Pages

Monday, 7 March 2016

USAHA PECAT MUHYIDDIN, MUKHRIZ BERMULA



Usaha untuk memecat Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir daripada Umno mula dilakukan selepas kedua-dua mereka menandatangani deklarasi rakyat menyeru penyingkiran perdana menteri.

Dua ahli Majlis Tertinggi Umno telah memulakan langkah berkenaan dengan menggesa kepimpinan parti untuk memecat bekas timbalan perdana menteri dan bekas menteri besar Kedah berkenaan pada mesyuarat badan itu nanti.

Pada masa yang sama, dua bahagian Umno - Subang dan Bera - telah menggesa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilucutkan semua keistimewaan yang diberikan kepadanya oleh Kerajaan, termasuk jawatan sebagai penasihat kepada Petronas dan Pengerusi Proton dan Yayasan Kepimpinan Perdana.

Umno Bahagian Subang juga menggesa parti dan Barisan Nasional (BN) untuk menganjurkan perhimpunan bagi menunjukkan sokongan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak pada 27 Mac - hari yang sama kumpulan anti-Najib dijadual mengadakan satu perhimpunan untuk memberi tekanan kepadanya untuk berhenti.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata beliau akan mencadangkan usul untuk memecat Muhyiddin dan Mukhriz dalam mesyuarat akan datang, yang dijangka diadakan pada akhir bulan ini.

Puad berkata penyertaan Muhyiddin dan Mukhriz dalam perisytiharan untuk menggulingkan Perdana Menteri boleh "tidak akan dimaafkan".

"Keputusan mereka untuk 'bersekongkol' dengan DAP telah dilakukan dengan sengaja. Ia adalah satu pengkhianatan terhadap apa yang telah diperjuangkan Umno selama ini, iaitu untuk menolak agenda DAP," katanya.

Pada Jumaat lalu, Dr Mahathir, Muhyiddin dan Mukhriz adalah antara lebih 50 ahli politik termasuk dari aktivis pembangkang dan masyarakat sivil menandatangani perisytiharan itu.

Mukhriz meletak jawatan sebagai menteri besar Kedah pada 3 Februari manakala Muhyiddin digantung sebagai Timbalan Presiden Umno pada 26 Februari lalu.

Namun kedua-duanya mereka masih kekal sebagai ahli Umno.

Dr Mahathir keluar Umno pada 29 Februari lepas - kali kedua selepas yang pertama pada 2008.

Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Nazri Aziz berkata, Muhyiddin dan Mukhriz perlu disingkirkan daripada Umno kerana mereka telah melampaui batas.

Seorang lagi ahli MT, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata parti itu perlu melakukan apa yang ia lakukan terhadap ahli-ahli yang menentang pemimpin tertingginya pada masa lalu.
mStar

No comments:

Post a Comment