Pages

Wednesday, 1 April 2015

SIMPAN RESIT PEMBELIAN UNTUK TUNTUTAN GST - HASAN MALEK


KOTA KINABALU: Pengguna boleh membuat tuntutan jika peniaga mengenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) terhadap barangan yang dikecualikan cukai berkenaan.

Sehubungan itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek, menasihatkan pengguna menyimpan resit pembelian sebagai rujukan bagi membuat tuntutan.

Beliau berkata, peniaga mungkin keliru dengan senarai barangan tertentu yang sepatutnya sifar GST tetapi dalam resit yang dikeluarkan tertera GST enam peratus.

"Apa yang penting, apa saja barangan dibeli pengguna bermula hari ini, resit perlu disimpan supaya mereka boleh membuat tuntutan balik jika barangan itu tidak dikenakan cukai (GST).

"Kita tidak mahu wujudkan satu suasana kekeliruan, jadi pengguna jangan bimbang. Kalau mereka tidak pasti, jangan beli dulu. Pengguna mesti bijak menggunakan hak untuk membuat pilihan dan menilai," katanya selepas meninjau pelaksanaan GST, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Jainab Ahmad dan Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Sabah, Severinus Tukah. -Bernama

No comments:

Post a Comment