ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH

Tuesday, 2 September 2014

KRISIS MB SELANGOR : PAS TETAP CALONKAN AZMIN


PETALING JAYA: Tanpa mengendahkan gesaan dua rakan sekutunya dalam Pakatan Rakyat (PR), PAS mengesahkan untuk tetap mencalonkan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu.

Keputusan itu jelas bertentangan dengan pendirian PKR dan DAP sebelum ini yang berkeras mencalonkan hanya satu nama iaitu Presiden PKR, Datuk Dr Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, PAS akan berpegang dengan keputusan Jawatankuasa PAS Pusat pada 17 Ogos lalu yang mahu Azmin dicalonkan sebagai calon kedua untuk dilantik ke jawatan itu.

"Kita akan tetap hantar dua nama seperti yang sudah diputuskan. Memang hanya dua nama akan dipersembahkan kepada tuanku.

"Dua nama itu semua orang pun dah tahu...Dr Wan Azizah dan Azmin, itu sahaja," katanya ketika dihubungi mStar online pada Selasa.

Mengulas lanjut Mustafa berkata, PAS akan mengemukakan surat jawapan kepada istana pada Rabu berhubung dua nama yang dicalonkan itu.

"Kita akan hantar surat bersendirian, semua parti (dalam PR) hantar surat jawapan sendiri menggunakan kepala surat parti masing-masing," katanya.

Pada 26 Ogos lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menangguhkan peletakan jawatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

Baginda menitahkan parti-parti dalam Pakatan Rakyat supaya mengemukakan lebih daripada dua nama calon menteri besar untuk dipertimbangkan sebelum dilantik ke jawatan itu selewat-lewatnya pada 3 September (esok).

SUAMI DURJANA : PAKSA ISTERI HAMIL BERSETUBUH DENGAN PEKERJA BANGLADESH


PETALING JAYA: Seorang wanita mengandung tidak dapat menanggung derita selepas suaminya berulang kali memaksanya mengadakan hubungan seks dengan seorang pekerja Bangladesh untuk memenuhi nafsu seksualnya.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad pada Selasa berkata wanita berusia 27 tahun itu melarikan diri dari rumah selepas menerima panggilan daripada suaminya yang berusia 34 tahun kira-kira pukul 10.30 malam Ahad yang memberitahunya bahawa dia akan membawa pulang seorang lelaki Bangladesh untuk tidur dengannya. 

"Takut dengan permintaan suaminya, wanita itu meninggalkan rumah dan meminta bantuan daripada pihak polis.

"Ini bukan kali pertama suaminya memaksa dia mengadakan hubungan seks dengan pekerja Bangladesh berusia 26 tahun itu yang hanya dikenali sebagai Nizam.

"Sebelum ini dia dipaksa mengadakan hubungan seks dengan Nizam sebanyak dua hingga tiga kali.

"Dia sedang mengandung tujuh bulan apabila suaminya meminta dia tidur dengan lelaki itu pada bulan Julai," katanya.

Wanita itu mendakwa suaminya akan terangsang dengan melihat mereka melakukan seks dan kemudiannya akan mengadakan hubungan seks dengannya.

Dia juga berkata Nizam tidak dikenakan sebarang bayaran untuk tidur dengannya.

Dia telah dihantar ke Hospital Selayang untuk penilaian perubatan, menurut laporan. 

"Kami menahan Nizam di kedai mainan di Chow Kit pada hari Isnin, manakala suami wanita itu ditahan di rumah pasangan itu di Taman Daya Kepong.

"Kedua-dua lelaki itu ditahan selama seminggu bagi membantu siasatan," kata Ali. 

Kes ini diklasifikasikan sebagai rogol di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
mStar Online

PRK #PENGKALANKUBOR : PR AKAN MENANG JIKA PAS LETAK CALON


Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah mengakui peluang kemenangan akan memihak kepada Pakatan Rakyat (PR) jika mengemukakan calon dari Pas untuk bertanding di PRK Pengkalan Kubor.

Menurutnya, perbincangan ‘hati ke hati’ bersama kepimpinan PKR Kelantan yang diketuai pemangku Pengerusinya, Ab Aziz Ab Kadir telah berlangsung di sini, petang kelmarin.

