Pages

Sunday, 29 November 2015

PELAJAR PONTENG SEKOLAH JAGA IBU SAKIT



PASIR MAS - Seorang remaja terpaksa ponteng sekolah semata-mata mahu menjaga ibunya yang koma dipercayai akibat serangan asma di rumah mereka di Kampung Pengkalan Batu, di sini sejak enam bulan lalu.

Mohammad Idham Mohd. Noor, 16, berkata, dia terpaksa ponteng sekolah demi menjaga ibunya, Zabedah Mat Hashim, 53, kerana hanya itu sahaja pilihan yang ada memandangkan seorang adiknya yang berusia 11 tahun juga bersekolah.

Menurut anak sulung daripada dua beradik itu, dia hanya ke sekolah selama tiga hari dalam se­minggu iaitu apabila bapa saudaranya, Amran Hashim, 50, yang masih bujang dan tinggal bersama mereka tidak keluar bekerja.

Kata Mohammad Idham, bapa­nya pula gagal dikesan selepas bercerai dengan ibunya 10 tahun lalu.

"Bapa saudara bekerja di kilang roti, jika dia cuti baru saya ke sekolah. Bila dia bekerja, saya terpaksa menjaga ibu kerana hanya itu sahaja cara yang ada.

"Dalam keadaan sekarang saya tidak boleh tinggalkan ibu seorang diri. Begitupun, saya lega apabila bapa saudara turut membantu menjaga ibu dan pihak sekolah faham masalah ini," katanya.

Mohammad Idham memberitahu, mereka sekeluarga kini bergantung hidup kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM200 sebulan yang diberikan kepada ibunya.

"Selain itu, bapa saudara menjadi tempat kami bergantung walaupun dia hanya bekerja di kilang roti dan berpendapatan RM20 sehari.

"Dengan pendapatan tersebut kami perlu menyediakan kelengkapan ibu seperti susu yang berharga RM80 setin serta lampin pakai buang. Setin susu pula hanya bertahan selama seminggu," katanya.

Mohammad Idham berkata, kali terakhir dia bercakap dengan ibunya seminggu sebelum umat Islam menyambut Ramadan.

"Ibu memberitahu dia penat dan mahu berehat. Selepas itu, dia yang mempunyai penyakit asma me­ngalami sesak nafas dan pengsan. Dia koma dan dirawat di hospital selama dua minggu, namun belum sedar sehingga ke hari ini," katanya.

Sebelum koma, Zabedah bersama dua anaknya berniaga kuih secara kecil-kecilan di sekitar kampung bagi menyara hidup mereka tiga beranak.

Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan boleh menyalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 03007-41-00015411-3 atas nama Mohammad Idham.

No comments:

Post a Comment