Pages

Saturday, 6 January 2018

MALAYSIA AMBIL LANGKAH TEPAT PERKENAL GST


Langkah Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) memperkenalkan cukai tambah nilai (VAT) menunjukkan negara mengambil langkah tepat apabila memperkenalkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) sejak April 2015.
Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA), Abd Aziz Abu Bakar, berkata ia dapat menolak tanggapan negatif yang dilemparkan oleh sesetengah pihak terhadap sistem GST yang diperkenalkan negara.
"Sudah tentu apabila kerajaan Arab Saudi dan UAE ingin memperkenalkan VAT, mereka sudah mempertimbangkan soal halal haram mengenai sistem percukaian.
"Apabila negara yang kaya dengan sumber minyak seperti Arab Saudi dan UAE juga memperkenalkan sistem cukai, ia menunjukkan mereka tidak mampu bergantung sepenuhnya kepada sumber petroleum terbabit.
"Minyak dan gas adalah sumber terhad yang mana akan kehabisan, cuma tidak tahu berapa lama lagi akan bertahan. Negara ini terpaksa mencari sumber baharu, jadi VAT diperkenalkan untuk menampung pendapatan negara," katanya ketika dihubungi BH.
VAT diperkenalkan di Arab Saudi dan UAE buat kali pertama pada bermula semalam, dengan lima peratus dikenakan terhadap kebanyakan barangan dan perkhidmatan.
Selain VAT, Arab Saudi kini juga memasukkan cukai ke atas tembakau dan minuman ringan serta memotong sesetengah subsidi yang ditawarkan kepada penduduk tempatan.
Di UAE, tol jalan raya dinaikkan, manakala cukai pelancongan diperkenalkan.
Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata VAT mempunyai konsep sama dengan GST, yang mempunyai sistem percukaian lebih menyeluruh.
"Banyak negara mengkaji sistem percukaian yang terbaik dan ternyata GST adalah penyelesaian kepada masalah yang berlaku dalam sistem percukaian di sesebuah negara.
"Walaupun GST dilihat sedikit menekan golongan berpendapatan rendah dan sederhana, sistem percukaian yang menyeluruh ini dapat mengesan peniaga yang culas daripada membayar cukai.
"Malah, kebanyakan negara sekarang sudah beralih kepada GST. Langkah ini dituruti oleh Arab Saudi dan UAE apabila memperkenalkan VAT. Ia mempunyai konsep yang sama dengan GST," katanya

No comments:

Post a Comment