Pages

Wednesday, 18 March 2015

MB KELANTAN BENTANG PINDAAN ENAKMEN HUDUD, ADUN BN SOKONG


Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob selesai membentangkan Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993) 2015 yang mengandungi hukum hudud di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini.

Rang Undang-undang setebal 47 muka surat itu dibentangkan oleh Ahmad pada jam 11 pagi tadi dan turut mendapat sokongan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, perbahasan pindaaan enakmen tersebut ditangguhkan hingga ke pagi esok.

Jenis-jenis kesalahan hudud yang termaktub dalam pindaan itu ialah:
Sariqah (mencuri)Hirabah (orang yang merampas harta orang lain dengan kekerasan)Zina termasuk liwatQazaf (membuat tuduhan zina atau liwat)Syurb (minum arak atau memabukkan)Irtidad (murtad)Mengikut Rang Undang-undang tersebut, enakmen itu hanya terpakai kepada orang Islam yang mukalaf iaitu seseorang yang sudah mencapai umur 18 tahun dan sempurna akalnya.

Dalam ucapan itu, Ahmad memberi jaminan bahawa undang-undang tersebut tidak akan dikuatkuasakan ke atas orang bukan Islam.

"Di sini saya nak jelaskan bahawa Kanun Jenayah II adalah terpakai kepada orang Islam sahaja iaitu orang Islam yang mukalaf yang melakukan kesalahan di bawah Kanun ini, di negeri ini.

"Ini bermakna, Kanun ini sama sekali tidak terpakai ke atas orang bukan Islam," tegasnya.

Selain itu, pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993) 2015 yang dibentangkan di DUN Kelantan hari ini menetapkan kesalahan murtad boleh dikenakan hukuman penjara jika sabit kesalahan.

Murtad yang disebut sebagai irtidad atau riddah dalam pindaan enakmen itu menegaskan sesiapa secara sukarela tanpa paksaan dengan sengaja atau disedarinya melakukan apa-apa perbuatan atau mengungkapkan apa-apa perkataan yang menjejaskan atau berlawanan dengan aqidah Islam adalah melakukan irtidad.

“Dengan syarat bahawa perbuatan itu dilakukan atau perkataan itu disebutkan dengan niat dengan sukarela dan dengan pengetahuan dan tanpa apa-apa paksaan oleh mana-mana orang atau keadaan,” menurut Bahagian 22 pindaan enakmen tersebut.

Selain itu, dalam ucapannya juga Ahmad berkata, pihak yang masih mengkritik enakmen hudud yang dibentangkannya hari ini adalah “golongan yang tidak beriman”.

Beliau merujuk kepada pihak yang mendakwa enakmen jenayah syariah itu sebagai “zalim dan tidak berperikemanusiaan”.

"Tuduhan yang menyatakan undang-undang ini zalim dan tak perikemanusiaan adalah tuduhan liar yang terbit dari hati orang-orang yang tak beriman," katanya.

No comments:

Post a Comment