAS mampu berjuang bersendirian walaupun disingkirkan daripada Pakatan Rakyat.

Thursday, 2 April 2015

SYARIKAT TELEKOMUNIKASI BOLEH KENAKAN GST 6% DENGAN MASA BERBUAL TAMBAHAN - Jabatan Kastam


PUTRAJAYA: Syarikat telekomunikasi boleh mengenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebanyak 6 % bagi perkhidmatan kad tambah nilai dengan syarat mereka menawarkan masa berbual tambahan. 

"Satu mesyuarat diadakan bersama dengan ketua pegawai eksekutif semua syarikat telekomunikasi pagi tadi dan satu keputusan telah dibuat," kata Pengarah Kastam bahagian GST, Datuk Subromaniam Tholasy. 

"Syarikat telekomunikasi mempunyai dua pilihan sama ada mengekalkan harga kad tambah nilai dengan menyerap 6 % GST, atau mereka boleh mengenakan caj 6 % daripada harga kad tambah nilai dengan syarat mereka memberikan masa berbual tambahan kepada pengguna. 

"Mereka akhirnya telah bersetuju dan menetapkan sekiranya kos kad tambah nilai RM10.60, pengguna akan diberikan masa berbual tambahan sehingga RM1. Ini adalah berita baik kepada pengguna," kata Subromaniam pada sidang media di Kementerian Kewangan pada Khamis. 

Pengumuman tersebut dibuat sehari selepas Subromaniam berkata harga semua kad tambah nilai kekal dengan nilai GST diserap oleh syarikat telekomunikasi. 

Subromaniam adalah keputusan sementara untuk tempoh tiga bulan dan jabatan tersebut dan syarikat telekomunikasi akan mengadakan pertemuan untuk membincangkan keputusan muktamad mengenainya. 

"Inilah jalan penyelesaian terbaik buat masa ini. Ketua Pengarah Kastam akan bertemu dengan syarikat telekomunikasi dalam tempoh tiga bulan lagi untuk menentukan sama langkah tersebut akan diteruskan atau menurunkan harga kad tambah nilai," kata Sobramaniam. 

REALITI SEBENAR GST !!!

Assalamualaikum dan Salam 1Dunia, sebelum ini aku ada menulis tentang GST dengan memasukkan informasi barangan dan khidmat yang kena GST dan yang tidak kena GST. Ada pembaca yang marah dengan entri “GST apa yang kena tax” sebab aku tak sempat nak terjemah ke bahasa Malaysia sehingga terkeluar perkataan anjing.
Aliran carta gst daripada pengllang kepada pengguna
Aliran carta gst daripada pengllang kepada pengguna
1/4/2015 hari pertama GST dilaksanakan berbagai kepeningan berlaku. Majoriti peniaga mengekalkan harga lama dan menambah 6% gst. Restoran mengenakan harga lama dan menambah tax perkhidmatan 10% selain 6% gst. Belian top up maxis juga dikenakan gst. Bagi kefahaman aku semua produk dengan harga lama sudah ada tax tersembunyi jadi dengan pengenalan gst harga produk mesti diturunkan dahulu sebelum mengenakan gst. Alasan penjual sebab mereka tidak turunkan harga kerana pembekal tidak mengurangkan harga bagaimana pulak mereka nak turunkan harga.
Resit GST yang betul
Resit produk dengan GST yang betul
Peniaga berebut-rebut untuk membebankan kadar gst kepada pengguna. Semua tahu barangann asas dan makanan tidak dikenakan GST tetapi tetap restoran dan kedai mamak mengenakan gst kepada pengguna atas jumlah keseluruhan. Adakah penjual buat-buat tak faham atau mereka sengaja nak untung lebih. Setakat ini kedengaran hanya MyDin danIKEA yang setuju untuk menyerap GST. Bos Sempohosting tulis di FB juga tidak akan mengenakan GST kepada pelanggannya. Butik Penmerah di Bangi pun tidak kenakan GST pada pelanggannya. Tak dapat informasi lagi samada Abang Ensem akan kenakan GST atau tidak untuk training property beliau.
Sebahagian resit dengan GST dari rakan-rakan FB
Keliru juga baca resit MyDin yang kata serap GST
Keliru juga baca resit MyDin yang kata serap GST
gst top up
gst restoran
gst service kereta
gst mamak
Kepada yang memberi insyaa Allah perniagaan anda akan lebih maju dan untung. Kalau pun terpaksa kenakan gst biar yang betul bukan segaja nak mencari keuntungan. Ingat orang tamak selalu rugi.
Salah satu tujuan GST utk jadikan peniaga jujur kerana selama ini mereka berselindung disebalik harga tanpa tax. Hari pertama GST sudah kelihatan ramai peniaga yang tamak dan tidak jujur. Sebagai rakyat mari kita salurkan semua informasi kecelaruan charge GST kepada Kastam dan KPDNKK.
Credit : http://denaihati.com/gst-realiti-sebenar

SENARAI BARANG RUNCIT (GROCERY) BERCUKAI GST DAN BARANG TIDAK BERCUKAI GST


Hasil carian imej untuk GST

Sumber: gstmalaysiainfo
Di bawah adalah senarai layanan GST ke atas barangan runcit. Walaupun terdapat barangan runcit yang dikenakan GST, tidak semestinya barangan tersebut naik harga. Ini kerana sesetengah barangan tersebut mempunyai elemen cukai SST sebelum ini.
Untuk panduan naik turun harga, sila gunakan Buku Panduan Pengguna yang disediakan oleh KPDNKK.
0708091011121314151617

