Paras air Sungai Golok dekat Rantau Panjang yang semakin surut akibat kemarau menyebabkan dasarnya semakin cetek.
Ini dapat dilihat di sepanjang pekan Rantau Panjang, yang mana paras airnya kini sedalam paras lutut orang dewasa atau kira-kira 0.4 meter.
Keadaan itu diambil kesempatan oleh ribuan penduduk sama ada di pekan Rantau Panjang dan pekan Golok, Thailand berulang alik menyeberang sungai dengan berjalan kaki sahaja.
Sungai Golok adalah sempadan pemisah antara Kelantan dengan Thailand bermula dari Pengkalan Kubur, Tumpat (Tak Bai, Thailand) ke Jeli, Kelantan (Buketa, Thailand).
Pada hari biasa jika tidak berlaku kemarau panjang, sungai ini antara paling sibuk dengan pengangkutan air seperti perahu, yang berulang alik membawa penumpang serta barang dagangan.
Bagaimanapun, sejak tiga bulan lalu, musim kemarau yang panjang melanda Kelantan akibat cuaca panas El-Nino menyaksikan paras air Sungai Golok menyusut secara mendadak.
Pada kesempatan itu, ribuan penduduk dari kedua-dua pekan berkenaan menggunakan peluang itu untuk berpesta. Mereka turun bermain air dan mandi manda di sungai itu secara beramai-ramai, di samping mengeratkan silaturahim antara mereka yang bersaudara.
Suasana meriah ini sempat dirakam di sekitar Pengkalan Tok Che Ngah atau Pengkalan Pasir Rantau Panjang, apabila penduduk berhampiran dari tebing Rantau Panjang dan tebing pekan Golok berpesta di sepanjang sungai itu.
Keadaan ini boleh dikatakan jarang berlaku sebab itu kebanyakan penduduk mengambil kesempatan bermain air.
Namun, pasukan keselamatan dari kedua-dua pihak turut mengambil langkah keselamatan bagi mengelak penduduk dari pekan Golok memasuki negeri ini secara tidak sah.
Begitu juga dengan pasukan keselamatan Thailand. Mereka tetap menjalankan tugas bagi memastikan tidak berlaku kejadian pencerobohan. - MalaysiaGazette
No comments:
Post a Comment