Pages

Wednesday, 17 February 2016

5 GAMBAR : EMPAT SAHABAT HILANG DITEMUI MATI KEMALANGAN DALAM KERETA

Selepas tujuh hari dilaporkan hilang, empat sahabat ditemui meninggal dunia di dalam kereta yang terjunam ke dalam sungai berhampiran ladang kelapa sawit di Felda Tenggaroh di Kilometer 42, Jalan Kota Tinggi-Mersing pagi Rabu.
Kereta Honda Accord itu ditemui dalam sungai oleh pekerja ladang berkenaan pada jam 9.20 pagi tadi sebelum menghubungi polis.
Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan M Kumar ketika ditemui di lokasi kejadian, berkata empat mayat dalam kereta itu dibawa ke Hospital Mersing.
"Kita masih menjalankan siasatan dan akan mendapatkan keterangan daripada pihak keluarga remaja berkenaan selepas membuat pengecaman.
"Berdasarkan siasatan awal, polis percaya kereta itu terbabas sebelum terjunam ke dalam sungai," katanya.
Empat remaja itu dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan dari rumah mereka di Bandar Seri Alam ke Terengganu untuk bercuti.
Semua mereka yang berusia 21 tahun itu dikenali sebagai Luqman Jainie, Abu Izzani Abu Bakar, Nik Shakir Zufayri dan Muhammad Asyraf Isa.
Siasatan polis mendapati mereka bertolak dari Seri Alam, di sini, kira-kira jam 9.30 malam Rabu lalu dengan menaiki kereta Honda Accord menuju ke Terengganu.
Mereka dipercayai melalui jalan Johor Bahru-Kota Tinggi-Mersing-Rompin untuk bercuti ke lokasi yang masih belum diketahui secara tepat.
Namun, selepas dua jam bertolak kira-kira jam 11.30 malam, mereka gagal dihubungi melalui talian telefon bimbit.
Pada Selasa,  ibu Abu Izzani, Molek Mohd Yusoff, 50, memberitahu media, tiga lagi yang dilaporkan hilang adalah rakan-rakan kepada anaknya yang membesar bersama-sama.
"Mereka sepatutnya bertemu dengan salah seorang sepupunya di Kuantan sebelum meneruskan perjalanan.
"Saya benar-benar bimbang dengan nasib anak sulung saya dan kawan-kawannya kerana mereka tidak dapat dihubungi. Saya harap mereka selamat dan akan ditemui tidak lama lagi," katanya.
Molek berkata Abu Izzani adalah seorang pelajar di UniKL MITEC, Nik Syakir Zufayri di Institut Sains Darul Takzim (Instedt), Muhammad Asyraf di Akademi Saga di Shah Alam manakala Luqman bekerja di sebuah pasar raya di Plentong.



No comments:

Post a Comment