Pages

Monday, 9 May 2016

WARTAWAN HIBURAN KONGSI KISAH TELEFON MELETUP, KELUAR API JADI VIRAL


PETALING JAYA: Seorang wartawan hiburan yang berkongsi kisah ngeri di Facebook ketika telefon genggam dicas anaknya meletup lalu mengeluarkan api menjadi viral apabila peristiwa tersebut dikongsi lebih 19,000 pengikut laman sosial itu.

Perkongsian itu sehingga Sabtu turut mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai apabila lebih 7,000 komen ditinggalkan.

Tengku Khalidah Tengku Bidin, 42, yang merupakan editor hiburan Utusan Malaysia berkata, kejadian malang itu berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi Sabtu ketika anak gadisnya dikenali sebagai Dina mengecas telefon genggam di sebuah bilik rumah mereka di Setiawangsa dekat sini.

Bagaimanapun selepas setengah jam kemudian, telefon berkenaan meletup lalu mengeluarkan api sehingga turut menyambar bantal yang digunakan bagi melapik alat telekomunikasi itu.

“Saya di dapur, terkejut bila anak menjerit-jerit, api... api. Api menjulang dari hand phone (HP) berasap-asap. Nasib kami sangat baik sebab HP tu memang tak ada siapa yang pegang. Memang saya selalu ingatkan anak, masa HP sedang cas tak boleh guna,” katanya dalam laman Facebook miliknya pada Sabtu.

Tambahnya, semasa kejadian dia melihat api menjulang keluar dari telefon berkenaan selain mengeluarkan asap yang banyak.

Ketika itu dia sempat bergegas menutup suis utama elektrik rumahnya bagi mengelakkan berlakunya litar pintas.

Dalam pada itu Tengku Khalidah yang juga Presiden, Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) kepada mStar Online berkata, perkongsian kisah ngerinya adalah sebagai pengajaran buat diri sendiri selain meminta orang ramai mengambil iktibar atas apa yang berlaku.

Ujarnya, dia mengesyaki kejadian itu berpunca daripada masalah bateri telefon berkenaan yang berkemungkinan sudah lemah sehingga ia meletup apabila dicas.

Bagaimanapun dia bersyukur kejadian itu tidak menyebabkan kemalangan jiwa.

"Saya meminta orang ramai agar lebih berhati-hati ketika mengecas hand phone masing-masing agar kejadian sama tidak berulang.  Ambillah ia sebagai pengajaran agar kita dapat hindari kemalangan yang kita tidak jangkakan," katanya.
mStar

No comments:

Post a Comment