ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH

Wednesday, 2 July 2014

PENJAWAT AWAM DAPAT RM500, PESARA KERAJAAN DAPAT RM250 SEBAGAI PERSIAPAN AIDILFITRI.

Sempena Aidilfitri tahun ini, kerajaan telah bersetuju untuk memberi Bayaran Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 sebagai persiapan Aidilfitri kepada penjawat awam bagi Gred 1 hingga Gred 54.

Dalam satu kenyataan hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata bayaran itu akan turut dinikmati oleh 684,000 pesara kerajaan sebagai menghargai jasa perkhidmatan dengan jumlah bayaran sebanyak RM250.
“Pembayaran bagi bantuan khas ini akan dibuat pada 15 Julai depan.
“Bayaran Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam dan pesara kerajaan ini akan membabitkan peruntukan kewangan sebanyak RM890 juta,” menurut kenyataan itu.
Najib berkata, kerajaan berharap dengan bayaran Bantuan Khas Kewangan ini dapat meringankan beban kewangan kepada penjawat awam dan pesara bagi tujuan persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

TEROWONG RUNTUH, TANAH MENDAP LUBANG BESAR DI JALAN IMBI


KUALA LUMPUR: Sebuah terowong bawah tanah yang sedang dalam pembinaan di persimpangan lampu isyarat Jalan Imbi berhampiran Jalan Pudu di sini, runtuh jam 10.38 pagi tadi, menyebabkan laluan di situ jerlus sepanjang hampir 19 meter.

Dua jentera bomba bersama 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Hang Tuah dikejarkan ke lokasi kejadian untuk kerja-kerja menyelamat.

Bagaimanapun, setakat ini tiada sebarang laporan mengenai mangsa terperangkap atau kemalangan jiwa.




TIGA BERANAK MATI LEMAS


TANAH MERAH – Lima beradik hilang tempat bergantung selepas ibu mereka maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 70.5, Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli, dekat Kampung Panglima Bayu, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.40 tengah hari, ibu kepada lima beradik itu, Nor Suzilawati Hussin, 39, mati lemas selepas kereta dipandunya terbabas sebelum terjunam ke dalam sungai.

Insiden di Sungai Rotan Tawar itu turut mengorbankan dua anak Nor Suzilawati, Iqbal Hariz Putra Ubaidullah, 5, dan Irfan Azmi Qayyum, 12.

Nor Suzilawati yang bekerja sebagai pembekal barangan runcit dan Iqbal Hariz Putra disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Batu Gajah, manakala Irfan Azmi Qayyum meninggal dunia di Hospital Tanah Merah jam 1.35 petang.

Menurut anak sulung mangsa, Ikhwan Hanif, 17, kejadian berlaku ketika ibunya dipercayai dalam perjalanan menghantar barang jualan ke kedai runcit sekitar Kampung Panglima Bayu.

“Saya tahu mengenai kejadian menimpa Umi (Nor Suzilawati) selepas dimaklumkan seorang rakan ketika berada dalam kelas,” katanya yang belajar di Sekolah Menengah Vokasional Tanah Merah.

Menurut Ikhwan Hanif, kali terakhir dia berjumpa ibunya ketika bersahur di rumah mereka di Jalan Mahsuri, Kampung Padang Siam, dekat sini, awal pagi semalam.

“Umi tidak menunjukkan sebarang perubahan cuma sejak beberapa hari lalu, dia mudah naik marah dengan kami adik-beradik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Abdul Aziz Mahmud mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku ketika Nor Suzilawati yang memandu kereta Proton Knight bersama dua anaknya dari arah Tanah Merah ke Jeli.

“Apabila sampai di tempat kejadian, kereta dinaiki mangsa dipercayai terbabas ke sebelah kiri jalan sebelum terjatuh ke dalam sungai,” katanya.
SH

PKS DIGESA DAFTAR PERNIAGAAN SEBELUM PERLAKSANAAN GST


KUALA LUMPUR – Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) digesa mendaftarkan perniagaan mereka dengan kerajaan sebelum cukai barang dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan.

Membuat gesaan itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata PKS boleh mendaftarkan perniagaan mereka dalam talian.

“PKS yang tidak terdapat dalam sistem mungkin akan kehilangan penguasaan pasaran mereka dari semasa ke semasa jika syarikat yang lebih besar memutuskan untuk membeli barangan daripada perniagaan yang berdaftar di bawah GST dan mendapat manfaat daripada kredit cukai ke atas input,” katanya kepada pemberita selepas perbincangan meja bulat dengan wakil-wakil daripada persatuan dan dewan perniagaan kebangsaan hari ini.

