KARAK - Ratusan kenderaan terkandas empat jam sepanjang hampir lapan kilometer apabila sebuah treler terbakar di Kilometer 47.1 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghala ke Kuala Lumpur, semalam.
Kebakaran bahagian badan treler membawa muatan getah beku seberat 16 tan dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, menyebabkan laluan tersebut ditutup sepenuhnya.
Pemandu treler, K Jagatheswaran, 38, berkata, dia yang dalam perjalanan dari Mentakab ke Kuala Lumpur memberhentikan treler di lorong kecemasan sebaik menyedari terdapat kepulan asap di tayar belakang melalui cermin sisi.
Menurutnya, kebakaran pada bahagian tayar itu cuba dipadam menggunakan air, namun tidak membuahkan hasil malah merebak dengan cepat.
“Disebabkan tidak boleh berbuat apa-apa, saya segera bertindak memisahkan bahagian badan dan kepala treler bagi mengelak kejadian lebih buruk.
“Saya ambil masa lebih kurang lima minit sebelum membawa kepala treler jauh dari situ. Memang rasa cemas kerana ketika itu api sudah merebak hampir ke seluruh muatan, namun lega sempat berbuat demikian,” katanya.
Jagatheswaran berkata, sebelum kejadian dia telah berhenti tiga kali berikutan masalah brek belakang dan kebakaran dipercayai berlaku disebabkan brek panas.
Menurutnya, ia merupakan kejadian pertama dialami selepas tujuh tahun bekerja sebagai pemandu treler.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bentong, Zainal Abidin Nong Chik berkata, pihak bomba menerima panggilan pada jam 3.11 pagi dan ke lokasi dengan kekuatan sebuah lori tengka, lima 'water tender' dan 28 anggota termasuk pegawai dari balai Bentong, Karak, Genting Highlands serta dibantu Bomba Sukarela Janda Baik dan Perting.
Menurutnya, kebakaran dapat dikawal selepas 45 minit dan dipadam sepenuhnya pada jam 6.40 pagi.
“Memandangkan kebakaran melibatkan getah mampat, kita terpaksa menggunakan 10 tong bahan kimia khas yang setiap satu tong berkapasiti 25 liter.
“Tiada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa berlaku," katanya.
SH
No comments:
Post a Comment