Pages

Monday 1 February 2016

KAKU SUJUD MENGHADAP KIBLAT


Gua Musang: “Mungkin arwah teringat dia belum solat Zuhur ketika itu atau mungkin juga dia menanggung kesakitan di kepalanya.
“Apapun saya reda dengan pemergiannya dan berdoa dia dalam keadaan baik ketika nyawanya diambil,” kata Che Zaharah Awang Kecil, 65.
Suaminya, Arifin Che Long, 74, maut dalam kemalangan langgar lari di Kilometer 30, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat simpang Rancangan Tanah FELDA Chiku Satu, di sini, kelmarin.
Kemalangan berlaku jam 12.30 tengah hari ketika Arifin menunggang motosikal seorang diri untuk pulang ke rumah di Chiku Satu dan dipercayai dirempuh kenderaan dari arah belakang sebelum terpelanting dalam semak di bahu jalan.
Difahamkan, sejurus kejadian, warga emas itu sempat merangkak keluar dari semak dan melutut di bahu jalan dalam keadaan berlumuran darah.
Bagaimanapun, beberapa minit selepas itu, dia ditemui orang ramai tidak bernyawa dalam keadaan sujud dan menghadap kiblat.
Che Zaharah berkata, arwah suaminya dalam perjalanan pulang ke rumah dari kebun sawitnya yang terletak di Jalan FELDA Perasu, tiga kilometer dari kediaman mereka.
“Sekurang-kurangnya tiga kali seminggu, suami ke kebun melihat tanaman dan pulang ke rumah sebelum jam 1 tengah hari untuk solat di surau berdekatan rumah.
“Itu rutin harian dilakukan sejak dulu lagi dan kami sekeluarga turut serta solat berjemaah di surau. Kadangkala jika imam tiada, suami ganti menjadi imam.
“Sebab itu apabila dimaklumkan arwah dalam keadaan sujud ketika ditemui, saya anggap dia teringat dia perlu solat Zuhur,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Anak sulung arwah, Farizi Arifin, 42, berkata, arwah bapanya berkeadaan biasa ketika keluar rumah pada jam 10 pagi untuk ke kebun sawit.
Katanya, Arifin juga tidak mempunyai penyakit kronik sama ada darah tinggi, kencing manis mahupun jantung.
“Kami sekeluarga pasrah dengan kejadian ini dan berharap individu melanggar ayah dikesan dan dikenakan tindakan segera,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Saiful Bahri Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang, di sini, untuk dibedah siasat.
Beliau berkata, pihaknya masih mengesan kenderaan yang dipercayai melanggar mangsa dan berharap orang ramai yang melihat kejadian supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah di talian 09-9121222.
HMetro

No comments:

Post a Comment