Mustapa berkata dianggarkan hampir 25 peratus daripada PKS (kira-kira 160,000 perniagaan) akan termasuk dalam sistem GST pada nilai jualan pendaftaran sebanyak RM500,000 setahun.

“Bagi yang tidak termasuk, PKS dinasihatkan supaya menilai keadaan dengan berhati-hati dan sukarela untuk berada dalam sistem GST berikutan banyak kelebihan dalam tempoh jangka panjang,” katanya.

Pada suku pertama 2014, kajian yang dijalankan oleh SME Corp Malaysia ke atas 2,079 responden, 84 peratus daripadanya menunjukkan mereka memerlukan latihan mengenai GST, 26 peratus berkata mereka memerlukan akses kepada perisian patuh GST, dan 25 peratus meminta insentif cukai untuk menaik taraf perkakasan teknologi komunikasi dan maklumat serta peralatan, kata Mustapa.

Di bawah Bajet 2014, kerajaan memperuntukkan RM150 juta untuk membantu PKS membeli perisian perakaunan patuh GST atau menaik taraf perisian sedia ada supaya mematuhi GST.

Mustapa berkata rundingan dengan peserta industri sedang berjalan untuk memastikan mereka mengikuti perkembangan GST.

“Perbincangan dilaksanakan pada setiap minggu untuk mengenal pasti isu yang dihadapi perniagaan, sejajar dengan matlamat komunikasi,” katanya. 
BERNAMA

Tuesday, 1 July 2014

SERANGAN SEKSUAL DI NEW ZEALAND, MINDEF SIASAT PEGAWAI MALAYSIA


PUTRAJAYA, 1 Julai (Bernama) -- Seorang pegawai Malaysia yang didakwa cuba melakukan pecah rumah dan serangan seksual terhadap seorang wanita di New Zealand, dikenal pasti bertugas sebagai Penolong Staf Pertahanan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington dan kini disiasat Kementerian Pertahanan (Mindef) di tanah air.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata pegawai itu dibawa pulang ke Malaysia pada 22 Mei bersama keluarganya selepas New Zealand menawarkan alternatif untuk menangani kes itu, yang diterima Malaysia.

Menurut beliau, sejurus tiba di tanah air dengan diiringi pegawai tinggi kementerian berkenaan, kes lelaki berusia 38 tahun itu segera disiasat Mindef.

Katanya Mindef menubuhkan sebuah Lembaga Penyiasat (BOI) bagi menyiasat kes itu secara menyeluruh dan membuat penilaian perubatan terhadap pegawai itu untuk menentukan keadaan fizikal dan mentalnya.

Pada sidang akhbar di sini Selasa, Anifah berkata pegawai itu, berpangkat Pegawai Waran II daripada Mindef, yang dihantar bertugas selama setahun di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington, ditahan polis negara itu pada 9 Mei kerana cuba melakukan pecah rumah dan serangan seksual terhadap seorang wanita.

Dia dihadapkan ke mahkamah pada 10 Mei atas tuduhan melakukan pecah rumah dan menyerang dengan niat untuk merogol.

Anifah berkata pada 12 Mei, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia mengadakan perbincangan dengan Timbalan Ketua Protokol, Kementerian Hal Ehwal Luar dan Perdagangan (MFAT) New Zealand dan para pegawai polis New Zealand berhubung perkara itu.

"Pada waktu yang sama, Kementerian Luar Malaysia juga bersedia menarik balik imuniti diplomatik tertuduh untuk membolehkan dia didakwa mengikut undang-undang New Zealand.

"Dalam perbincangan itu (pada 12 Mei), pihak New Zealand menawarkan alternatif agar tertuduh boleh dibawa pulang ke Malaysia. Kami tidak pernah berniat mengambil mudah tentang perkara ini," katanya.

Anifah berkata Mindef memberi jaminan dan komitmen bahawa ia tidak akan bertolak ansur atau menyembunyikan sebarang fakta berhubung kes ini kerana amat menyedari ia boleh menjejaskan nama baik Malaysia.

"Mindef akan bekerjasama rapat dengan New Zealand untuk mendapatkan bukti," katnya.

Beliau berkata Mindef tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap pegawai itu mengikut Akta Angkatan Tentera 1972 sekiranya terbukti di luar keraguan munasabah yang dia bertangungjawab dan melakukan salah laku yang didakwa itu.

Anifah berkata kerajaan Malaysia mengaku kejadian itu merupakan suatu perkara serius dan tidak pernah berniat untuk menyembunyikan perkara itu.

