Pages

Thursday, 11 February 2016

TPM MAHU USAHA DAKWAH MELALUI INTERNET DIPERLUAS


PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa supaya penyebaran dan usaha dakwah melalui internet diperluaskan seiring penggunaan media tradisional.
Beliau berkata penyampaian dakwah melalui internet merentasi sempadan serta mampu menyasarkan segenap lapisan bangsa.
"Melalui kaedah ini, pelbagai keperluan semasa umat Islam dapat dicurahkan mengikut cita rasa semasa yang sesuai dengan ajaran Islam," katanya dalam kenyataan yang diedarkan sempena Mesyuarat Jawatankuasa Induk Majlis Perundingan Islam (MPI) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, Khamis.
Mesyuarat lebih dua jam yang dipengerusikan beliau itu turut dihadiri Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapha.
Katanya, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ledakan media baharu dikenal pasti antara punca berlakunya pelbagai krisis dalam masyarakat, dan peredaran maklumat dari pelbagai saluran media massa tidak berautoriti menyebabkan sesetengah isu mudah diputar belit pihak tidak bertanggungjawab.
"Kita dapati sebahagian isu-isu bersifat terpencil sering kali diperbesarkan untuk memburukkan imej Islam dan melakukan 'pembunuhan karakter' terhadap institusi agama, ketua jabatan agama, para mufti dan juga ilmuan Islam," katanya.
Ahmad Zahid berkata walaupun usaha yang diambil pihak berkuasa agama dilihat dapat mengawal arus berita palsu, namun dalam masa yang sama berita yang berunsur negatif masih tetap dihebahkan.
Ini katanya, merupakan cabaran yang perlu diambil para pendakwah untuk berdakwah bagi mengikis sikap tersebut dalam kalangan masyarakat sama ada melalui media massa, elektronik mahupun media sosial.
Ahmad Zahid turut menekankan penggunaan media baharu dalam Islam harus lebih menekankan konsep ketakwaan dan menjadikan Islam sebagai acuan kehidupan.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri dalam pada itu berkata isu liberalisme yang menyemarakkan penularan ajaran sesat seperti Syiah dan Qadiani perlu disekat bagi menghalang pengembangan pemikiran dan fahaman yang bercanggah dengan ajaran Ahli Sunnah Wal-Jamaah.
Ahmad Zahid berkata, fahaman Syiah di negara ini masih berleluasa dengan kemasukan kumpulan tertentu yang menjadikan para pelajar sebagai golongan sasar, namun menegaskan bahawa pemantauan berterusan terhadap aktiviti berkaitan penyebaran fahaman itu tetap terus dipertingkat dalam mengekang penularannya.
Kerajaan melalui Jakim juga mengambil perhatian khusus dalam menyekat pengaruh dan pengembangan ideologi Daesh yang dilihat membimbangkan dengan melaksanakan siri penjelasan bersama-sama agensi agama negeri-negeri, katanya.
"Kerajaan mengambil serius perkara ini dan segala usaha berterusan secara bersepadu antara semua agensi keselamatan negara dipertingkat bagi memastikan gerakan militan tidak bertapak di negara ini," katanya.
MPI yang dianggotai tokoh dari pelbagai latar belakang meliputi ahli agama, ahli akademik, tokoh korporat dan pemimpin badan bukan kerajaan berperanan sebagai kumpulan pemikir bagi membantu kerajaan dalam memberikan idea dan cadangan ke arah melaksanakan agenda pembangunan negara menurut landasan syarak.
Bernama

No comments:

Post a Comment