“Itu perbincangan adik beradik, hasil perbincangan itu, kita setuju untuk mengemukakan pandangan kepada Majlis Presiden, jadi kita serahkan kepada mereka, sama ada Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mempertahankan kerusi ini atau Pas yang akan bertanding,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Pecah Tanah Asrama Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias) di sini.

Beliau memberitahu, calon Pas mempunyai kredibiliti yang lebih luas dalam mencari peluang kemenangan yang lebih baik berbanding calon PKR.

Beliau turut mengakui, kedua-dua pihak memang bercadang untuk mengemukakan calon masing-masing namun keputusannya hanya akan diketahui selepas mesyuarat peringkat tertinggi nanti.

Jumaat lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 13 September sebagai hari penamaan calon bagi PRK Dun Pengkalan Kubor manakala 25 September tarikh membuang undi.

ADUN PAS "DERHAKA" DAKWA, TINDAKAN KUTUK DAN KECAM TAK PATUT WUJUD DALAM PARTI ISLAM !!!


Shah Alam – ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib berkata usul mengecam dan mengutuk beliau serta ADUN Morib, Hasnul Baharuddin yang diluluskan Dewan Ulama PAS Selangor tersasar daripada prinsip kebenaran dan keadilan yang selama ini dipegang PAS.

Beliau turut pertikaikan keputusan itu dibuat tanpa memanggil dirinya dan Hasnul untuk membela diri.

Saari dan Hasnul sebelum ini didakwa membelakangkan parti dengan menyatakan sokongan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

Tindakan mereka itu menyaksikan Azizah berjaya memperoleh sokongan majoriti ADUN untuk mengenepikan Tan Sri Khalid Ibrahim bagi menerajui Selangor.

“Hukum jatuh tanpa memberi ruang untuk membela diri dan membuktikan ketepatan tindakan kutuk dan kecam. Budaya ini tak patut wujud dalam sebuah parti Islam.

“Saya ingatkan para ulama yang berilmu, mendukung Al-Quran dan Sunnah, mendukung prinsip keadian, agar menyemak kembali adakah ia wajar perkara itu wujud dalam PAS,” katanya.

Saari bagaimanapun menegaskan beliau bersedia dengan sebarang tindakan susulan yang bakal diambil parti melalui jawatankuasa itu.

“Jika ia (rujukan tindakan) diterima untuk dibahas dan menetapkan usul diterima, maka jawatankuasa disiplin akan bertindak mengikut prosedur yang ada seperti panggil, beri notis, beri tarikh untuk adakan perbicaraan atau siasatan,” ujarnya lagi.

Sementara itu, beliau turut ditanya mengapa tidak memberikan penjelasan secara sukarela kepada pimpinan parti sehingga membiarkan keadaan menjadi semakin buruk.

“Kita mendapat nasihat rakan-rakan peguam. Kena buat prosedur teratur. Selagi tidak ada keputusan rasmi daripada parti, maka tidak jadi kesalahan apa yang saya lakukan.

“Rakan-rakan lama dalam jawatankuasa dan kawasan mengatakan saya sebagai pembelot, khianat, lompat parti lawan… Tidak ada keputusan dan isu disiplin adalah keputusan PAS Pusat,” demikian tegasnya.

Sementara itu Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman menempelak ADUN Hulu Klang Saari Sungib yang mendakwa usul mengecam dan mengutuk beliau dan ADUN Morib Hasnul Baharuddin bukan budaya yang diamalkan parti Islam itu.

“Pesan pada mereka (Saari dan Hasnul), budaya ingkar arahan parti juga tidak wujud dalam PAS. Ia sudah jelas, kedua-dua mereka bertindak pandai sendiri. Tiga belas ADUN lain masih boleh ikut arahan parti. Nak pembelaan apa? Arahan sudah jelas,” tambahnya ketika dihubungi sebagai mengulas kenyataan Saari itu.

Khairuddin menegaskan usul mengecam dan mengutuk itu diluluskan selepas dua langkah susulan terhadap Saari dan Hasnul menemui jalan buntu.

Terdahulu PAS memberi tempoh masa 24 jam kepada dua ADUN berkenaan untuk menarik semula sokongan terhadap Wan Azizah, diikuti cubaan menghantar wakil parti untuk bertemu Saari dan Hasnul.

“Sehingga hari ini, walaupun ada usul dibuat di peringkat pusat, negeri atau dewan terhadap tindakan mereka (Saari dan Hasnul), tetapi mereka masih nak pertahankan tindakan mereka. Hal ini tidak berdisiplin.

