Pages

Tuesday, 19 May 2015

"AHLI PAS MASIH PERLUKAN SAYA"


KUALA LUMPUR: "Ahli-ahli (PAS) masih perlukan saya,” demikian kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung pendiriannya untuk mempertahankan jawatan Presiden PAS pada pemilihan parti itu Jun ini.

Menurut Hadi lagi, keputusannya itu juga didorong oleh kehendak ahli PAS sendiri.

"Orang suruh saya (pertahan jawatan),” katanya ringkas kepada pemberita selepas menghadiri majlis Bicara Harakah di MyHarakah Bazar di sini, Selasa.

Pemilihan bagi jawatan Presiden PAS menyaksikan saingan dua penjuru antara Hadi dan bekas naib presiden, Ahmad Awang selepas Datuk Husam Musa menolak pencalonan bagi jawatan nombor satu parti itu.

Terdahulu, ketika sesi soal jawab, seorang peserta dari Lembah Pantai yang dikenali sebagai Nik Abdul Razak mengecam pihak pengurusan Harakah dan penganjur program itu kerana memberi ruang kepada Hadi untuk berkempen.

“Presiden PAS berbicara di bawah naungan Harakah itu tidak luar biasa. Tapi kita berdepan dengan pilihan raya (pemilihan parti), akan dilihat sebagai kempen. Saya rasa perlu ada ruang yang sama kepada Ustaz Ahmad Awang dalam Bicara Harakah.

“Kalau tidak kita sama dengan Umno mempergunakan saluran dalaman untuk berkempen untuk satu pihak,” kata peserta berkenaan.

Bagaimanapun Hadi dengan tenang berkata, ia terpulang kepada penganjur untuk memberikan ruang yang sama kepada pencabarnya itu.

Namun Pengarah Urusan Harakah yang juga moderator program, Dr Rosli Yaakob menyangkal dakwaan bahawa Hadi diberi ruang untuk berkempen dalam media rasmi parti itu seperti yang didakwa individu berkenaan.

“Kita sudah rancang lama, tapi Tuan Guru Hadi sibuk. Kebetulan beliau setuju untuk hadir ketika Parlimen sedang bersidang, Datuk Seri ada di Kuala Lumpur sekarang.

“Tentang ruang untuk Ustaz Ahmad Awang, kita kena bincang dulu,” katanya.
mStar

No comments:

Post a Comment