ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH

Monday, 1 September 2014

TEKUP MULUT ANAK SAMPAI MATI, TANAM BELAKANG RUMAH


Bukit Katil Sepasang kekasih sanggup menanam anak mereka di belakang rumah apabila kanak-kanak berusia dua tahun itu tidak lagi bernafas selepas ditekup mulutnya, di sebuah rumah teres di Taman Bayan, di sini.

Perbuatan kejam yang dirahsiakan selama enam bulan itu bagaimanapun terbongkar selepas pasangan terbabit ditahan sepasukan polis berkaitan dadah dalam serbuan di sebuah rumah kira-kira jam 2 pagi di Sungai Mati, Muar, Johor, semalam.

Menurut sumber, rangka kanak-kanak lelaki yang dibalut dengan kain batik ditemui ditanam di dalam tanah yang sudah hitam seperti terbakar di dalam lubang sedalam kira-kira 0.3 meter di belakang rumah teres dua tingkat itu.

“Siasatan awal mendapati suspek lelaki itu, terbabit dalam kes curi kenderaan milik bapa saudaranya, seorang pesara tentera berusia 50-an, yang turut memberi keterangan memaklumkan cucu saudaranya itu dipercayai dibunuh suspek.

“Bapa saudara suspek memberikan maklumat itu selepas ibu kanak-kanak berkenaan yang pada awalnya mengaku anaknya dijaga ibu saudara, membongkar tindakan kejam kekasihnya dengan menceritakan kejadian sebenar selepas didesak,” katanya.

Menurutnya, suspek mendakwa mangsa ditanam di belakang rumah Februari lalu selepas tinggal bersama di rumah yang disewa sejak awal 2014.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Razali Abu Bakar berkata, suspek berusia 25 tahun dan pasangannya berusia 24 tahun itu dibawa ke lokasi untuk membantu siasatan.

“Rangka mangsa ditemui di dalam tanah yang ditanam berhadapan pintu belakang rumah itu selepas ia digali semula sepasukan anggota jam 7 pagi, semalam.

“Rangka itu ditemui berbalut dengan kain batik dan siasatan awal suspek lelaki itu mengaku membunuh anaknya dengan menekup mulut mangsa sehingga lemas,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, punca dan motif kejadian masih disiasat namun kedua-dua suspek ditahan reman sehingga Sabtu depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sementara itu, jiran mangsa dikenali sebagai Liza, 30-an, berkata pasangan itu yang menyewa kira-kira sebulan di situ mengaku sudah berkahwin dan kali terakhir dilihat tinggal di rumah terbabit antara Februari sehingga Mac lalu.
SuaraTV

HINA @PDRMsia : "TIADA MAAF BAGINYA, TINDAKAN AKAN DITERUSKAN" - KPN @KBAB51

"Tiada maaf baginya, tindakan akan diteruskan" - KPN

KUALA LUMPUR: Polis tetap mengambil tindakan terhadap dua pengguna laman sosial Twitter yang dikesan menghina pasukan keselamatan itu, walaupun seorang daripadanya telah memohon maaf dalam catatan laman Twitternya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata hari ini polis akan meneruskan siasatan terhadap kedua-dua mereka mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan Akta Hasutan 1948.


"Tiada maaf baginya. Tindakan akan diteruskan," katanya ketika dihubungi Bernama sebagai mengulas permohonan maaf Viktor Wong, yang menulis "Hello both @PDRMsia @KBAB51, I am retracting the suggestion on the bastardization and apologize to you and all your members of the force" (saya menarik balik cadangan mengenai 'bastardization' dan meminta maaf kepada anda dan semua anggota pasukan anda).

Semalam, Viktor Wong dalam Twitternya menulis "Bastardization of @PDRMsia. Thanks to the ruthless@KBAB51. Henrich Himmler of Malaysia".

Heinrich Himmler merupakan antara individu paling digeruni di bawah pemerintahan Nazi di Jerman.