"Mengenai kejadian ini, walaupun ia kes terpencil, kerajaaan Malaysia memandangnya dengan serius dan ia tidak langsung mencerminkan tingkah laku dan integriti seluruh pegawai diplomatik Malaysia yang bertugas di di luar negara.

"Kerajaan Malaysia komited untuk memastikan wujudnya ketelusan dalam penyiasatan kes ini," katanya.

Anifah berkata Wisma Putra akan menimbang menarik balik imuniti diplomatik pegawai itu sekiranya ia "benar-benar perlu".

Katanya penarikan balik itu perlu dilakukan sekiranya New Zealand memohon ekstradisi tertuduh kerana berpendapat siasatan di Malaysia tidak dilakukan dengan sewajarnya.

"Bagaimanapun, kami mempunyai keyakinan terhadap Mindef (lembaga penyiasat)... dan mereka akan berhubung dengan pihak berkuasa New Zealand untuk mendapatkan bukti.

"Apa yang penting ialah dia perlu disiasat secara menyeluruh serta diberi peluang dengan adil. Jika dia didapati bersalah, hukuman sewajarnya perlu dikenakan," katanya.

Anifah berkata hubungan dua hala Malaysia-New Zealand tidak akan terjejas oleh kes ini kerana kedua-dua negara bekerjasam rapat dalam menanganinya.
BERNAMA

JASAD BAYI DITEMUI DALAM PARIT DI BAGAN SERAI


Bagan Serai – Penduduk kampung berhampiran Parit J, Jalan Matang Buluh, di sini, gempar berikutan penemuan jasad bayi yang cukup sifat ditemui terapung di dalam parit berhampiran sebuah sekolah, di sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 petang, mayat bayi itu dijumpai orang ramai yang lalu lalang di jambatan berdekatan kawasan ia dijumpai ketika mengambil anak mereka daripada sekolah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat bayi perempuan itu.
Katanya, mayat sudah dibawa ke Unit Forensik Hospital Parit Buntar untuk proses pengesahan sama ada bayi itu mati sewaktu dilahirkan atau dibunuh dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.
Harian Metro

BUDAK EMPAT TAHUN MATI DIKELAR BAPA SAUDARA !!!


TELUPID – Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun mati selepas lehernya dikelar bapa saudaranya dengan parang di restoran milik ibu mangsa di Kampung Gambaron dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Beluran Supt V. Sivanathan berkata lelaki berusia 23 tahun itu yang dipercayai sakit mental menggunakan parang memotong daging untuk mengelar leher Mohamad Khairul Aize Abdullah.

Kejadian berlaku kira-kira 6 petang.

Beliau berkata suspek yang merupakan adik kepada bapa mangsa telah memanggil mangsa yang sedang bermain di dalam restoran itu lalu membawanya ke belakang restoran sebelum mengelar leher mangsa.

“Mangsa yang cedera parah telah menjerit kesakitan yang jeritannya disedari keluarganya. Mereka kemudiannya membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Telupid, namun mangsa tidak dapat diselamatkan,” katanya kepada Bernama.

Sivanathan berkata suspek yang tidak melarikan diri selepas kejadian telah ditahan oleh anggota keluarga mangsa sebelum dia diserahkan kepada polis.

Katanya polis turut menemui sebilah parang yang digunakan untuk mengelar mangsa.

Beliau berkata tidak diketahui punca lelaki itu bertindak demikian dan dia kini direman. 
BERNAMA

HATI-HATI DENGAN LELAKI YANG MENYAMAR PEGAWAI KPM INI !!!

MENERUSI perkongsian di laman sosial dan aplikasi Whatsapp, tersebar satu gambar lelaki yang disyaki terlibat dalam kes pemerdagangan manusia.
Modus operansinya ialah dengan datang ke sekolah tertentu dan mengaku dirinya pegawai dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang ditugaskan untuk menguruskan pengambilan pelajar ke sekolah sukan.
Berikut merupakan info penuh mengenai gambar tersebut:
Lelaki Dakwa Pegawai KPM Dipercayai Suspek Pemerdagangan Manusia
Susulan itu, satu kenyataan akhbar telah dikeluarkan oleh pihak KPM yang menafikan pihak mereka ada menghantar wakil untuk menguruskan perihal pengambilan pelajar ke sekolah sukan di negara ini.
Ia sekaligus mengesahkan kebenaran info yang tersebar itu.
kpm
Justeru itu, diharap ibu-bapa dan pelajar yang didatangi individu seperti ini akan lebih berhati-hati dan membuat pengesahan rasmi dengan pihak atasan sebelum memberikan sebarang persetujuan.
Dibimbangi perkara seumpama ini turut menjurus kepada jenayah culik yang semakin membimbangkan pada masa kini.
MYNEWSHUB

VIDEO PERKAHWINAN MENYAYAT HATI MENJADI VIRAL DITONTON 9 JUTA



Kisah perkahwinan ini berjaya meruntunkan hati ramai setelah menonton video wedding ini. Ini kisah benar perkahwinan Rowden and Leizl.

