Kritikan terbaru Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Forest City dilihat sebagai cara mencari publisiti dan tidak memahami projek pembangunan di Johor itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, mengingatkan rakyat tidak terpengaruh dengan kritikan itu dan Dr Mahathir sepatutnya tidak menumpukan kritikan kepada sebahagian kecil kawasan di Johor.
"Tun Mahathir kalau tak kritik tu bukan Tun Mahathirlah. Dia memang nak cari publisiti. Saya dah beritahu banyak kali, Forest City adalah 0.01 peratus daripada negeri Johor.
"Kenapa Tun Mahathir nak hala perhatian kepada 0.01 peratus Johor. Jadi rakyat jangan terpengaruh," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) Fasa 5 SAKJ Bandar Seri Alam 2, di sini hari ini.
Mohamed Khaled mengulas kenyataan Dr Mahathir ketika berucap dalam mesyuarat agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Sabtu lalu yang mendakwa berlaku penjualan tanah kepada orang asing di Forest City dan hasilnya digunakan untuk membayar hutang.
Sebelum ini Dr Mahathir pernah mengkritik projek Forest City dengan mendakwa kononnya seramai 700,000 warga China akan dibawa masuk ke Johor di bawah projek itu dan diberi kewarganegaraan, tuduhan yang dinafikan kerajaan.
Mohamed Khaled berkata, projek pembangunan Forest City adalah usaha kerajaan negeri membangunkan negeri ini, tambahan pula Johor tidak mempunyai sumber asli penting seperti kebanyakan negeri lain atau terletak berhampiran Lembah Klang yang pesat membangun.
Katanya, Johor tidak mempunyai sumber asli yang besar dan yang berharga seperti negeri lain, selain tidak menggalakkan penebangan balak sebagai sumber ekonomi.
"Kita tiada minyak gas, kita tidak galakkan tebang balak, kita kosong, kita tiada hasil. Jadi kita bangunkan yang kecil itu (Forest City) untuk melonjakkan pertumbuhan ekonomi Johor kerana kalau Johor tidak berlaku pertumbuhan ekonomi, kita tak boleh bawa kemajuan kepada rakyat, tidak tak boleh bina banyak lagi sekolah agama.
"Johor tiada sumber asli penting seperti Sabah, Sarawak, Terengganu dan sebagainya. Johor juga bukan seperti Selangor yang terletak di sebelah Lembah Klang sebab duit Kerajaan Pusat kutip semua belanja dekat situ, jadi Selangor dapat tempias (tetapi) Johor tidak ada.
"Johor kena fikir bagaimana cara nak bangun sendiri. Tun Mahathir tala (hala kritikan) Forest City, dia tidak membantu, dia tidak faham Johor, dia hanya faham Lembah Klang," katanya.
No comments:
Post a Comment