“Jika mereka rasa tindakan mereka betul, jangan salahkan orang lain tertutama dewan-dewan lain yang akan mengusulkan (kutuk dan kecam). Dan saya jangkakan akan banyak lagi dewan-dewan lain mengusulkan tindakan disiplin terhadap dua ADUN,” katanya lanjut.

Dalam kenyataan media Dewan Ulama PAS Selangor semalam, tindakan lanjut terhadap Saari dan Hasnul akan dirujuk kepada Jawatankuasa Tatatertib PAS Pusat mengikut Fasal 82, Perlembagaan PAS (Pindaan) 2011.

Dalam pada itu juga, baki 13 ADUN PAS yang lain tidak akan menandatangani akuan tersebut setelah Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali memberitahu tiada keperluan untuk berbuat demikian.

Tinggal dua hari lagi sebelum PAS Pusat memuktamadkan senarai nama tiga calon menteri besar yang baharu.
SuaraTV

PENGUNDI MUDA FAKTOR KEMENANGAN PRK #PENGKALANKUBOR


Pergerakan Pemuda UMNO menyifatkan kumpulan pengundi muda akan menjadi penentu kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Pengkalan Kubor, Kelantan pada 25 September ini.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, ini berdasarkan maklumat yang dikumpul setakat ini menunjukkan jumlah pengundi muda mewakili 45 peratus daripada 24,039 pengundi berdaftar dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor.

Khairy berkata, pihaknya masih mengumpul maklumat tepat bagi jumlah pengundi berkenaan yang dikatakan agak tinggi selain merancang strategi terbaik untuk mendekati golongan terbabit.

"Saya kira 45 peratus pengundi muda ini agak tinggi dan amat penting untuk mendekati seramai mungkin golongan ini. Majoriti kita pun tak besar, kurang daripada 2,000 (1,700). Bagi saya kumpulan (pengundi muda) ini menjadi penentu (kemenangan)," katanya.

KRISIS MB SELANGOR : KETUA DEWAN MUSLIMAT PAS NAFI SOKONG WAN AZIZAH

PETALING JAYA – Ketua Dewan Muslimat PAS Siti Zailah Mohd Yusof menafikan menandatangani satu kenyataan menyokong Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor yang baharu.

Dalam satu laporan oleh Harakahdaily, Ahli Parlimen Rantau Panjang itu berkata kenyataan itu telah diedarkan sebelum beliau meneliti kandungannya dan mendapatkan kelulusan daripada sayap Wanita.

“Kenyataan semalam disebar tanpa sempat saya perhalusi dan tandatangani serta Dewan Muslimat turut memutuskan untuk menangguhkan kenyataan itu kerana membawa maksud yang berbeza,” Siti Zailah dipetik sebagai berkata.

Satu kenyataan bersama kononnya oleh semua ketua sayap Wanita Pakatan Rakyat – Chong Eng (DAP), Zuraida Kamaruddin (PKR) dan PAS Siti Zailah, telah diedarkan pada Ahad, menyatakan “sokongan tanpa syarat” mereka untuk Dr Wan Azizah sebagai menteri besar.

Mereka juga mempersoalkan bantahan yang jelas terhadap Dr Wan Azizah, yang didakwa mempunyai kaitan dengan jantinanya walaupun menerima sokongan sah oleh 30 wakil rakyat bagi mengambil alih pejabat menteri besar.

“Jika Dr Wan Azizah adalah seorang lelaki, adakah dia akan tertakluk kepada layanan seperti ini? Kenapa perlu ada bantahan gangguan seperti ini kepada wanita yang menjadi menteri besar?.

“Hari ini, Wanita Pakatan Rakyat bersatu dalam menyatakan sokongan tanpa syarat kami untuk Dr Wan Azizah sebagai menteri besar Selangor.

“Kami telah bersatu untuk mengesahkan dan mengukuhkan pendirian kami bahawa Dr Wan Azizah perlu dilantik sebagai menteri besar Selangor,” kata mereka.

Mereka menambah, apabila perlembagaan negeri itu sendiri menyokong tiada diskriminasi jantina, maka adalah jelas bahawa wanita boleh menerajui negeri ini.

Mereka seterusnya berkata Dr Wan Azizah mempunyai semua keupayaan untuk memimpin kerajaan berdasarkan latar belakang akademik dan rekod beliau sebagai ahli politik.