Khalid berkata tindakan undang-undang juga tetap diambil terhadap seorang lagi individu yang menggunakan akaun Twitter Nasrul Omar walaupun dia telah memadamkan 'post' dalam laman Twitternya.

Semalam, Nasrul mengeluarkan kenyataan biadap terhadap polis dan Khalid.

MH17 : SENARAI 9 JENAZAH YANG TIBA DI MALAYSIA ESOK


SEPANG – Dua juruterbang dan seorang pembantu juruterbang antara sembilan jenazah mangsa nahas pesawat MH17 yang akan tiba ke tanah air dari Amsterdam, Belanda, pagi esok, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussin.

Mengumumkan sembilan nama berkenaan beliau berkata dua juruterbang itu ialah Kapten Wan Amran Wan Hussin dan Kapten Eugene Choo Jin Leong manakala pembantu juruterbang, Muhamad Firdaus Abdul Tahim.

“Daripada sembilan jenazah yang akan diterima esok, lima adalah dalam keranda dan empat lagi dalam bekas abu,” kata pada sidang media di sini, sebentar tadi.

Hishammuddin berkata, sembilan jenazah mangsa nahas MH17 membabitkan tujuh warganegara Malaysia dan dua rakyat Belanda.

Katanya, daripada tujuh itu dua beragama Islam manakala lima bukan beragama Islam.

“Ia membabitkan tiga penumpang dan empat anak kapal sementara dua jenazah warganegara Belanda adalah penumpang dan bukan beragama Islam,” katanya.

Berikut ialah senarai jenazah mangsa tragedi MH17 yang akan tiba di Kompleks Bunga Raya, KLIA, esok, untuk istiadat penghormatan.

Warga Malaysia:
1) Kapt Wan Amran Wan Hussin (L)
2) Subashni Jretnam (P) 
3) Kaelamayajay Goes (P) 
4) Kapt Eugene Choo Jin Leong (L) 
5) Sanjid Singh Sandhu (L) 
6) Muhd Firdaus Abdul Rahim (L) 
7) Loh Yan Hwa (P) 
Warga Belanda:
1) Paul Goes (L) 
2) Fan Shun Po (L) 

ISU MB SELANGOR : PKR, DAP DIMINTA AKUR TITAH SULTAN

alt
KUALA KRAI 1 Sept - Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP diminta menghormati titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu setiap parti dalam pakatan pembangkang mencadangkan dua nama untuk dipertimbangkan sebagai Menteri Besar Selangor.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Mohd. Amar Abdullah berkata, semua pihak harus menghormati titah sultan dalam soal pemilihan Menteri Besar baharu itu.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, ini kerana kuasa memilih Menteri Besar sesebuah negeri itu adalah tertakluk sepenuhnya kepada sultan dan ia sudah termaktub dalam perlembagaan.

"Saya berpandangan lebih semua pihak akur dengan titah sultan (mengemukakan lebih daripada dua nama), kerana di dalam perlembagaan sekalipun, kuasa memilih Menteri Besar ini diberikan kepada sultan bukan sahaja di Selangor malah di seluruh negeri.

"Sultan yang layak menentukan sesiapa sahaja menjadi Menteri Besar. Sejarah sebelum ini dapat kita lihat seperti yang berlaku di Terengganu, Pahang dan Perak.

"Saya rasa semua pihak harus sensitif dengan perkara ini dan menghormatinya," katanya kepada pemberita selepas Sambutan Ulang Tahun Hari Kemerdekaan Negara Ke-57 di Padang Kawad Batalion Ketiga Rejimen 506 Askar Wataniah, Kem Sungai Durian, semalam.

Sultan Sharafuddin baru-baru ini menitahkan Pas, DAP dan PKR masing-masing mencadangkan lebih dua nama daripada pakatan pembangkang untuk dipertimbangkan sebagai calon Menteri Besar Selangor.

Bagaimanapun PKR dan DAP tetap berkeras hanya mahu mencalonkan Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail untuk dipersembahkan kepada baginda.

