Pages

Tuesday, 24 March 2015

KENYATAAN AKHBAR S/U AGONG DAP BERKAITAN ISU HUDUD & KERJASAMA PR


Kenyataan Akhbar oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada 24 Mac 2015.

Pada 23 Mac 2015, Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP telah dengan sebulat suara menetapkan bahawa:

DAP menegaskan semula komitmen kepada Pakatan Rakyat sebagai gabungan pentadbiran yang mewakili aspirasi semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama atau kepercayaan, yang berhasrat untuk membina Malaysia baru berdasarkan nilai-nilai asas seperti kebebasan, keadilan, demokrasi, integriti dan martabat manusia. DAP juga mengulangi pendirian bahawa semua parti komponen Pakatan Rakyat harus berpegang kepada semangat Dasar Bersama melalui muafakat yang berkisar pada amanah dan sifat saling menghormati dalam Majlis Pimpinan PR.

DAP menolak pelaksanaan undang-undang hudud kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan. Tambahan pula, rakyat Malaysia yang menyokong PAS dalam Pilihan Raya Umum yang lalu tidak mengundi untuk pelaksanaan hudud tetapi untuk Dasar Bersama. Justeru, setiap 37 Ahli Parlimen DAP akan menolak Rang Undang-undang Persendirian berkenaan dengan hudud yang dibentangkan oleh Presiden PAS Dato’ Seri Abdul Hadi Awang.

DAP berasa kesal atas tindakan tidak jujur dan tidak bermaruah Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang bekerjasama dengan UMNO untuk melanggari semangat konsensus serta Dasar Bersama yang lantas meletakkan Pakatan Rakyat dalam bahawa, yakni:

Pengkhianatan Hadi terhadap keputusan bersama yang dibuat dalam Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat atas pencalonan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal Pakatan Rakyat untuk jawatan Menteri Besar Selangor, sehingga mengakibatkan krisis besar yang berlarutan dan hampir menjatuhkan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.;

Kegagalan Hadi untuk menepati kata-kata sendiri semasa Majlis Pimpinan PR pada 8 Februari 2015 bahawa Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 2015 akan dibincangkan pada Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada masa depan.

Pembentangan Rang Undang-undang Persendirian oleh Hadi pada 18 Mac 2015 tanpa terlebih dahulu membentangkan kepada Jawatankuasa Pusat PAS serta Majlis Pimpinan PR.

DAP tidak boleh berkerjasama dengan Presiden PAS seperti Hadi Awang yang tetap bertindak secara tidak jujur dan tidak bermaruah. DAP hilang kepercayaan dan keyakinan pada Hadi sebagai pemimpin Pakatan Rakyat dan akan memutuskan hubungan serta menghentikan kerjasama dengan beliau. Oleh kerana Hadi adalah pemimpin PAS dalam PR, keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Hadi secara efektif akan meletakkan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat dalam keadaan terawang-awang. DAP akan bertemu dengan kepimpinan PKR untuk membincangkan nasib Pakatan Rakyat pada masa depan.

UMNO telah menghasut PAS untuk melaksanakan undang-undang hudud di Kelantan pada 27 Mac 2014 semasa sidang Parlimen dengan menjanjikan sokongan Kerajaan Persekutuan. DAP menggesa agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak melengahkan masa lagi dan membuat pendirian jelas dan tegas sama ada akan menyokong atau menolak enakmen hudud di Kelantan, serta menjelaskan peranan Adun-adun UMNO Kelantan dalam menyokong rang undang-undang hudud. Najib juga harus menyatakan sama ada beliau menyokong Rang Undang-undang Persendirian yang dibentangkan oleh Hadi.

LIM GUAN ENG

No comments:

Post a Comment