Walaupun Siti Zailah mengakui pernah menyatakan sokongan untuk Dr Wan Azizah, beliau bagaimanapun berkata ia adalah berdasarkan keputusan awal PAS untuk mencalonkan dua nama, Dr Wan Azizah dan timbalannya Azmin Ali.

Beliau juga melahirkan rasa kecewa berhubung penyebaran kenyataan itu, memberi teguran kepada rakan-rakannya yang melepaskan kenyataan itu tanpa kelulusan beliau.

“Saya tidak mahu berbalah. Hanya Allah yang mengetahui isi hati saya. ‘Wala’ kami kepada keputusan PAS Pusat sahaja,” katanya.

Zuraida dan Chong Eng tidak dapat dihubungi untuk ulasan.
mStar Online

PAS AKAN PERTAHAN UNIT AMAL


GEORGE TOWN: PAS akan mempertahankan pasukan Unit Amal yang ditubuhkan parti itu sekiranya pasukan berkenaan dikenakan tindakan sama seperti Pasukan Peronda Sukarela (PPS) di Pulau Pinang, kata Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu. 

Ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis makan malam PAS Pulau Pinang di sini malam Isnin, Mohamad, yang juga dikenali sebagai Mat Sabu, berkata setakat ini belum ada apa-apa tindakan pihak berkuasa terhadap Unit Amal PAS itu.

Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan mana-mana pasukan atau pertubuhan yang tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) akan dikenakan tindakan sama seperti terhadap PPS di Pulau Pinang.

Pada Ahad polis menahan 156 anggota PPS termasuk pengerusi pasukan itu yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri Phee Boon Poh kerana ingkar amaran supaya tidak menjalankan sebarang aktiviti selepas pasukan itu didapati tidak berdaftar dengan ROS.

Sementara itu, Ketua Menteri Lim Guan Eng yang turut hadir pada majlis itu, dalam ucapannya berkata kerajaan negeri akan memberikan sumbangan kepada semua anggota PPS yang ditahan dan meraikan mereka dalam satu majlis sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan dan pengorbanan mereka.

"Kerajaan negeri akan memberikan RM200 sehari mengikut berapa hari mereka di dalam lokap. Kalau dua hari dia akan dapat RM400. Sumbangan ini tidak seberapa dengan pengorbanan mereka yang terpaksa berada dalam lokap," katanya.

RAKYAT PULAU PINANG BANTAH BAGI ELAUN "LOKAP" PADA AHLI PPS



Kenyataan terbaru Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng untuk memberikan elaun RM200 sehari kepada anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS) yang ditahan lokap oleh pihak polis sejak semalam adalah tidak masuk akal dan keterlaluan.
Ia terang-terang penyalahgunaan wang awam untuk membiayai aktivis parti yang ditahan polis.
Sebagai penduduk dan pembayar cukai di Pulau Pinang saya melihat tindakan Guan Eng itu satu 'jenayah' kepada kami.
Saya berpendapat ia merupakan satu tindakan yang bertentangan dengan slogan CAT yang dilaung-laungkan oleh kerajaan DAP.
Jika benar Guan Eng mahu memberikan elaun lokap kepada ahli PPS ia harus dari wang parti DAP, bukan wang kerajaan, bukan wang rakyat Pulau Pinang.
Sebagai rakyat Pulau Pinang saya menuntut Guan Eng membentangkan laporan penuh berapakah jumlah wang kerajaan yang dibelanjakan untuk PSS sejak ia ditubuhkan.
Melihat kepada jumlah ahli yang besar, uniform dan peralatan seperti cota, walkie-talkie, juga logistik, rakyat pulau Pinang curiga kerana ia memerlukan dana besar, apatah lagi ia melibatkan 30 DUN di negeri ini.
Manakala semua 30 ADUN yang menyokong tindakan ini juga telah mengkhianati amanah rakyat Pulau Pinang yang memberikan mandat mengundi mereka supaya menguruskan kewangan negeri secara berhemah.
Kenapa hanya membela kumpulan yang melanggar undang-undang yang terbukti dengan pengesahan dari pihak polis dan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Hari ini rakyat pulau Pinang kejutkan dengan fakta bahawa 11 dari lebih seratus yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau termasuk tiga dari mereka positif dadah.
Akhirnya, sebagai anak jati yang lahir, membesar dan bekerja di Tanjong, Pulau Pinang, saya amat kesal dengan propaganda murahan serta berat sebelah yang telah  diamalkan oleh  kerajaan DAP negeri ini.
Mereka melupakan janji kepada 1.5 juta rakyat Pulau Pinang selepas diberikan mandat kali kedua dalam PRU13 lalu dan kini menumpukan perhatian kepada aktivis parti DAP yang bergabung dengan PPS.
Ismail Musstaffa
-Nelayan tak bersubsidi-
1/9/2014
AGENDADAILY

