Pages

Saturday, 20 January 2018

PARLIMEN DIBUBAR SELEPAS PERSEMPADANAN BARU DILULUSKAN?

Syed Ahmad Fadhli menjangka Parlimen akan dibubarkan sebaik sahaja urusan persempadanan diluluskan di Dewan Rakyat atau setelah sidang tamat pada 5 April nanti.

Untuk rekod,  katanya, Parlimen pernah dibubarkan oleh Tun  Dr Mahathir Mohamad pada 10 November 1999 ketika Dewan  Rakyat masih lagi bersidang bajet.  

Katanya, agenda utama persidangan Dewan Rakyat dari 5 Mac hingga 5 April depan  adalah berkaitan “Kajian Semula Persempadanan Bahagian-bahagian Pilihan Raya Parlimen dan Negeri bagi Semenanjung dan Sabah”.

Sebelum ini, kata Pegawai Lajnah Hal Ehwal Parlimen PAS itu, ramai yang menyangka, Parlimen sudah pun tamat bersidang pada penghujung tahun 2017 dan hanya menanti masa untuk dibubarkan.

Rupa-rupanya, ujar beliau, bermula 5 Mac 2018 Parlimen akan bersidang lagi untuk Penggal Keenam pula.

“Ia agak luar biasa kerana kebiasaannya Parlimen bersidang sehingga penggal kelima sahaja, tidak pernah lagi bersidang sehingga penggal keenam,” katanya menulis dalam Harakah, lidah rasmi PAS hari ini.

“Namun, ia tidaklah menjadi kesalahan kerana sesi Parlimen Ketiga Belas masih belum tamat tempoh kuasanya dan ia hanya akan terbubar secara automatik apabila genap 5 tahun iaitu 24 Jun 2018,” katanya.

Kali terakhir urusan persempadanan ini dibuat pada tahun 2003 iaitu 15 tahun dahulu.

Perlembagaan Malaysia membenarkan urusan persempadanan dibuat bagi tempoh minimum setiap lapan tahun sekali atau sekiranya berlaku pewujudan wilayah baru, atau penambahan/pengurangan bilangan kerusi dewan.

Urusan Kajian Semula Persempadanan merupakan suatu kajian dan semakan untuk melihat semula kesesuaian sempadan-sempadan Bahagian Pilihan Raya sedia ada bagi memudahkan urusan pentadbiran pilihan raya dan pendaftaran pemilih pada masa akan datang.

Ujarnya, ketika zaman Barisan Nasional (BN) memerintah dengan mandat majoriti  dua per tiga dahulu, urusan persempadanan ini tidaklah susah kerana kerajaan dengan mudah dapat menambah bilangan kerusi Parlimen sekaligus meminda Perlembagaan.

Sejarah menunjukkan, urusan persempadanan sudah dibuat sebanyak lima kali bagi Semenanjung (Tanah Melayu) iaitu pada tahun 1958, 1974, 1984, 1994, dan 2003.

Bagi Negeri Sabah, urusan persempadanannya hampir sama dengan Semenanjung iaitu pada tahun 1966, 1974, 1984, 1994, dan 2003.

Bagi Negeri Sarawak pula urusan persempadanan sudah enam kali iaitu pada tahun 1968, 1977, 1987, 1996, 2005 dan 2015.

Jumlah kerusi Parlimen Tanah Melayu pada asasnya ialah 104 kerusi pada tahun 1958 dan ia bertambah menjadi 154 kerusi pada tahun 1974 apabila dicampur dengan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak.

Kerusi Parlimen terus bertambah menjadi 180 kerusi pada persempadanan tahun 1984, 193 kerusi pada tahun 1994 dan 222 kerusi pada tahun 2003.

Ketika di penghujung era pentadbiran Tun Mahathir dahulu, persempadanan kali terakhir dibuat pada tahun 2003. Ia diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 08 April 2003 dan RUU Pindaan Perlembagaan diluluskan pada 24 Jun 2003.

“Apabila hari ini Tun Mahathir bising mengenai sikap berat-sebelah SPR, ia sebenarnya makin menzahirkan betapa hipokritnya Tun M,” katanya.

“Bukankah ketika dia menjadi PM dahulu, SPR diperguna untuk melakar sempadan bagi menguntungkan UMNO-BN agar terus kekal berkuasa?,” tambahnya.

“Mengapa negeri Melayu seperti Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang sering dianggap sebagai tempat suburnya kekuatan PAS dinafikan hak untuk mendapat pertambahan kerusi Parlimen?,” tanya Syed Ahmad.

No comments:

Post a Comment