Malah Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam turut membuat penegasan bahawa keputusan menamakan Wan Azizah sebagai calon tunggal Menteri Besar Selangor yang baharu adalah muktamad.

Mohd. Amar berkata, Pas tetap menghormati titah sultan dan akan mempersembahkan dua nama kepada baginda sebagai calon mengisi jawatan tersebut.

"Kita (Pas) menghormati titah sultan, sebab itu daripada awal lagi kita meletakkan dua nama sebagai calon," katanya.

Sementara itu ketika diminta mengulas mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor, Mohd. Amar berkata, Pas masih belum membuat persiapan daripada segi calon yang akan bertanding di kawasan berkenaan.

Katanya, walaupun terdapat cadangan daripada akar umbi yang mahu calon daripada Pas diketengahkan pada PRK nanti, namun ia masih belum diputuskan lagi.

"Bila ada suara daripada akar umbi mencadangkan calon Pas bertanding di DUN berkenaan, kita sampaikan kepada PKR dan kita mahu dengar reaksi mereka mengenainya.

"Mungkin akan ada pertemuan selepas ini bagi membincangkan dari hati ke hati dengan PKR mengenai calon sebelum diputuskan nanti," katanya
 
RakyatNews

PENGSAN MATA PECAH : BUDAK TERJUN SUNGAI TERTUSUK KAYU


Kota Bharu: Seorang kanak-kanak lembam berusia 12 tahun dikhuatiri buta mata sebelah kanan selepas terkena serpihan kaca cermin mata renang ketika mandi di Sungai Belahak, dekat Jeli, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu mangsa, Mohd Syazwan Afiq Mohd Zaki dikatakan terjun dari tebing sungai sebelum cermin mata renang dipakai tertusuk pada kayu di dalam sungai berkenaan. 

Kejadian itu menyebabkan serpihan kaca dari cermin mata renang itu masuk ke dalam mata mangsa sehingga menyebabkannya mengalami pendarahan teruk dan pengsan di tempat kejadian. 

Mangsa dikejarkan ke Hospital Jeli sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II)di sini untuk rawatan lanjut.

Menceritakan kejadian itu, ibu mangsa, Zarina Zawawi, 34, berkata, ketika kejadian dia bersama suami, Mohd Sayuti Hassan, 35, dalam perjalanan ke Kota Bharu untuk membeli peralatan elektrik.
myMetro

{UPDATE} LIM GUANG ENG CABAR KPN @KBAB51 DEBAT ISU PPS


GEORGE TOWN – Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pada Isnin mencabar Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk berdebat berhubung penahanan anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS).

“Bagaimana beliau ingin beri penjelasan berhubung kenyataannya (dengan melabel mereka sebagai samseng).

“Saya cabar beliau untuk berdebat mengenai isu ini, ” katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar Ibu Pejabat Polis Daerah George Town, di sini.

Pada hari Ahad, polis menahan 154 anggota PPS Pulau Pinang kerana ingkar amaran supaya tidak menjalankan sebarang aktiviti selepas mendapati pasukan itu sebuah pertubuhan haram yang tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Khalid dilaporkan berkata kesemua anggota PPS termasuk tujuh wanita itu ditahan pada pukul 10.15 pagi Ahad di kawasan Padang Kota, di sini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 Akta Pertubuhan kerana tidak berdaftar dengan ROS.
mStar Online

{UPDATE}
Ketua Menteri, Lim Guan Eng mencabar Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk berdebat secara terbuka berhubung isu penubuhan Pasukan Peronda Sukarela (PPS).

Beliau dalam nada angkuh turut mempersoalkan sama ada pihak berkuasa akan menahannya sama seperti Pengerusi PPS, Phee Boon Poh.