WANITA PAKATAN RAKYAT SOKONG WAN AZIZAH MB SELANGOR


Wanita Pakatan Rakyat bersatu dalam menyatakan sokongan tanpa syarat untuk Datuk Seri Dr Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor. 

Demikian menurut satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh tiga ketua wanita parti tersebut iaitu, Ketua Wanita PKR Zuraidah Kamaruddin, Ketua Wanita DAP Chong Eng, Ketua Muslimat PAS Siti Zailah Mohd Yusoff. 

“Kami telah bersama-sama bersatu dan mengukuhkan sokongan Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor” kata kenyataan tersebut. 

Dalam kenyataan yang sama, Wanita Pakatan berkata majoriti menunjukkan 30 dari 43 Ahli Undangan Negeri sudah bersetuju Wan Azizah sebagai MB. 

Mereka turut mempersoalkan sekiranya Wan Azizah adalah lelaki adakah pelantikan beliau sebagai MB akan diadili. 

Dengan berbekal semangat demokrasi, Wanita Pakatan turut menekankan bahawa perlembagaan negeri tidak menyokong diskriminasi terhadap jantina dan seterusnya tidak menghalang wanita menjadi pemimpin sesebuah negeri. 

Wanita Pakatan turut menggambarkan Wan Azizah sebagai seorang wanita besi yang tabah menerima segala dugaan bersama suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta keluarga. 

“Dari tahun 1998 sehingga kini, sudah 16 tahun Wan Azizah menghadapi segala tohmahan dan dugaan pada suami dan keluarganya. 

Pilihan untuk beliau melangkah keluar dari kancah politik sentiasa ada, namun dengan sikap dedikasi kepada keluarganya, PKR dan Malaysia membuatkan beliau lebih tabah dalam perjuangannya untuk keadilan, demokrasi dan kebebasan” kata kenyataan itu lagi.

MH17 : PESAWAT MH19 BAWA 9 JENAZAH SELAMAT MENDARAT DI KLIA


SEPANG: Pesawat komersial MH19 yang membawa sembilan jenazah, termasuk dua juruterbang pesawat MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, jam 6.37 pagi ini.

Pesawat berkenaan membawa lima keranda dan empat bekas abu - tiba dari Lapangan Terbang Schiphol, Amsterdam, Belanda sebelum bergerak ke Kompleks Bunga Raya, bagi istiadat penghormatan jenazah tragedi pesawat MH17 yang dijadual diadakan jam 8.30 pagi ini.

Jenazah dua juruterbang pesawat MH17 iaitu Kapten Wan Amran Wan Hussin dan Kapten Eugene Choo Jin Leong serta dua warganegara Belanda adalah antara sembilan jenazah yang tiba pagi ini.

Semalam, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, daripada tujuh warganegara Malaysia, dua beragama Islam manakala lima lagi bukan Islam, melibatkan tiga penumpang dan empat anak kapal.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, menteri-menteri kabinet, dan waris keluarga mangsa tragedi akan menghadiri istiadat itu dan hadirin akan bertafakur selama seminit, katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Dua jenazah warga Belanda iaitu Paul Goes serta Fan Shun Po adalah penumpang MH17 dan bendera Belanda diletak masing-masing di atas keranda serta bekas abu mereka.

Lima jenazah akan dibawa ke tanah perkuburan dan tempat persemadian menggunakan kenderaan jenazah manakala empat jenazah lagi akan diterbangkan menggunakan dua helikopter EC725.

Dua jenazah akan diterbangkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang manakala masing-masing satu jenazah ke Bukit Mertajam dan Teluk Intan.

Bagi penerbangan ke Bukit Mertajam, jenazah terlebih dahulu akan dibawa ke Taman Skyline, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur dengan kenderaan jenazah sebelum diterbangkan ke Bukit Mertajam.
Bernama