BUKIT MERTAJAM: Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan mencabar pembangkang supaya mengemukakan alternatif sekiranya mereka menolak pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Katanya, GST merupakan satu sistem percukaian meringankan beban rakyat dan bukan seperti mana yang didakwa pembangkang dalam kempen pilihan raya kecil (PRK) di Permatang Pauh dan juga Rompin.
Ahmad berkata sekiranya pelaksanaan GST itu ditolak, beliau ingin tahu apa alternatif yang boleh dikemukakan pembangkang dalam meringankan beban rakyat dan pada masa yang sama dapat memajukan negara.
"Bantahan pembangkang terhadap GST itu tidak betul dan akan menyusahkan rakyat kerana pelaksanaan GST dapat mengurangkan cukai kepada enam peratus dari 10 peratus ketika CJP," katanya kepada Bernama sebelum Program Penerangan Isu-isu Semasa di sini, Rabu.
Katanya, GST merupakan satu sistem percukaian lebih kemas, tersusun dan juga baik jika dibandingkan dengan cukai jualan dan perkhidmatan (CJP) yang dikenakan sebelum ini."Barisan Nasional akan meneruskan penerangan dan penjelasan pelaksanaan GST supaya dapat memberi keyakinan kepada rakyat," katanya.
Ahmad berkata beliau yakin akan dapat membuktikan bahawa GST adalah jauh lebih baik daripada CJP.
Sementara itu, Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata beliau telah mengadakan perjumpaan dengan penceramah bagi kempen PRK untuk menerangkan lebih terperinci tentang GST supaya mereka dapat menyalurkan maklumat tepat kepada rakyat.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 5 Mei ini sebagai tarikh PRK Parlimen Rompin, manakala 7 Mei bagi Permatang Pauh.
Kerusi Parlimen Rompin kosong apabila penyandangnya Tan Sri Jamaluddin Jarjis terkorban dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas.
Sementara, kerusi Permatang Pauh kosong apabila penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai anggota Parlimen setelah Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon anggota keluarganya.- Bernama
No comments:
Post a Comment