Pages

Friday, 10 April 2015

"SAYA TETAP HORMAT TUN M" - PM @NajibRazak

KUALA LUMPUR 10 April - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini menegaskan bahawa beliau tetap menghormati pandangan daripada mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap dirinya.
Malah, Perdana Menteri berkata, beliau terbuka jika mana-mana pihak mahu mengkritik kepemimpinan dan pentadbirannya.
"Saya tetap menghormati Tun Dr Mahathir (Mohamad) seperti mana saya menghormati rakyat Malaysia yang lain. Saya meneliti, menimbang kewajaran setiap kritikan itu tetapi saya perlu tegaskan, pada kesudahannya saya perlu membuat keputusan sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO.
"Saya bertanggungjawab kepada rakyat Malaysia dan parti, apa pun pendapat individu, pada kesudahannya saya akan bertanggungjawab kepada rakyat dan parti," katanya ketika ditemu bual dalam rancangan soal jawab terbitan TV3, malam tadi.
Ditanya mengenai dakwaan Dr Mahathir, Barisan Nasional (BN) akan tumbang di bawah kepemimpinannya, Najib menjelaskan, soal kejayaan UMNO dan BN pada pada Pilihan Raya Umum bergantung pada kekuatan parti itu.
"Itu pendapat peribadi Tun M. Soal kejayaan pada UMNO, BN bergantung kepada kekuatan kita. 
Kekuatan kita akan menjadi sesuatu kenyataan kalau kita padu dalam parti, tidak berbalah sesama kita dan tidak ada unsur sabotaj dalam parti. Saya yakin kita boleh menang dalam Pilihan Raya Umum akan datang," katanya.
Najib turut menyifatkan kritikan yang diterimanya pada kali ini lebih sengit daripada biasa.
"Tapi saya terimalah. Ini asam garam politik, bukan semua keadaan akan wujud keadaan yang tenang dan selesa sepanjang masa. Kritikan ini saya terima, walaupun pedih tetapi pokok pangkalnya saya bertanggungjawab jawab kepada rakyat dan parti. 
Selagi di beri amanah, saya tetap akan teruskan untuk rakyat dan parti," katanya.

No comments:

Post a Comment