Gambar hiasan |
KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan sedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah bernilai lebih RM5 juta terhadap seorang Adun yang mempunyai hubung kait dengan kegiatan pembalakan di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, sejak pemerintahan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (bekas Menteri Besar Kelantan), Kelantan begitu terbuka dalam setiap isu yang dibangkitkan.
“Kalau sudah bawa kepada SPRM kita serah pada SPRM, kerajaan Kelantan terbuka, sejak dari zaman Tok Guru (bekas Menteri Besar, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) kita sentiasa terbuka.
“Kita akan memberikan kerjasama dan tidak akan melindungi mana-mana pihak sekiranya didapati terlibat, kerajaan negeri penuh integriti,” katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini, hari ini.
Sebelum ini satu aduan rasmi berkaitan dakwaan rasuah bernilai lebih RM5 juta terhadap Adun itu telah difailkan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) bersama wakil pengundi muda luar Kelantan.
Wakil pengundi muda luar, Mohd Afiq Ayob dipetik sebagai berkata, beliau yakin SPRM dapat menjalankan siasatan dengan bantuan 50 helaian dokumen yang menjadi bukti untuk menyelesaikan hampir separuh daripada kes ini.
"Dokumen yang saya serahkan terkandung atau menyatakan dengan jelas wujudnya transaksi melibatkan pembayaran wang kepada seorang Adun Kerajaan Negeri, 'sumbangan' kenderaan Toyota Fortuner termasuk salinan perjanjian jual belinya, dan pembayaran perbelanjaan ke luar negara seorang exco negeri Kelantan.
"Dokumen tersebut turut mendedahkan mengenai 'sumbangan' RM32,000 berbentuk lembu korban ke kawasan seorang Adun kerajaan negeri, ‘sumbangan’ ‘tiles’ untuk lantai bagi ubah suai bernilai RM34,544.80 termasuk invoice penghantaran yang mana bilnya dibayar oleh sebuah syarikat yang terlibat pembalakan dan mendedahkan pembayaran melalui peguam bernilai RM1 juta. Dokumen berbentuk resit dan salinan cek disertakan.
"Selain itu, dokumen tersebut turut mendedahkan mengenai satu dokumen pembayaran tunai atas nama anak syarikat kerajaan negeri kepada seorang yang berpangkat Datuk yang menggunakan alamat Istana Negara bernilai RM150,000 yang tercatat baki bernilai RM4,850,000 (RM4.85 juta). Salinan cek pembayaran kepada seorang yang berpangkat Datuk bernilai RM1juta."
No comments:
Post a Comment