"Bila giliran saya akan ditangkap? Saya tunggu beliau," katanya ketika ditemui di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini pagi ini untuk memberi sokongan kepada 136 anggota PPS yang dijangka direman hari ini. - UTUSAN ONLINE



MH17 : PENGALAMAN SUKAR DILUPAKAN PEGAWAI JAKIM


SEPANG: Petugas Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang pulang ke tanah air hari ini menyifatkan pengalaman 44 hari menguruskan jenazah mangsa tragedi penerbangan MH17 Malaysia Airlines di Belanda adalah suatu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

Imam Besar Masjid Putra Putrajaya, Abdul Manaf Mat berkata dalam tempoh waktu itu petugas berhadapan dengan peralihan cuaca panas ke sejuk serta berpuasa selama 19 sehingga 20 jam.

"Semasa menguruskan jenazah apa yang saya fikirkan hanya untuk menyempurnakan kewajipan fardu kifayah," katanya kepada pemberita selepas tiba dari Amsterdam di Lapangan Terbang Antarabangsa KL di sini pagi ini.

Ketibaan Abdul Manaf yang juga Ketua Petugas Jakim bersama tiga yang lain disambut Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha.

Beliau yang berada di sana sejak 18 Julai lepas bersama sembilan petugas lain, berkata tiada perbezaan bagi menyelesaikan ibadah tersebut namun sedikit janggal kerana lokasi pengurusan jenazah jauh beribu batu di negara orang.

"Di sana bila ada kematian urusan jenazah dilakukan di satu tempat yang di khaskan tidak seperti di Malaysia kita uruskan di masjid berhampiran," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata syarikat pengurusan jenazah di Belanda juga tertarik dengan cara petugas melaksanakan pengurusan jenazah dari langkah pertama iaitu proses memandikan, kafan, sembahyang jenazah dan akhir dikebumikan.

Semasa proses pengurusan jenazah, petugas Jakim juga dibantu oleh Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) dan komuniti Islam di sana.

Seorang petugas wanita, Sitaton Mohd Osman, 56 berkata proses menguruskan jenazah wanita muslim warga tempatan dimudahkan atas doa rakyat Malaysia.

"Setiap jenazah dapat dimandikan dan dikafankan dalam masa antara setengah jam sehingga 45 minit," katanya yang juga Pembantu Hal Ehwal Islam di Bukit Aman.

Sementara itu Othman berkata seramai empat petugas Jakim termasuk dua wanita yang diketuai Imam Besar Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Putrajaya, Hazarudin Baharudin telah berada di Belanda bagi menyambung tanggungjawab menguruskan jenazah.

"Empat petugas ini mungkin akan berada di sana sehingga urusan pengurusan jenazah semua rakyat Malaysia selesai,"katanya.

Penerbangan MH17 sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika ia terhempas di wilayah Donetsk, timur Ukraine pada 17 Julai lepas.

Pesawat Boeing 777 itu, yang membawa 298 penumpang dan anak kapal, telah ditembak jatuh namun sehingga kini tiada pihak mengaku bertanggungjawab. 
mStar

DUA SISWI BERNAFSU SONGSANG DITAHAN


JOHOR BAHRU – Dua penuntut wanita institut pengajian tinggi awam (IPTA) ditahan Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) dalam serbuan operasi Ambang Merdeka, awal pagi semalam.

Meskipun pada mulanya tiada sebarang syak untuk mendakwa kedua-duanya melakukan khalwat, namun serbuan dilakukan akhirnya membongkar rahsia pasangan lesbian atau dalam Islam disebut sebagai musahaqah itu.

Serbuan sekitar jam 12.45 pagi yang dilakukan sembilan anggota dan pegawai, diketuai oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Jaij, Mohd Zamri Kambari itu menemui alat kelamin lelaki tiruan di dalam bilik berkenaan.

Ketika diketuk untuk melakukan pemeriksaan, seorang daripada mereka berpakaian lengkap memberi kerjasama dengan membuka pintu bilik hotel, manakala seorang lagi berada dalam bilik air dalam keadaan tanpa seurat benang.

Selepas anggota operasi memperkenalkan diri, kedua-dua penuntut IPTA berusia masing-masing berusia 20 dan 21 tahun itu hanya terdiam malah tergamam apabila bilik hotel dihuni mereka diserbu pihak berkuasa.

