Pages

Thursday 10 September 2015

GUANG ENG DESAK PKR PERJELAS ALASAN MAHU BEKERJASAMA DENGAN PAS



Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali didesak memperjelaskan kepada penyokong pembangkang berhubung keputusan parti itu untuk terus bekerjasama dengan Pas.

Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatannya, Lim Guan Eng berkata, Mohamed Azmin mungkin mempunyai alasan tersendiri dengan keputusan untuk meneruskan kerjasama tersebut.

Menurut beliau, pendirian DAP adalah jelas iaitu tidak lagi akan bekerjasama dengan Pas yang didakwa terlebih dahulu memutuskan hubungan dengan parti tersebut.

“Mungkin Azmin ada sebab tersendiri, tetapi beliau kena menjelaskan kepada penyokong pembangkang kenapa beliau buat keputusan untuk terus kerjasama dengan Pas,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Akhbar melaporkan kenyataan Mohamed Azmin yang mendakwa akan meneruskan kerjasama dengan Pas dan menjelaskan perkara itu bukan pendirian peribadi beliau, sebaliknya pendirian parti seperti diputuskan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam pada itu Guan Eng berkata, DAP ketika ini meneruskan kerjasama seperti biasa dengan PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) yang bakal ditubuhkan.

Ditanya penerimaan DAP dengan pendirian PKR yang mahu meneruskan kerjasama dengan kedua-dua parti, Guan Eng berkata, perkara itu akan dibincangkan lebih lanjut pada masa depan.

“Sama ada itu formula yang PKR mahu buat iaitu bekerjasama dengan Pas dan DAP, itu kena tanya PKR.

“Bagi DAP, buat masa ini kita akan teruskan kerjasama dengan PKR, tapi saya rasa mungkin masa akan datang kita kena bincang keadaan ini. Buat masa ini, kita masih bekerjasama dengan PKR,” katanya.

No comments:

Post a Comment