Pasangan berasal dari Filipina ini pada asalnya ingin berkahwin pada hari lahir Rowden yang ke 30. Namun takdir menentukan segalanya, Rowden disahkan menghidap penyakit cancer atau baraj tahap 4 iaitu paling kritikal.

Melihat keadaan yang semakin teruk dan tidak bermaya, Rowden memberi hasrat dan impian terakhirnya sebelum dia pergi untuk selama-lamanya. Rowden ingin berkahwin dengan Leizl dan berharap perkahwinan dipercepatkan.

Keadaan Rowden yang lemah, membuatkan family dan sahabat mengatur perkahwinan mereka dengan segera.

Rowden dan Leizl akhirnya disatukan dan berkahwin dengan keadaan yang agak meriah. Keadaan menjadi hiba apabila keluarga dan sahabat handai menangis hiba namun tetap gembira kerana perkahwinan itu menunaikan impian terakhir Rowden.

Rowden meninggal dunia 10 jam selepas berkahwin dengan Leizl.




 hotlips-yuya.blogspot.com


KOPERAL POLIS CEDERA BERGELUT TANGKAP PENCURI KABEL


IPOH: Seorang koperal polis cedera di tangan akibat terkena pisau 'rambo' ketika bergelut dengan seorang suspek yang dipercayai mencuri kabel di Taman Seri Botani di sini.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Sum Chang Keong berkata suspek itu berusia 31 tahun yang dipercayai anggota kumpulan 'Spiderman' ditangkap ketika memanjat tangga menara pencawang telekomunikasi milik sebuah syarikat di kawasan berkenaan pada pukul 11.45 malam, 26 Jun lepas.

"Suspek tidak bekerja dari Chenderiang itu mempunyai enam rekod kesalahan jenayah lampau iaitu dua kes curi, satu kes ugutan dan tiga kes melibatkan dadah," katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.

Beliau berkata polis menahan seorang lagi suspek berusia 41 tahun yang berasal dari Kelantan di Pekan Razaki di sini pada keesokan harinya susulan penangkapan suspek pertama.

Suspek kedua juga mempunyai rekod jenayah lampau iaitu satu kes curi dan empat kes dadah, katanya.

Sum berkata kedua-dua suspek mengaku terlibat lebih 20 kes curi kabel di sekitar Ipoh dan kabel yang dicuri akan dibakar bagi mendapatkan wayar tembaga sebelum dijual kepada seorang wanita yang menetap di Kampung Kepayang di sini.

Katanya wanita berusia 57 tahun itu turut ditahan pada 27 Jun lepas kemudian dibebaskan dengan jaminan polis.

Bagi kes tersebut, polis merampas antaranya dua pasang sarung tangan, dua bilah pisau 'rambo', sebilah parang, sebuah pemotong kecil, sebuah gergaji kecil serta sebuah tong plastik mengandungi beberapa komponen kabel telekomunikasi yang dipotong dan dibakar.

Dalam perkembangan lain, Sum berkata polis menahan empat lelaki berusia 17 hingga 28 tahun pada pertengahan bulan ini, yang dipercayai anggota kumpulan 'Apan' di sekitar Ipoh dan Kuala Kangsar kerana disyaki mencuri motosikal.

"Siasatan mendapati kumpulan ini terlibat dengan tujuh kes kecurian motosikal di sekitar Ipoh dan dijual kepada rakan mereka di Kuala Kangsar," katanya.

Polis turut merampas dua buah motosikal jenis Honda EX5, tiga buah rangka motosikal jenis EX5 berwarna merah yang ditanam di dalam tanah dan sebatang besi tajam berbentuk 'Y', katanya.

Terdahulu Sum menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Bahagian Siasatan Jenayah daerah Ipoh ASP Zulkarnain Samsudin dilantik sebagai pemangku menggantikan DSP Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff yang akan bertugas sebagai penasihat keselamatan di Pejabat Perwakilan Tetap Malaysia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York.
MStar