Ketika disoal siasat, salah seorang daripada mereka mendakwa alat kelamin lelaki tiruan terbabit baharu sahaja dibuka dari paket dan belum dicuba, sebaik sahaja diterima hasil pembelian secara ‘online’.

Zamri berkata, pasangan penuntut terbabit ditahan pihaknya mengikut Seksyen 26 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997 (Negeri Johor) kerana disyaki melakukan musahaqah.

“Mengikut enakmen ini, mana-mana orang perempuan yang melakukan musahaqah jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu,” katanya.

Mohd Zamri berkata, pelbagai peralatan lain termasuklah komputer riba milik pasangan penuntut wanita terbabit dirampas dalam serbuan itu.

Mereka merupakan antara lapan pasangan yang ditahan dalam serbuan Operasi Ambang Merdeka bermula 11 malam hingga 3.30 pagi di sekitar Taman Gaya, Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram, Taman Desa Cemerlang dan Taman Johor Jaya.

Kesemua pasangan yang ditahan, dibawa ke Balai Polis Johor Jaya untuk proses dokumentasi sebelum dibawa ke pejabat JAIJ untuk tindakan lanjut. 
Sinar Harian

DUA PELAJAR MAUT MOTOSIKAL DITIMPA POKOK


KUANTAN - Dua pelajar maut akibat dihempap sebatang pokok ketika masing-masing menunggang motosikal di Jalan Pintasan Kuantan di sini, lewat petang semalam.

Seorang daripada mangsa ialah penunggang motosikal jenis Yamaha, Tun Muhammad Fakharuddin Mohd Jaiilani, 19, berasal dari Taman Mutiara Mahkota, Kuantan yang juga penuntut Kolej Komuniti Indera Mahkota, Kuantan.

Seorang lagi mangsa adalah penunggang motosikal jenis Honda EX5, Muhammad Lokman Hakim Ismail, 19, dari Sungai Isap Perdana, Kuantan, seorang pelajar Tingkatan 6 sebuah sekolah menegah di Kuala Lipis.

Ketua Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, DSP Mohd Noor Yusof Ali berkata, dalam kejadian jam 6.05 petang itu kedua-dua penunggang terbabit disahkan mati di tempat kejadian.

"Kemalangan dipercayai berlaku semasa kedua-dua penunggang motosikal terbabit yang melalui jalan tersebut ditimpa sebatang pokok yang tiba-tiba tumbang dari bahu sebelah kiri jalan.

"Kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan," katanya.

Mohd Noor berkata, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan untuk bedah siasat.
BERNAMA

DUA MAUT NAHAS KERETA MITSUBISHI EVO BERLUMBA SESAMA SENDIRI

KEADAAN kereta yang terbabit kemalangan.
Dua maut manakala tiga cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kereta yang mana satu daripadanya terputus dua di Kilometer 1.3 Lebuhraya PLUS arah selatan di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 2.10 pagi itu, pemandu, 25, dan penumpang hadapan kereta yang terputus dua itu, 18, tercampak hampir 100 meter sebelum meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua lagi penumpang berusia 16 dan 17 tahun, cedera parah.
Salah sebuah kereta yang terlibat kemalangan. - foto Info Roadblock Jpj/polis
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, siasatan awal mendapati dua kereta Mitsubishi Evo itu dikesan sedang berlumba sesama mereka dalam kelajuan tinggi menghala ke arah pusat bandar raya.

Katanya, apabila tiba di lokasi kejadian, satu daripada kereta itu hilang kawalan dan berlanggar sesama sendiri sebelum melanggar satu lagi kenderaan lain yang berada di laluan kiri, arah yang sama.
"Akibat pelanggaran itu, satu daripada kenderaan terbabit terputus dua, dan pemandu serta seorang penumpang meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.
Pemandu satu lagi kereta yang berlumba itu turut cedera akibat nahas ini.
Harian Metro