Pages

Thursday, 15 October 2015

"SAYA NYARIS JADI JUTAWAN"

Datuk Abdul Jalil Ali

PESANAN yang saya terima menerusi e-mail pagi itu memang amat menggembirakan. Tanpa hujan, tanpa ribut, fulus tiba-tiba akan masuk. Agaknya ini yang orang kata tuah datang menggolek.

Pengirimnya ialah Lavia Shafie, seorang wanita rakyat Malaysia yang kini menetap di UK. Pesanan bahasa Inggeris dalam e-mail itu agak panjang, tetapi fakta ringkasnya adalah seperti berikut:

Pertama, suaminya – warga British – telah tiga tahun meninggal dunia. Hmmm, janda mat salih, menarik juga. Kedua, arwah suaminya meninggalkan wang tunai dalam akaun bank berjumlah 12 juta Pound Sterling.

Ketiga, dia hendak pulang ke Malaysia dan memindahkan peninggalan suaminya itu ke sebuah bank di KL. Tetapi, dia tidak boleh membuka akaun bank di negara ini. Keempat, dia mahu menggunakan akaun bank saya untuk memasukkan semua duit arwah suaminya.

Kelima – ini yang paling menarik dan menggoda – atas kerjasama menggunakan akaun bank saya itu, saya akan diberi 2 juta Pound Sterling. Katanya pada akhir e-email: “Sila nyatakan nama penuh anda, alamat terkini, dan nombor akaun bank.”

Saya akan jadi jutawan segera. Bukan jutawan RM tetapi jutawan Pound Sterling. Kalau semuanya beres saya akan mendapat 2 juta duit orang putih. Kalau pada kadar 5.0 pun, saya sudah kaya RM10 juta.

Kadar terkini ketika rencana ini ditulis ialah 6.3. Ertinya saya ada lebih RM12 juta, sekali gus layak – dan isteri tidak boleh melarang! – sekiranya saya hendak membuka cawangan di mana-mana, malah untuk mencukupkan kuota yang masih kosong itu.

Tetapi, tidak mudah untuk saya cepat tergoda dengan janda orang putih itu. Mula-mula saya bertanya diri sendiri, siapakah wanita yang sekian lama menetap di negara salji, dan kini hendak balik semula ke negeri jerebu?

Seingat saya, sudah menjangkau siri 6 sekarang, saya tidak mempunyai saudara atau waris yang tinggal di England. Tidak masuk akal Lavia ada hubungan keluarga, bau-bau bacang pun mustahil. Saya pasti betul janda ini bukan anak arwah pakcik saya yang bernama Shafie!

Apa yang lebih menghairankan saya ialah bagaimana janda kaya ini boleh mengenali dan memilih saya untuk berkongsi harta pusaka? Bukan sedikit tetapi berjuta-juta Pound Sterling.

Saya bukanlah Barack Obama atau Benjamin Netanyahu, Jokowi pun tidak. Orang Malaysia pun tidak kenal saya, macam mana seorang janda di UK boleh terpikat dengan saya?

Soalan-soalan ini meyakinkan saya bahawa ‘Lavia & 12 juta Pound Sterling’ adalah auta semata-mata. Lagi pun dulu, kini dan selamanya saya selalu percaya tidak ada orang, termasuk yang sewel, boleh dengan mudah memberi saya wang sebanyak itu.

Saya bersyukur sentiasa diberi kewarasan, tidak mudah tergoda dan tertipu.

Tetapi, ramai juga orang kita yang cepat tergoda dan akhirnya ditipu hidup-hidup oleh sekian banyak kes yang serupa dengan Lavia. Penipuan menerusi internet bukan benda baru, dan terjadi hampir setiap hari.

Seperti yang semua orang tahu, dari semasa ke semasa media menyiarkan berita dan gambar mengenai penipuan seperti ini oleh pelbagai sindiket, antaranya Phone Scam, African Scam, Macau Scam, Love Scam.

Beribu orang, termasuk golongan profesional, telah menjadi mangsa. Polis memberitahu setakat ini lebih 1,750 individu dilapor menjadi mangsa sindiket penipuan internet.

Menarik – dan tanpa prejudis jantina – wanita lebih ramai (1,205) tergoda berbanding lelaki (545). Apakah ini membuktikan kaum Hawa lebih suka bertonyeh di alam maya, dan cepat tergoda? Saya tidak pasti, dan tidak berani komen.

Apa yang pasti, menurut polis, sindiket terancang ini telah menipu mangsa dan membabitkan kerugian berjumlah lebih RM68 juta.

Sindiket ini masih berleluasa. Beberapa telah dikesan dan ditangkap, tetapi banyak lagi sedang mencari mangsa di luar sana. Polis menasihati orang ramai, khasnya wanita, jangan mudah percaya dan tertipu di internet.

Mengenai e-mail daripada janda orang putih itu, saya tidak memberi apa-apa butiran yang diminta. Tetapi saya membalas, dengan penuh sopan:

“Mohon banyak maaf, tawaran puan sebanyak 2 juta Pound Sterling itu terlalu kecil untuk saya. Saya hanya akan tertarik sekiranya tawaran itu dibuat dalam mata wang Malaysia, dan jumlahnya mesti melebihi RM2.6 bilion.”

Kalau dia tidak membalas e-mail saya pun, saya tidak kisah. Puas hati saya.
Datuk Abdul Jalil Ali - SH

No comments:

Post a Comment