PENJELASAN & PENCERAHAN TENTANG PERLAKSANAAN GST

Hasil carian imej untuk GST
Akhirnya, terlaksana juga sistem cukai barangan & perkhidmatan (GST) mulai hari ini, 1 April 2015. Pelbagai komen & reaksi orang ramai. Ada juga yang masih mempolitikkan isu ini. Izinkan saya memberikan sedikit pengamatan / pencerahan :
1) GST 6% ini menggantikan cukai jualan 10% & cukai perkhidmatan 6%. Ia bukan cukai tambahan.
2) Kadar 6% yang dikenakan adalah yang terendah di ASEAN dan antara yang terendah di dunia. Sebagai contoh, kadar di Singapura 7%, Thailand 7%, Indonesia 10%, Vietnam 10%, Filipina 12%. Di Australia 10% dan di UK jauh lebih tinggi iaitu 20%
3) Untuk mengurangkan kesan kenaikan harga barang kepada rakyat, Kerajaan telah memperluaskan senarai barangan asas yang dikenakan kadar sifar atau terkecuali dari GST. Ini termasuk barangan makanan asas seperti beras, gula, minyak masak, ayam, daging, ikan & sebagainya, ubat-ubatan, buku-buku dan minyak petrol RON95 & Diesel.
Berdasarkan pengiraan Kementerian Kewangan, kesan GST terhadap kadar inflasi adalah peningkatan sebanyak1.1%. Memandangkan kadar inflasi sekarang adalah pada kadar 1-2%, purata kadar inflasi untuk tahun 2015 dijangka sekitar 3%, satu kadar berpatutan & antara kadar terendah di rantau ini.
4) Tidak semua harga barang & perkhidmatan akan naik. Ada juga yang turun seperti harga kereta yang turun 2-3%. Proton menurunkan harga sehingga RM1,475 seunit manakala Honda antara RM500 hingga RM2,500 seunit.
5) Semasa pelaksanaan GST diumumkan dalam Bajet 2014 pada 25 Oktober 2013, Kerajaan juga telah mengumumkan langkah ‘pengimbangan’ seperti pengurangan cukai pendapatan individu antara 1-3%, pengurangan cukai pendapatan korporat dari 25% kepada 24% dan pengurangan cukai perusahaan kecil & sederhana dari 20% kepada 19%.
Pemberian BR1M isirumah berpendapatan RM3,000 kebawah sebulan juga ditingkatkan dari RM500 ke RM650 manakala isirumah berpendapatan RM3,000-4,000 sebulan mula diberikan BR1M RM450 buat pertama kali.
Seterusnya dalam Bajet 2015, jumlah BR1M telah dinaikkan masing-masing kepada kepada RM950 & RM750 . Untuk individu bujang berpendapatan RM2,000 kebawah pula, BR1M dinaikkan kepada RM350. Ini semua bertujuan untuk meringankan impak kenaikan harga barang.
6) Ada peniaga yang merungut tidak diberikan masa yang cukup untuk membuat persediaan GST. Sebenarnya masa 17 bulan yang diberikan adalah munasabah & mencukupi. Mereka yang masih tidak bersedia kebanyakannya berlengah pada peringkat permulaan. Ada juga yang sengaja mengharapkan agar GST tidak dilaksanakan kerana dengan adanya GST, adalah lebih sukar untuk mengelak dari membayar cukai pendapatan.
7) Seperti dalam mana-mana pelaksanaan sistem baru, memang akan terdapat isu-isu pelaksanaan (teething problems) di peringkat awal. Untuk itu, Kerajaan telah mewujudkan GST hotline Jabatan Kastam1300888500 dan KPDNKK 1300886800. Kunjungi laman sesawang gst.customs.gov.my untuk maklumat lanjut.
8) Tujuan asal pelaksanaan GST adalah untuk memperluaskan asas percukaian negara memandangkan kita hanya ada 2 juta pembayar cukai, satu jumlah yang kecil berbanding jumlah rakyat Malaysia seramai 28 juta.
GST adalah cukai penggunaan (consumption or indirect tax)dimana mereka yang berbelanja lebih adalah dari kalangan mereka yang berpendapatan lebih. Ini juga selaras dengan langkah konsolidasi fiskal yang mensasarkan bajet seimbang menjelang 2020.
Dengan peningkatan pendapatan Kerajaan, kita bukan sahaja dapat mengurangkan defisit fiskal kita malah dapat melaksanakan banyak projek pembangunan yang tertangguh sebelum ini seperti pembinaan jalanraya, jambatan, sekolah, hospital, klinik desa, dll.
Marilah kita sama-sama menjayakan sistem percukaian yang baru ini. Memang tiada sistem yang sempurna (perfect). Pasti ada kelemahannya. Walau apapun, niat kita murni. InsyaAllah apa yang dihasratkan akan tercapai. Maaf pencerahan ini panjang sedikit. Harap ia membantu. Terima kasih.
Dato’ Sri Abdul Wahid Omar
Credit : umno-online